Pengarah dan pelakon Rusdi Ramli menyuarakan rasa kecewanya terhadap sikap segelintir pelakon baru yang ‘demand’ mengenai soal bayaran untuk membintangi sesebuah telefilem.
Menurut Rusdi, ada di antara pelakon baru tersebut meminta bayaran sebanyak RM15,000 untuk sebuah telefilem.
“Perkara ini memang wujud dalam industri kita sekarang. Mereka menetapkan bayaran yang tinggi bagi satu telefilem tapi komitmen kerja hanya empat hari berbanding kebiasaan selama seminggu.
“Kalau kualiti lakonan itu bagus dan seperti apa yang diharapkan pengarah, saya okey lagi. tapi ini tidak. Kadang-kadang ada di antara mereka yang sekadar melontarkan dialog tapi tak tahu apa yang disampaikan,” ujarnya kepada Harian Metro.
Pada masa sama pelakon “Tanda Putera” ini lagi turut menyuarakan kebimbangan dengan sikap pelik segelintir produksi yang lebih mengutamakan jumlah pengikut artis di media sosial untuk ditawarkan berlakon.
Tambah pelakon berusia 47 tahun itu lagi perkara itu kini menjadi satu trend pula dalam industri seni tanah air, sedangkan jumlah peminat di media sosial tidak membantu langsung dari segi kualiti lakonan.
Dalam pada itu, Rusdi berpendapat bahawa hasil lakonan yang berkualiti bukan diukur dari rupa paras semata-mata kerana ramai lagi pelakon lain yang betul-betul boleh berlakon tidak diberi peluang dan dipinggirkan.
Rusdi berkata demikian selepas berkongsi pengalamannya yang pernah terkena dengan seorang pelakon baru.
Dalam perkembangan lain, Rusdi kini sedang sibuk mengarah drama terbarunya berjudul “Padamu Ku Bersujud”.