Calon Oscar, Ryan Gosling (La La Land) akan membintangi filem Barbie arahan Greta Gerwig dengan memainkan peranan sebagai Ken, menurut Deadline. Pelakon itu dilaporkan sedang dalam rundingan akhir untuk memainkan watak patung Mattel itu dalam filem Warner Bros yang diarahkan oleh Gerwig (Lady Bird), yang turut menulis lakon layar dengan rakan lama dan kolaborator Noah Baumbach (Marriage Story).
Berdasarkan patung popular Mattel, filem live-action Barbie akan diterajui oleh calon Oscar, Margot Robbie (I, Tonya, The Suicide Squad), yang juga berperanan sebagai produser melalui syarikatnya LuckyChap. Perincian lebih lanjut mengenai plot dan wataknya masih belum didedahkan, tetapi penggambaran dijangka akan dimulakan pada awal tahun depan di Warner Bros. Leavesden Studios di London. Studio itu dilaporkan merancang untuk melancarkan filem Barbie pada 2023.
Ini merupakan kerjasama terbaru Margot Robbie dan Warner Bros. Pictures selepas muncul sebagai watak kegemaran peminat Harley Quinn dalam filem Suicide Squad, Birds of Prey dan yang terbaru, The Suicide Squad.
Barbie pada awalnya dibangunkan di Sony selama beberapa tahun terakhir, bersama Amy Schumer dan kemudian Anne Hathaway yang pada mulanya dalam perbincangan untuk membintangi filem itu, sementara Diablo Cody juga dilaporkan untuk menulis lakon layar. Walau bagaimanapun, pembangunan projek ini akhirnya dipindahkan ke Mattel Films dan Warner Bros. Pictures.