Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review: “Takut Ke Tak” Sindiran Klise Filem Seram Yang Tak Menjadi?


Tak boleh bangun selepas terjatuh, berpecah kumpulan dikala berada ditempat yang menakutkan atau masih pergi ke tempat yang sudah diketahui berhantu, antara klise yang  sering kita lihat dalam filem-filem bergenre seram, atau bahasa mudahnya, ‘filem hantu’. 

Boleh dikatakan banyak filem seram menyajikan adegan yang hampir serupa dan membosankan. Jadi, dalam memberikan sesuatu yang segar, dan dalam masa yang sama menyindir klise-klise yang ada dalam filem seram, pengarah Muzammer Rahman tampil memberikan kelainan kepada penonton menerusi filem seram komedi berjudul Takut Ke Tak. 

Takut Ke Tak berkisar tentang lima pelajar jurusan filem – Abbas (Nabil Aqil), Yang Guo (Fabian Loo), Linda (Ika Nabella), Sivar (Arwind Kumar) dan Amir (Han Zalini) – yang perlu menyiapkan filem untuk projek graduasi mereka. Abbas mencadangkan kepada rakan-rakannya untuk mengambil plot dari filem-filem seram yang lain dan dimasukkan dalam filem mereka, tetapi dalam masa yang sama filem mereka mestilah unik dan tidak klise. 

Selepas bersetuju, Mereka kemudiannya pergi ke sebuah rumah hantu yang terkenal untuk menjalani penggambaran, Namun, keadaan berubah menjadi kelam-kabut disana selepas mereka berhadapan kejadian-kejadian yang menakutkan, yang mana ianya sama seperti yang dipaparkan dalam filem-filem seram. 

 

 

‘First act’ Takut Ke Tak boleh dikatakan sangat meyakinkan. ‘Introduction’ yang menceritakan kekalutan watak-watak yang ingin menyiapkan projek graduasi seolah-olah memberi petanda bahawa filem ini mampu keluar dari klise dengan gabungan seram dan komedi yang menghiburkan.


Namun, harapan untuk melihat filem ini terus memberikan sesuatu yang menarik dan segar sepanjang perjalanan filem menjadi pudar. Penceritaannya semakin mendatar dan bosan apabila memasuki pertengahan cerita. Kehadiran Daniella Sya yang memainkan watak hantu cantik hanya sekadar penyeri layar, plot yang disuntik elemen-elemen komedi dan seram adakalanya ‘dull’ dan tipikal, hanya sedikit sahaja yang mengelikan hati dan menakutkan. Klimaksnya tidak mendebarkan, cuma ‘twist’ dipenghujung filem harus diberi tumpuan. 

Apa yang menariknya tentang filem ini adalah bagaimana pengarahnya mencipta satu babak yang menghiburkan dengan menggunakan rujukan dari filem-filem seram popular. Babak dimana para pelajar menjumpai patung menakutkan ala Chucky benar-benar membuatkan penonton ketawa. ‘Reference’ dari filem Evil Dead iaitu semasa mereka diganggu hantu tangan, juga menghiburkan. Dan, yang paling menarik adalah homage dari filem seram popular Jepun, Ringu yang memperlihatkan hantu mirip Sadako keluar dari perigi sehingga menyebabkan para watak bertempiaran lari.

Rekabentuk produksi Takut Ke Tak boleh dikatakan memuaskan, bertepatan dengan konsep rumah hantu, cuma apabila dilihat dari segi pencahayaan, warna dan mood, ia kurang membangkitkan suasana seram. Skor memuaskan, tidak berlebihan dan tidak terlampau bising. Bagaimanapun, solekan hantunya sangat mengecewakan, begitu juga dengan kesan khas yang tidak begitu kemas.

Dari segi lakonan, para pelakon muda dalam filem ini dilihat tidak kekok untuk beraksi dihadapan kamera, cuma perkembangan karakter tersekat dipertengahan filem. Abbas yang nampak dominan diawal cerita, semakin tenggelam dengan karakter Sivar. Yang Guo dan Amir tidak menujukkan karakter yang kuat, manakala karakter Linda mendatar dari mula sehingga ke penghujung filem. 

Secara keseluruhannya, Takut Ke Tak tidak jauh beza dengan tipikal filem-filem seram yang lain, sindirannya hanya berbalik kepada filem ini. Namun, kelemahannya tidak bermakna filem ini teruk, ia masih berbaloi untuk ditonton sekiranya anda mencari sebuah filem seram yang santai.

RATING KAKIMUVEE: 5/10


Related posts

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Astro raih 16 anugerah di Asian Academy Creative Awards 2023

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Sepahtu Reunion Live Tour Tawan Johor Bahru Oktober Ini

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee