Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review: The Grand Budapest Hotel (2014)


Digital Fusion Image Library TIFF File

Jika anda ingin mencari sebuah filem yang cantik dari segi gambar dan kelakar, saya cadangkan anda menonton filem komedi drama arahan Wes Anderson, The Grand Budapest Hotel. Secara jujurnya, filem ini adalah antara filem yang kerap saya ulang-tonton tanpa merasa bosan sama sekali. Malah, setiap kali saya menontonnya, diibarat seperti menonton buat kali pertama. 

Saya berkata demikian bukan kerana filem ini ada ‘plot twist’ atau penamat yang sukar dimana kita perlu menonton berulang kali untuk memahami jalan ceritanya, tetapi disebabkan penulisan ceritanya yang segar dan sangat menarik. 

The Grand Budapest Hotel mengunakan strategi ‘cerita dalam cerita’ dimana permulaan filem penonton akan dipaparkan seorang wanita muda yang melawat dan menatap patung yang bertulis ‘author’. Naratifnya kemudian membawa penonton kepada Tom Wilkinson, seorang penulis buku yang menceritakan kisahnya sewaktu muda, dimana dia bertemu dengan pemilik hotel legenda Grand Budapest, iaitu Mr. Zero Moustafa (F. Murray Abraham). 

Jude Law memainkan watak muda Wilkinson ketika dia melawat hotel Grand Budapest. Semasa disana, dia sangat hairan dengan kondisi hotel legenda itu, yang mana ia kelihatan seperti ketinggalan zaman. Selain itu juga, dia ingin tahu kenapa Mr. Moustafa yang sangat kaya-raya, memilih bilik bersaiz almari sebagai tempat tidurnya ketika melawat hotel miliknya itu. Atas keinginan yang kuat, penulis itu bertemu Mr. Moustafa pada waktu makan malam, dan ketika itulah pemilik hotel tersebut menceritakan kisah lampaunya, bekerja dengan M. Gustave (Ralph Fiennes) di Hotel Grand Budapest. 

Filem ini memiliki nilai seni yang sangat tinggi – baik dari segi penceritaan, lakonan dan kualiti gambarnya. Mungkin ada tidak suka dengan filem sebegini, tetapi bagi saya, ia sebuah filem cantik dan sangat kemas. Wes Anderson sangat teliti dalam penulisannya, dan setiap urutan dibuat dengan cantik sekali. Lihat sahaja gaya filemnya, ala-ala filem klasik hitam putih, tetapi dalam bentuk berwarna. 


Penceritaanya juga sangat ringkas tetapi menghiburkan – ada drama, ada komedi, ada tragedi dan ada kisah cinta. Hubungan watak-watak dalam filem ini memainkan peranan yang cukup besar pada penceritaannya. M. Gustave seorang pekerja yang sangat teliti dan sanggup lakukan apa sahaja demi mengembirakan tetamu hotel, Zero seorang pekerja baru yang lurus bendul, kedua-dua watak ini membina hubungan persahabatan yang cukup beremosi.

Selain itu juga, watak-watak lain turut membantu dalam menjadi filem ini menarik, Agatha (Saoirse Ronan), gadis pembuat roti yang juga kekasih Zero turut memberi impak emosi, J. G. Jopling (Willem Dafoe) menjadi penjahat yang mengerunkan dan Madame D (Tilda Swinton), walaupun sekejap kemunculannya, menjadi punca kepada drama dan tragedi yang mengerakkan cerita. 

Walaupun plotnya santai, The Grand Budapest Hotel tidak terlepas dari tipikal filem Hollywood – ayat carutan banyak kali dituturkan watak dan terdapat adegan yang tidak sesuai untuk ditonton bersama keluarga. Bagaimanapun, adegan tersebut tidak begitu banyak dan boleh di’skip’ dengan tenang.

Secara keseluruhannya, The Grand Budapest Hotel adalah sebuah filem yang sangat jelas seninya, dan memberikan satu cerita yang sangat menghiburkan kepada penonton. Ianya bukan sahaja kemas dari penulisan cerita dan visual, tetapi lakonan para pelakonnya menjadi faktor kehebatan filem ini. Senang kata, filem ini sangat elegan!

RATING KAKIMUVEE: 9/10


Related posts

Review Filem: Hantu Bonceng 2.0 (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Space Sweepers (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Kerana Korona (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Devil (2010)

Kakimuvee

Review Filem: Mulut Masin (2020)

Kakimuvee

Review Filem: Bu, Kasih Suci (2019)

Ahmad Fariszuan