Didorong kejayaan filem Hantu Kak Limah yang berjaya meraih kutipan mencecah RM13.6 juta, pengarahnya, Mamat Khalid mendedahkan sambungan filem seram komedi tersebut bakal dihasilkan.
Menurutnya lagi, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan penerbit, Astro Shaw dan juga Infinitus Gold, untuk menghasilkan filem susulannya bersandarkan permintaan ramai.
“Kami menerima maklum balas memberangsangkan daripada mereka yang menonton Hantu Kak Limah dengan rata-rata meminta ia disambung lagi. Semuanya masih dalam perbincangan dan kita belum dapat memutuskan apa-apa ketika ini berikutan filem berkenaan juga sedang ditayangkan.
“Ramai yang mahu watak Kak Limah muncul semula andai susulannya direalisasikan, namun sama ada ia dilakukan dalam babak imbas semula atau filem prekuel, kita tunggu saja nanti,” ujar beliau kepada BHOnline
Selain itu juga, Mamat Khalid menegaskan, plot cerita yang bakal disajikan perlu diperincikan sebaik mungkin.
“Siri Kampung Pisang ini digemari disebabkan ia sangat dekat dengan semua lapisan masyarakat. Jadi, sudah tentu paparan kisah untuk filem seterusnya takkan lari daripada tema sama. Cuma bezanya adalah dari segi kejutan yang akan diselitkan,” katanya.
Filem yang ‘menghantui’ 146 pawagam termasuk Singapura dan Brunei itu membariskan pelakon seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie dan Mus May, selain penampilan khas Erra Fazira.
Hantu Kak Limah adalah judul keempat dalam siri Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
Hantu Kak Limah telah mencipta rekod berganda apabila menjadi filem tempatan yang meraih kutipan tertinggi pada tayangan previu dengan kutipan sebanyak RM650 ribu dan juga tayangan pembukaan dengan pungutan RM1.8 juta.