Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review: Zombitopia (2021)

Menonton filem tempatan memerlukan persediaan mental dan emosi yang cukup rapi. Ini kerana kita perlu menerima apa sahaja yang diberikan oleh pengarah atau penulis skrip yang umum tahu, kebanyakkan mereka memiliki tahap kreativiti yang boleh menjangkau ke bulan. 

Seperti Zombitopia, saya menjangkakan filem zombi tempatan ini mungkin ‘bau-bau bacang’ filem Korea Train to Busan, atau paling lekeh, atas sikit dari Zombi Kampung Pisang, tapi apa yang saya dapat? Gelak macam orang gila sampaikan ‘orang rumah’ menghempuk kuali di kepala kerana menyangka saya dirasuk zombi.

Dari ‘first act’ hingga ke penghujung filem, banyak pekara lucu yang hampir membuatkan saya mencampak monitor Samsung 32′ curve yang berharga lebih seribu yang saya beli tahun lepas. Saya tertanya-tanya, bagaimana wabak zombi boleh tamat? Sedangkan kalau dalam tipikal filem zombi, apabila virus tersebar, tiada apa yang hentikan penyebaran wabak, dan satu dunia akan dipenuhi dengan zombi. 

Pengenalan filem ini sudah menunjukan tanda-tanda kegagalan keseluruhan plot filem. Mereka memulakan cerita dengan serangan zombi, yang menyerang dan memakan manusia termasuklah keluarga Zidik. 5 minit pertama yang ‘promising’?. ‘Fast-foward’ 15 tahun kemudian, segalanya boleh dipertikaikan.

Zidik hidup aman, tanpa seekor zombi, seolah-olah wabak itu telah berakhir. Ini mungkin bermaksud, sudah ada penawar. Jika tiada penawar, mana mungkin wabak itu akan tamat, sedangkan penyakit itu paling pantas tersebar dan sangat cepat menghancurkan sesebuah negara. Sebagai contoh, anda lihat filem World War Z, lihat bagaimana pantasnya penduduk seluruh dunia dijangkiti zombi

Apabila memasuki plot utama, banyak pekara yang tidak masuk akal. Paling mengganggu, zombi yang masih mempunyai perasaan, seperti watak Zooey yang merupakan zombi dan rakan lama Zidik yang telah lama terpisah. Saya tiada masalah jika pembikin filem ini mengambil inspirasi Warm Bodies, tetapi sekurang-kurang perlu ada pembangunan karakter, transformasi Zooey dari zombi pemakan manusia kepada zombi yang perlahan-lahan menunjukkan jiwanya, bukannya nampak wajah yang dikenali, terus berubah menjadi baik. 

Satu lagi, niat antagonis utama, Dr. Rahman yang sengaja menyebarkan kembali virus zombi semata-mata mahu mencari manusia yang imun dengan virus, juga boleh dipertikaikan. Bahagian inilah yang saya katakan bercanggah dengan pengenalan filem. Seperti yang saya tulis diatas, mesti ada penawar yang telah menamatkan penularan wabak misteri 15 tahun yang lalu.

Dr. Rahman, yang sebelum ini bekerja dengan kerajaan untuk menghentikan wabak itu, sepatutnya tahu dimana penawar itu disimpan, atau mempunyai formula antidot. Dia tidak perlu sebarkan penyakit semata-mata mahu mencari darah yang imun dengan virus zombi. Melainkan, Dr. Rahman satu-satunya saintis yang memiliki antidot atau formula, dan sengaja menyebarkan virus zombi itu kembali demi kepentingan jahatnya – seperti Albert Wesker – itu baru masuk akal.

Faktor utama dalam sesebuah filem zombi adalah ‘survival’, bukan melawan antagonis utama semata-mata. Saya menjangkakan Zidik akan melakukan pelbagai cara untuk terus hidup di dunia yang penuh dengan zombi, tetapi yang kita lihat? Satu adegan bodoh di jambatan, melarikan diri dari tempat orang jahat – yang langsung tidak suspen – dan bermain emosi dengan zombi cantik.

Saya tidak salahkan para pelakonnya, mereka semua cuba memberikan yang terbaik, tetapi saya salahkan penulisannya, yang agak teruk, sangat malas dan sangat ‘ke bulan’. Lawan zombi, lawan orang jahat, tetapi di penghujung filem, muncul dinosaur? – mengarut!. Sayang, bakat-bakat hebat dalam filem ini disia-siakan begitu sahaja.

 

Sepatutnya, pembikin filem ini boleh mengambil contoh filem-filem zombi dari luar negara, tidak perlu yang rumit seperti Resident Evil, yang melibatkan organisasi jahat, cukuplah sekadar yang memiliki plot yang ringkas dan fokus pada survival seperti 28 Days Later, atau Train To Busan. Kedua-dua filem ini memiliki plot yang ringkas, tetapi sangat suspen dan mampu mencipta babak emosi di penghujung filem sehingga menjadi kegemaran ramai. 

Untuk aspek teknikal, seperti rekabentuk produksi atau solekan zombi, saya akui kekangan bajet menyukarkan filem ini untuk kelihatan ‘gah’. Namun, filem ini – seperti plotnya – banyak ‘continuity error’, mereka gagal menjaga perincian pada kebanyakkan babak. Sebagai contoh, selepas Zidik di gigit zombi cantik, bekas gigitannya hilang secara tiba-tiba, seolah-olah Zidik memiliki kuasa penyembuhan yang luarbiasa.

Contoh lain, ketika Dr. Rahman cuba menyuntik antidot kepada anaknya, kedengaran dialog yang mengatakan tentang tekanan darah dan degupan jantung anaknya. Tetapi apabila kamera fokus pada watak kanak-kanak itu, tiada sebarang wayar seperti wayar ECG ataupun ‘sphygmomanometer’. Dari mana datangnya bacaan tekanan darah dan jantung? 

Dengan penulisan skrip yang agak teruk dan gagal menjaga ‘contuinity’, jelas sekali pembikin filem tidak begitu serius dalam memberikan sebuah karya yang berkualiti. Jika kita ulas ‘lebih-lebih’, nanti ada yang marah dan memaki, tetapi itulah, sampai bila kita perlu hadap filem sebegini? Negara jiran sudah sampai ke Hollywood, Korea semakin mendunia, tetapi kita masih ditakuk lama, terpaksa telan karya-karya filem yang agak .. teruk.

Rating Kakimuvee

1/5

Zombitopia boleh di strim di platform penstriman Disney+ Hotstar

Related posts

Review Filem: Polis Evo 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Fast X (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Anwar: The Untold Story (2023)

Kakimuvee

Review Filem: VII XII (MMXXIII)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Evil Dead Rise (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Guardians Of The Galaxy Vol. 3 (2023)

Kakimuvee

Leave a Comment