Review

Review: The Wolf Of Wall Street (2013)

Views

Dalam banyak-banyak filem lakonan Leonardo DiCaprio, saya rasa filem biopik komedi The Wolf of Wall Street adalah filem lakonannya yang paling gila dah..urgghh.. 'kotor'. 

Diarahkan Martin Scorsese, The Wolf of Wall Street merupakan sebuah filem biografi yang berdasarkan dari buku berjudul sama tulisan Jordan Belfort. Ia menceritakan kejayaan Jordan Belfort mengubah dirinya dari seorang broker biasa kepada broker yang sangat sukses dan kaya raya, serta sejarah penubuhan Stratton Oakmont, sebuah syarikat broker ditubuhkan Belfort dan disiasat FBI kerana menjalankan penipuan sekuriti dan pengubahan wang haram. 

Kenapa saya katakan The Wolf of Wall Street adala filem DiCaprio yang paling 'kotor'? Saya katakan demikian kerana filem ini penuh dengan paparan seksual, penyalahgunaan dadah dan penipuan. Tetapi cara penyampaiannya dibuat dalam bentuk komedi gelap - memprovok isu sosial liar dan penyalahgunaan dadah yang boleh merosakkan masyarakat. Anda boleh lihat bagaimana Belfort dan rakan-rakannya serta para pekerja berparti liar setiap kali mereka berjaya mendapat keuntungan selepas menipu pelanggan mereka. Akhirnya, apa yang mereka lakukan mendapat balasan - dipenjara dan kehilangan keluarga. 

Namun, jika ditolak paparan negatif, filem ini mengajar satu benda yang sangat penting kepada penonton, iaitu bagaimana untuk mengubah diri dari seorang yang tiada apa, kepada seorang yang berjaya. Kuncinya adalah motivasi dan menjaga kebajikan orang disekelilingnya. Watak Belfort menunjukan dia seorang yang sangat bermotivasi tinggi untuk berjaya, dan ucapannya kepada para pekerja meningkatkan lagi produktivi untuk mendapatkan keuntungan. Semangat yang ditunjukan menjadi kunci kepada kejayaannya, tidak hairanlah Belfort menjadi penceramah motivasi dalam dunia sebenar. Ini nilai positif yang harus diambil penonton, semangat untuk sukses - dalam cara yang halal. 

Antara kekuatan filem ini adalah lakonan para pelakonnya, terutama sekali DiCaprio. Watak Belfort yang dibawa oleh DiCaprio sangat hidup, lebih-lebih lagi apabila dia menyampaikan kata-kata semangat. Terdapat beberapa lakonan DiCaprio membuatkan anda mengingati peranannya dalam filem The Great Gatsby dan Catch Me if You Can. Watak Donnie Azoff lakonan Jonah Hill berjaya membuatkan penonton memberinya pada penghujung filem. Saya 'impress' dengan Margot Robbie, Matthew McConaughey pula memberi impak walaupun wataknya hanya sebentar, dan para pelakon yang lain juga tidak mengecewakan. 

Disebalik kelucahan melampau dan pekara-pekara negatif, The Wolf of Wall Street adalah filem yang sangat berbaloi untuk ditonton - dari segi penceritaan, motivasi dan lakonan para pelakon. Tidak mengecewakan, dan saya anggapnya antara filem terbaik DiCaprio dan Scorsese, cuma seeloknya tonton seorang diri, jangan bersama keluarga kerana ianya sangat jauh dari rating 'R'.

Rating Kakimuvee: 8.5/10

Kakimuvee - Portal Informasi Perfileman

Tinggalkan Balasan

Add your own review

Rating

shares