Trivia

Roh, The Jack In The Box Antara Filem Seram Yang Ditayangkan Ogos Ini

Views

Filem seram merupakan antara genre yang sangat digemari kaki-kaki wayang. Ada penonton yang gemarkan babak-babak jumpscare dan ada juga yang lebih berminat kepada jalan cerita yang mampu menaik bulu roma.

Bulan Ogos ini menyaksikan banyak filem-filem seram ditayangkan dipawagam tempatan, antara yang menarik adalah filem seram tempatan Roh serta beberapa filem dari luar negara. Jadi kepada peminat yang ingin mengentahui filem apa yang akan dimainkan dipawagam, anda boleh senarai kami dibawah

1. Roh | PG-13 | 6 Ogos

Dibintangi pelakon seperti Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron, Junainah, Putri Qaseh, filem tempatan ini berlatarbelakangkan zaman peperangan, di mana tinggal sebuah keluarga daif di pinggir hutan. Mereka kemudiannya didatangi seorang kanak-kanak perempuan misteri. Kejadian-kejadian aneh mula menghantui mereka selepas kanak-kanak itu meramalkan sesuatu yang ngeri.

2. The Jack In The Box | PG-13 | 6 Ogos

Casey Reynolds, seorang pekerja di sebuah muzium yang terletak di tengah-tengah hutan, percaya bahawa Jack-In-The-Box antik yang didermakan ke tempat itu telah disumpah. Dia merasakan patung badut di dalamnya bernyawa. Apabila seorang demi seorang rakan-rakan kerjanya mati, dia kemudiannya menyedari yang dia perlu mencari jalan untuk menamatkan sumpahan itu, jikalau tidak dia juga akan mati.

3. Black Water: Abyss | 18 | 6 Ogos

Pasangan Eric dan Jennifer bersama dua rakan mereka, Yolanda dan Viktor, ingin menerokai sebuah sistem gua yang terletak jauh di Utara Australia. Mereka kemudiannya mendapatkan khidmat pemandu pelancong bernama Cash. Menyangka mereka akan selamat dari ribut tropika yang melanda, mereka meneruskan perjalanan dengan lebih jauh ke dalam gua tersebut. Tanpa disangka, gua itu mula dinaiki air dan mereka telah sesat dan terperangkap di dalamnya. Namun itu bukanlah satu-satunya masalah yang mereka perlu hadapi, kerana banjir itu juga membawa sekumpulan buaya yang ganas. Kini mereka perlu mengejar masa demi menyelamatkan diri dan mencari jalan keluar dari gua tersebut.

4. Sakral: Keramat | 18 | 13 Ogos

Keluarga Melina diganggu satu entiti misteri dan lebih mengejutkan, orang-orang di sekelilingnya mula mati seorang demi seorang. Apabila suaminya, Daniel, cuba membongkar rahsia di sebalik gangguan aneh dan kematian itu, dia mendapati semuanya berkait dengan kematian salah seorang anak kembar mereka beberapa tahun lalu. Melina tidak pernah melupakan kematian itu, sementara kembar yang hidup, Flora, telah membesar menjadi seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang muram dan bermisteri. Semakin Daniel cuba merungkai misteri itu, semakin banyak bahaya yang dihadapi keluarganya.

5. Aku Tahu Kapan Kamu Mati | PG-13 | 13 Ogos

Siena mendapati dirinya mempunyai kebolehan untuk melihat petanda seseorang akan mati selepas dia mengalami insiden `mati suri`, iaitu mati hidup semula. Walau bagaimanapun, rakan-rakannya, Flo, Neni dan Vina, tidak mempercayai akan kebolehannya itu. Dia menjadi semakin takut apabila orang-orang di sekelilingnya mati seorang demi seorang, selepas muncul roh-roh yang ingin menjemput mereka. Apabila petanda itu muncul pada lelaki yang disukainya, Brama, serta orang-orang yang rapat dengannya, Siena cuba untuk menyelamatkan mereka, sehinggalah petanda itu muncul pada dirinya sendiri.

6. The Clock: Spirits Awakening | PG-13 | 13 Ogos

Cheata seorang gadis yang kini tinggal bersama bapa dan ibu tirinya, selepas ibu kandungnya pergi meninggalkan keluarganya. Namun nasibnya malang apabila setiap hari dia didera oleh ibu tirinya secara mental dan fizikal, sehingga menyebabkan gadis itu mengalami kemurungan. Gambar dan nyanyian ibunya yang didengar setiap malam tidak mampu menenangkan hatinya. Gadis lemah yang dahagakan kasih sayang ibu kandungnya itu akhirnya dikawal oleh roh wanita Perancis yang tinggal dalam sebuah jam. Wanita Perancis itu telah membunuh diri pada tahun 1940 selepas kematian teman lelakinya, seorang jurutera jam.

Kejadian itu berlaku selepas wanita itu mendengar sebuah lagu berhantu berjudul "Gloomy Sunday", yang turut menyebabkan kes bunuh diri meningkat pada waktu itu. Roh wanita yang tidak tenteram itu dikatakan mencari mangsa-mangsa yang mengalami kemurungan untuk membantu menunaikan hajat mereka.

7. Behind You | N/A | 20 Ogos

Olivia dan adiknya Claire telah dihantar ke rumah makcik mereka, Beth, selepas ibu mereka meninggal dunia dan bapa mereka terpaksa melanjutkan tempoh kerjanya di luar kawasan. Setibanya di rumah itu, Beth memberi amaran supaya jangan masuk ke dalam bilik bawah tanah yang berkunci. Apa yang membuatkan mereka bertambah pelik adalah selepas menyedari semua cermin di rumah itu ditutup atau disorokkan. Tanpa menghiraukan amaran makciknya, Claire menyelinap masuk ke dalam bilik bawah tanah itu dan menemui sebuah cermin, dan tidak sengaja membebaskan satu makhluk jahat yang ganas.

8. Dark Secrets | N/A | 20 Ogos

Selepas mengalami keguguran yang traumatik, pasangan suami isteri Ek dan Parn berpindah ke sebuah rumah yang terletak di desa. Mereka cuba lari dari kesibukan kota dan mencari ketenangan di kawasan yang lebih aman, bagimanapun situasi menjadi buruk apabila mereka mula berdepan kejadian-kejadian aneh di rumah itu.

9. Takut Ke Tak | PG-13 | 27 Ogos

Abbas, seorang pelajar jurusan filem, bersama empat orang rakannya Yang Guo, Linda, Amir dan Sivar, dikehendaki menerbitkan sebuah filem sebagai projek graduasi mereka. Untuk itu, mereka bercadang untuk melakukan penggambaran di sebuah rumah berhantu. Namun projek mereka terganggu apabila kejadian-kejadian aneh mula menghantui mereka. Situasi menjadi semakin kecoh apabila mereka menemui sebuah almari pelik. Dalam pada mereka perlu membuat keputusan penting demi menyelamatkan diri dari rumah itu, mereka turut menyedari kepentingan ikatan persahabatan mereka.

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks