
Pertama, saya tahu ini adalah telefilem, dan kedua, saya merasa lega selepas Syafiq Yusof mengesahkan telefilem Penunggang Agama diinspirasikan dari “Munafik” dan “Khurafat”. Jadi, tidak perlulah saya menonton beberapa kali untuk melihat babak manakah yang ditiru dari filem lain.
“Penunggang Agama” berputar pada amalan ilmu hitam dan bagaimana seseorang manusia itu sanggup melakukan kesyirikan demi mendapat harta dan nama. Ditetapkan disebuah perkampungan di Cameroon Highland, plotnya tertumpu pada keluarga Amir (Zul Ariffin) yang ganggu oleh makhluk halus. Segalanya bermula apabila ibu tiri Amir (Sabrina Ali) terlihat hantu dirumah mereka sehingga menjadi trauma yang sangat teruk dan tak dapat tidur, tetapi dapat bersantai di sebuah restoran pada keesokan harinya.
AMARAN SPOILER
BAGI YANG BELUM MENONTON TELEFILEM ‘PENUNGGANG AGAMA”, ANDA BOLEH BERHENTI SETAKAT INI
Walaupun baru sekali diganggu, Dato Hafsham (Datuk Jalaludin) terus mendapatkan bantuan Tok Aji (Nasir Bilal Khan), seorang pengamal ruqyah, yang mana penampilannya jelas sekali seperti pengamal ajaran ilmu ajaran sesat. Secara kebetulan, ibu tiri Amir sekali lagi diganggu makhluk halus, mujur Tok Aji berada di rumah mereka dan terus membaca beberapa potong ayat yang kurang jelas dan pendek untuk menyelamatkan keadaan, dan kemudiannya melemparkan segenggam lidi sate keatas badan ibu tiri Amir.
Isteri Amir, Anna (Azira Shafinaz) hairan dengan cara perubatan ruqyah Tok Aji, dan mula mengadu kepada suaminya. Isterinya memberitahu Tok Aji adalah bomoh, tetapi Amir enggan mempercayainya. Berbuih mulut si Anna berkata “arwah ayah saya..”, “arwah ayah saya…” tetapi Amir tetap tidak mempercayainya. Sebagai seorang bekas pelajar Al-Azhar yang bekerja di Hospital Kerajaan, Amir tidak percaya dengan hal-hal yang berkaitan dengan bomoh, tetapi percaya tipu daya ‘scammer’. Jadi dengan mudah Amir meng’cop’ Tok Aji ‘scammer’ penunggang agama. Ha. Ha. Ha.
Sementara itu Dato Hafsham yang sangat tertekan dengan keadaan isteri mudanya, pergi ke rumah Tok Aji, dan Dato serta Tok Aji dihidangkan air oleh Huda (Salina Salibi), isteri muda Tok Aji. Mereka membincangkan tentang keadaan ibu tiri Amir, dan Tok Aji tahu siapa punca disebalik gangguan tersebut. Apabila Dato bertanya, Tok Aji berkata “tak payahlah, nanti bergaduh”, tetapi Dato tetap berkeras. Tok Aji berkata “santau itu datang dari orang yang dekat” kemudian menghentikan kata-katanya sehingga Dato menjadi ‘stress’ seperti terpaksa menunggu sambungan sinetron pada minggu hadapan.
Selepas didesak, Tok Aji bercerita sedikit, desak lagi, dan Tok Aji sambung ceritanya balik, sehinggalah akhirnya Dato Hafsham tahu siapakah puncanya. Disebabkan pendedahan Tok Aji, drama ala “Keluarga 69” mula melanda pada keluarga Amir, dan kini terpulanglah pada Amir untuk menyelamatkan keluarganya dari dipecah-belahkan oleh ‘orang terdekat’.
Telefilem sebegini tidak sah kalau tiada ‘jumpscare’. Syafiq memasukkan unsur-unsur ‘jumpscare’ dalam beberapa babak telefilem ini, dengan tujuan membuatkan penonton merasa terkejut dan takut. Saya tidak tahu apa perasaan penonton lain, tetapi secara jujurnya ‘jumpscare’ “Penunggang Agama” agak kurang mengejut. Tambahan pula, saya merasa lucu melihat jelmaan-jelmaan iblis yang tiba-tiba muncul apabila watak menoleh kebelakang atau ketepi – mungkin kerana wajah mereka tidak begitu seram.
Saya ada sedikit masalah dengan lakon layarnya. Dialog yang dilontarkan para pelakon agak kayu, lebih-lebih lagi yang diucapkan pelakon tambahan. Bagaimanapun, saya sedikit kagum dengan bacaan ayat-ayat suci oleh Azira Shafinaz, nampak dia berusaha dalam menjaya watak sebagai anak kepada seorang yang alim. Kehadiran dua pelakon veteran, Datuk Jalaludin dan Nasir Bilal Khan, masih gagal menutup kelemahan lakonan, manakala watak Hafiz lakonan Johan As’ari langsung tidak membantu perjuangan Amir dalam mengusir gangguan yang berlaku pada keluarga.Â
Perjalanan cerita agak mendatar, dan terdapat beberapa bahagian yang boleh dipertikaikan. Walaupun Syafiq terkenal sebagai pengarah yang gemarkan ‘twist’, telefilem ini tidak memaparkan sebarang kejutan di babak akhir. ‘Third act’ sangat mengecewakan. Tok Aji boleh sahaja melarikan diri, tetapi dia mengambil keputusan yang pada anggapan sesetengah penonton, termasuk saya, agak bodoh.Â
Saya sebenarnya kecewa dengan cara pengarah menghabiskan jalan ceritanya. Klimaks telefilem tidak begitu mendebarkan, hanya sekadar berlawan-lawan bacaan, lempar-melempar dan secara tiba-tiba ‘hero’ mendapat kuasa minda dan menewaskan iblis. Oh ya! apa signifikannya kehadiran orang minyak? sekadar muncul dan tewas mudah ditangan Amir kemudian iblis berkata kepada Tok Aji “Aku tak mampu lawan…”. Maaf “major spoiler” kerana terlampau geram melihat cara telefilem ini merumuskan jalan ceritanya.Â
Tiada apa yang menarik dalam “Penunggang Agama”, segalanya tipikal dan klise, cuma ia bukanlah filem. Jika Syafiq menjadikan ia sebagai sebuah filem, mungkin hasilnya berbeza, sekurang-kurangnya dapat memberi elemen ‘jumpscare’ yang boleh membuatkan penonton tercampak ‘pop corn, atau menghasilkan adegan yang lebih mengerikan.
Secara keseluruhannya, “Penunggang Agama” tak best.Â
1.5/5