Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Siri TV: The Mandalorian (S1 & S2)

Setelah lama menanti, akhirnya saya dapat menonton kesemua episod siri The Mandalorian musim pertama dan kedua, terima kasih atas kehadiran Disney+ Hotstar di pasaran Malaysia. Pada awalnya, saya ingin membuat ulasan ringkas dan ‘recap’ bagi setiap episod, tetapi disebabkan terlampau sibuk, saya buat keputusan untuk menghabiskan kesemua episod terlebih dahulu dan mengulasnya secara keseluruhan. 

Bagi yang belum menonton The Mandalorian, saya membuat sedikit ringkasan, tanpa spoiler, mengenai siri ini.

Ditetapkan selepas peristiwa Return of the Jedi dan zaman kejatuhan Galactic Empire, The Mandalorian mengikuti penggembaraan pemburu berbangsa Mandalorian di luar galaksi. Siri ini bermula apabila The Mandalorian telah diupah oleh saki-baki pasukan Imperial untuk mencari seorang anak kecil dan membawanya kepada mereka. Bagaimanapun, hubungannya dengan anak kecil itu mula terbina, dan dia sebaliknya membawa lari anak kecil itu untuk melindunginya. Semasa cuba untuk menyatukan kembali anak kecil itu dengan jenisnya, mereka telah diburu oleh Moff Gideon dan pasukan tentera Imperial, yang mahukan anak kecil itu untuk dijadikan subjek eksperimen. 

Sebagai sebuah siri televisyen ‘live-action’ pertama dalam francais Star Wars, saya sebenarnya sangat kagum kualitinya yang setaraf filem. Jika dilihat pada aspek teknikal seperti kesan khas, rekabentuk produksi, rekabentuk karakter mahupun latarbelakang gambar, kita seolah-olah menonton sebuah filem. Saya tahu, mesti ramai sudah mengetahui kualiti visual siri ini, malah sudah banyak gambar-gambar atau video belakang tabir telah didedahkan kepada kepada penonton, tetapi saya masih teruja apatah pertama kali menonton siri ini.

Kualiti gambarnya diakui sangat hebat, tetapi yang paling membuatkan saya merasa puas hati tentang siri ini adalah penceritaannya. Gabungan genre Western dan angkasa dalam konteks Star Wars telah membuatkan siri The Mandalorian sangat segar dan unik. Ibarat seperti menonton siri atau filem koboi, tetapi dalam dunia Star Wars dengan tembakan-tembakan laser ‘dan Speeder’. Keunikan siri ini juga terletak pada karakternya, pemburu yang berasal dari planet Mandalore yang cukup misteri. 

Musim pertama sangat mengujakan dan penuh tanda tanya. Persoalan tentang siapakah anak kecil itu, latarbelakang The Mandalorian dan kenapa anak kecil sangat dimahukan Moff Gideon. Musim keduanya pula penuh dengan kejutan demi kejutan, kemunculan watak-watak yang tidak disangka dan sangat dinantikan peminat, dan … sudah tentu, kisahnya semakin mendebarkan dan menjadi semakin menarik, terutamanya selepas penonton mula mengentahui serba sedikit sejarah The Mandalorian dan juga anak kecil itu. 

Setiap episod tersusun rapi, ada ceritanya yang tersendiri tetapi dikaitkan dengan begitu teliti. Setiap episod ada misi yang perlu diselesaikan watak utama, ada individu yang perlu dicarinya, dan ada halangan yang harus ditempuh, sama ada membantu atau dibantu. Sebagai sebuah siri dalam dunia Star Wars, tembakan-tembakan laser dan Stormtroopers menjadi satu kemestian, cuma pencipta siri ini mengubah sedikit nada adegan-adegan aksinya, dengan memasukan elemen-elemen ‘duel’ ala filem-filem ‘Western’ bagi menjadikannya lebih menarik dan mendebarkan. 

Lakonan dan karakter dalam siri The Mandalorian boleh dikatakan sangat ‘memorable’. Walaupun ada beberapa karakter yang sangat singkat penampilannya – sekadar 1 atau dua episod – ia tetap memberi impak pada penerimaan penonton. Hubungan bapa-anak antara pahlawan Mandalorian dan anak kecil yang dijaga menjadi teras pada penceritaan siri ini.

Sebagai sebuah kisah yang menceritakan penggembaraan mereka berdua, pembinaan hubungan sangat penting agar ia menjadi ikatan yang cukup kuat sehingga memberi momen yang beremosi semasa di penghujung kisah mereka.Walaupun watak anak kecil itu tidak melontarkan sebarang dialog dan watak utama menunjukan sikap ambil beratnya dengan cara pergerakkan fizikal dan emosi, ia masih mampu membina hubungan yang cukup kuat di antara mereka. 

Secara keseluruhannya, siri The Mandalorian boleh dikatakan sangat menarik dan segar, jauh berbeza berbanding entri lain dalam francais Star Wars. Pujian harus diberikan Jon Favreau yang sangat kreatif dalam merencanakan perjalanan siri ini, begitu juga dengan pengarah-pengarah seperti Taika Waititi, Robert Rodriguez, Peyton Reed dan lain-lain, yang berjaya membawa dengan baik setiap episod arahan mereka.

Dua musim pertama The Mandalorian diakui sangat cemerlang, dan usaha Lucasfilm/Disney membawa francais Star Wars ke siri ‘live-action’ nampaknya berbaloi. Diharapkan musim ketiga yang akan datang mampu mengekalkan kecemerlangannya, dan sudah tentu, saya tidak sabar untuk melihat penggembaraan Mandalorian seterusnya. 

Rating Kakimuvee

4.5/5

Tonton The Mandalorian di Disney+ Hotstar!

Related posts

Review Filem: The Tomorrow War (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Mat Bond Malaya (2021)

Kakimuvee

Review: Zombitopia (2021)

Kakimuvee

Review Filem: June & Kopi (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: The Djinn (2021)

Ahmad Fariszuan

Review: The Dark And The Wicked (2020)

Ahmad Fariszuan

Leave a Comment