Review The Predator

0
83
views

Banyak aksi, darah dan adegan yang sangat mengerikan. Itulah yang boleh saya gambarkan betapa ganasnya filem terbaru The Predator yang diarahkan oleh Shane Black ini.

Bagi bekas pengarah filem Iron Man 3 ini, mengarahkan filem The Predator bukanlah satu masalahnya baginya. Shane sendiri pernah terlibat sebagai pelakon dalam filem pertama Predator yang diterbitkan pada tahun 1987, jadi beliau tahu apa yang peminat mahukan dalam filem terbaru ini, iaitu sebuah filem aksi yang sangat memuaskan hati.

The Predator ditetapkan masa selepas filem Predator 2 dan sebelum kejadian filem Predator yang diterbitkan pada 2010. Ianya mengisahkan tentang Quinn McKenna (Boyd Holbrook) yang sedang melakukan tugasan di Mexico sewaktu kejadian kapal angkasa makhluk asing terhempas berhampiran kawasan operasinya. Bagi membuktikan kejadian yang berlaku ditempat tersebut, dia mengambil beberapa peralatan milik Predator sebelum ketibaan sebuah organisasi rahsia yang diketuai Will Traeger (Sterling K. Brown). Quinn kemudiannya menghantar peralatan tersebut ke peti surat peribadi atas namanya. Bagaimanapun, masalah terjadi apabila peralatan tersebut dihantar rumahnya dan anaknya Rory (Jacob Tremblay) menerima barangan tersebut.

Sementara itu, seorang guru sains, Casey Bracket (Olivia Munn) telah dibawa oleh ejen Will Traeger ke sebuah pengkalan rahsia bagi mengkaji Predator yang ditangkap oleh Organisasi tersebut. Ketika Casey menyiasat makhluk tersebut, Quinn yang telah ditangkap oleh Polis Tentera telah dibawa ke pengkalan rahsia tersebut dengan menaiki bas bersama-sama beberapa anggota tentera yang dianggap gila. Setibanya disana, pengkalan tersebut menjadi huru hara apabila Predator yang ditangkap itu menganas dan membunuh semua individu yang berada di tempat tersebut. Selepas menyelamatkan Casey dari dibunuh, Quinn menyedari bahawa Predator tersebut sedang mencari peralatannya yang hilang dan Quinn bersama-sama Casey serta beberapa anggota tentera yang berada didalam bas yang dinaiki Quinn pergi ke rumahnya untuk menyelamatkan Rory dari menjadi buruan Predator.

The Predator memaparkan keganasan yang cukup banyak. Shane Black tanpa segan-silu menunjukkan kepada penonton keganasan dan kematian ngeri mangsa-mangsa Predator.  Darah, badan terpotong, perut terburai, semuanya ditunjukkan dalam filem ini. Shane Black benar-benar mengembalikan kejijikan dan keganasan dari filem pertama Predator. Aksi pertarungan diantara manusia dan Predator bagaimanapun tidak sehebat Predator (1987) dan Predators (2010). Terlampau singkat, tidak mendebarkan dan banyak menyaksikan perbalahan diantara pasukan Quinn dan tentera upahan yang diketuai Will Traeger

Shane Black juga turut memasukan elemen 'dark humor' dalam filem ini. Dialog-dialog yang ditutur dan juga gaya perbuatan para karakter seperti Baxley dan Coyle kadang kala cukup mengelikan hati penonton.

Bagaimanapun, terdapat beberapa masalah yang cukup ketara dalam filem ini. Pembangunan karakternya agak terencat dan tipikal. Karakter Casey lakonan Olivia Munn paling ketara kelemahannya, seorang guru sains yang tiba-tiba handal menggunakan senjata? Jalan ceritanya pula gagal dibina dengan baik sekali, terdapat beberapa 'plot hole' yang mungkin membuatkan penonton tertanya-tanya, malah penamat filemnya juga dilihat terlampau tergesa-gesa, sangat berserabut dan antiklimaks. Paling mengecewakan, The Predator kehilangan keasliannya selepas melihat Predator tidak lagi memburu manusia.

Secara keseluruhannya, Shane Black dan penulisnya Fred Dekker berjaya memberikan apa yang dimahukan penonton. Sebuah filem Predator yang penuh dengan aksi yang cukup ganas disamping beberapa adegan humor yang mampu membuatkan penonton ketawa. Tapi sayang, jika pembinaan ceritanya menarik, The Predator mampu menjadi lebih baik.

Rating Kakimuvee: 6.5/10

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here