Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Slot Tempatan

SAHARUL RIDZWAN & ZARA ZYA KEMBALI BERAKSI DI SLOT AKASIA MR BIBIK TEMUI PENONTON TV3 & IQIYI BERMULA 29 OKTOBER


Kisah cinta romantik ‘Wifi Sebelah Rumah’ dan ‘Semanis Senyumanmu’ bakal melabuhkan tirainya pada hari esok (28 Oktober 2021) dan slot Akasia TV3 akan digantikan dengan drama bersiri ‘Mr Bibik’ yang menggandingkan dua pelakon handalan Saharul Ridzwan dan Zara Zya.

Drama bersiri diinspirasi dari novel karya Aein Dhiyauddin yang bertajuk Mr Bibik akan mengisi slot Akasia bermula 29 Oktober 2021, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQIYI pada pukul 8.00 malam pada hari yang sama selepas siaran di TV3.

Drama bersiri 20 episod terbitan Saphire Screen Sdn Bhd, diarahkan oleh Pali Yahya dengan nukilan skrip oleh Farhana Fauri menampilkan pelakon- pelakon handalan Malaysia seperti Saharul Ridzwan, Zara Zya, Raja Afiq, Liza Abdullah, Syazuwan Hassan, Dayang Areeda, Balkisyh Semundur Khan, Wanns Ahmad, dan ramai lagi.

Aulia dan Mukhriz bertunang kerana campur tangan orang tua. Mukhriz obses dengan Aulia dari zaman remaja walaupun semua gadis mampu dimilikinya dengan mudah. Bagi Mukhriz, Aulia amat berbeza baginya. Aulia pula langsung tidak menunjukkan minat terhadapnya sehingga Mukhriz diperlekehkan oleh kawan-kawannya.

Firas, seorang lelaki yang berperwatakan biasa sedang melalui fasa kecewa dalam hidupnya. Dia sanggup berhenti kerja dari sebuah syarikat besar untuk memulakan perniagaan dengan tunangnya, Arisya. Sayangnya, Firas dikhianati apabila Arisya telah berkahwin dengan lelaki lain. Hilang kerja dan juga putus tunang, Firas tidak hilang semangat malah dia tidak kisah untuk bekerja di syarikat pembersihan milik kenalannya.


Hari pertama Firas memulakan tugasnya, dia telah diarahkan untuk membersihkan rumah Aulia. Oleh kerana ada insiden yang kurang menyenangkan antara mereka berdua sebelum ini, Aulia mahu menolak servis Firas. Tambahan pula, Aulia tidak senang dengan lelaki yang bekerja sebagai pembantu rumah. Akhirnya Aulia terpaksa terima kerana kawannya Siti yang juga pemilik syarikat itu memberikan perkhidmatan percuma apabila tidak dapat menghantar pembantu rumah yang sudah biasa ditugaskan.

Firas pening dengan sikap pemalas Aulia dan keadaan rumah yang bersepah. Setelah hampir seminggu bekerja di situ dan pada hari terakhir, tiba-tiba rumah Aulia didatangi Mukhriz dan ayah Aulia, Tuan Halim. Mukhriz menuduh Aulia menyimpan lelaki di rumahnya. Puas Aulia dan Firas menerangkan keadaan sebenar tetapi Tuan Halim tetap kecewa.

Mukhriz menawarkan diri berkahwin dengan Aulia untuk menutup malu Tuan Halim. Namun, Tuan Halim mahu Firas bertanggungjawab atas perbuatannya terhadap Aulia dan mendesak Firas untuk menikahi anaknya. Tuan Halim sanggup mengugut Firas jika tidak mahu ibunya mengetahui perkara yang memalukan ini. Firas minta diberikan masa untuk membuat persediaan.

Firas tidak dapat menerima Aulia seorang yang pemalas dan pengotor untuk menjadi isterinya. Begitu juga dengan Aulia, tidak sanggup bersuamikan Mr Bibik! Mukhriz pula tidak mahu kehilangan Aulia dan tetap akan mencari jalan untuk merampas Aulia balik! Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mr Bibik bermula 29 Oktober 2021, setiap hari Isnin hingga Jumaat, 7.00 malam menerusi slot Akasia di TV3 dan perkhidmatan penstriman iQiyi. Drama bersiri ini akan tersedia sejam kemudian pada hari yang sama di seluruh Malaysia. Ia juga disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQiyi di App Store dan Play Store. Pelanggan VIP akan dapat mengakses kemudahan VIP Express iQiyi bagi drama Mr Bibik yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini 1 jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton 24 jam selepas tayangan di TV3.


Related posts

“REVERSI” Dipilih Untuk Pertandingan Rasmi Di Festival Filem Far East Udine Ke-26 Pada Tahun 2024

Kakimuvee

Viu Perkenalkan Drama Adaptasi Novel Popular, Jendela Hati Lakonan MK K-Clique, Anna Jobling dan Hanna Aqeela

Kakimuvee

Siri Popular ‘Kau vs Aku’ kembali untuk Musim ke-2

Kakimuvee

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Astro raih 16 anugerah di Asian Academy Creative Awards 2023

Kakimuvee

Sepahtu Reunion Live Tour Tawan Johor Bahru Oktober Ini

Kakimuvee