Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Siri TV: Squid Game (2021)

AMARAN SPOILER!!

Terdapat banyak filem dan siri ‘survival’ yang berasaskan permainan maut sebagai pengerak utama jalan ceritanya, begitu juga dengan siri terbaru dari Korea Selatan, Squid Game. Siri terbaru itu segera menjadi hit sejak debutnya di Netflix, bukan kerana keganasan semata-mata, tetapi juga jalan ceritanya yang berkait dengan sifat kemanusian dan hubungan antara watak yang penuh menyayat hati. 

Memandangkan ramai yang telah menonton siri ini, saya rasa tidak perlu untuk menulis ringkasan cerita, sebaliknya terus bahagian ulasan. Secara jujurnya ada beberapa pekara yang saya kurang gemar, dan ada juga bahagian cerita yang membuatkan saya kagum dan tersentuh hati. Bagi saya, Squid Game tidak jauh beza dengan rancangan ‘survival’ yang menggunakan konsep permainan maut seperti filem The Hunger Games mahupun siri Alice in Borderland. Untuk membandingkan yang mana lebih bagus, saya rasa tidak adil kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri, tetapi apa yang boleh katakan, siri ini sangat berbaloi untuk ditonton dan boleh ‘disembangkan’ sesama kita. 

Episod pertama Squid Game agak menjanjikan, pengenalan watak utama yang cukup kuat dan gambaran jelas mengenai permainan yang akan diharungi para peserta. Jika mahu mengikut tipikal rancangan ‘survival’, siri ini boleh sahaja ditamatkan pada episod pertama, sebaik para peserta mengundi untuk tidak mahu meneruskan permainan yang berpotensi untuk membuatkan mereka terbunuh. Tetapi, pada episod kedualah kita dapat melihat idea kreatif pengarah dan penulis dalam merencana sebuah rancangan ‘survival’ yang sedikit berbeza dari yang lain.

Secara tipikalnya, para peserta di’paksa rela’ untuk sertai permainan maut, tetapi Squid Game menunjukkan bagaimana wang dan kesusahan hidup mampu mengubah pendirian seseorang sehingga sanggup kembali ke arena permainan maut. Episod #2 “Hell” mungkin kelihatan agak perlahan, tetapi disinilah titik perubahan beberapa watak yang sebelum itu bersungguh-sungguh untuk keluar dari permainan. Bahagian ini jugalah yang membezakan Squid Game dengan rancangan ‘survival’ permainan maut yang lain, para peserta menawarkan diri bukan dipaksa oleh pengganjur. 

Episod #3 hingga #5 agak tegang dan mendebarkan. Banyak permainan dan kematian ngeri dipaparkan dalam ketiga episod-episod tersebut. Selain itu juga, bebeberapa watak yang menjengkelkan mula berkembang sehingga kadang-kala membuatkan penonton merasa geram dan berharap mereka akan mati. Episod pertengahan tidak sahaja tertumpu pada permainan maut dan kematian, malah turut mengeratkan lagi hubungan antara watak protagonis yang perlu bekerjasama untuk terus hidup sehingga ke permainan terakhir. Bagaimanapun, harus diingat, siri dari Korea Selatan agak gemar memasukkan ‘twist’ yang tidak disangka-sangka penonton. 

Walaupun episod awal tidak begitu ngeri, ini tidak bermakna Squid Game boleh disaksikan bersama penonton bawah umur. Semasa di permainan pertama, penonton boleh menjangkakan adegan-adegan yang cukup ganas dalam siri ini. Selain itu, terdapat juga adegan intim, jadi dinasihatkan untuk tidak menonton bersama keluarga kerana dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada penonton bawah umur. 

Dari episod awal hingga pertengahan, siri ini benar-benar memberi kepuasan yang tidak terhingga, dari konflik, debaran, kematian dan perangai yang menjengkelkan, membuatkan kita akan terus melekat di kerusi dan menghabiskan keseluruhan cerita. Namun, apabila memasuki episod #6 “Gganbu”, segalanya berubah. Plot menjadi meleret dan terlampau lama, walaupun sedang dalam permainan. Ya, episod #6 bermain dengan emosi – persahabatan singkat antara Kang Sae-byeok dan Ji-yeong memberi kesan yang lebih mendalam berbanding hubungan antara watak utama Seong Gi-hun dan orang tua bernama Oh Il-nam. Tetapi, apa penting, terdapat ‘twist’ yang menggeramkan penonton, paparan sisi gelap seseorang manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri sendiri walaupun dengan cara mengkhianati orang lain. 

Prestasi baik siri ini sedikit terganggu dengan episod #7 “VIPS”, episod paling teruk dalam Squid Game. Watak Front Man yang cukup misteri sudah memadai untuk dijadikan antagonis utama, tidak perlu cipta watak-watak VIP yang cukup janggal dan teruk lakonan mereka. Bagi saya, watak VIP ini lebih sesuai diletakkan di belakang tabir, dengan Front Man dijadikan pengantara antara mereka dan peserta. Ini secara tidak langsung akan mengekalkan misteri disebalik penganjuran Squid Game. 

Seperti siri-siri Korea Selatan yang lain, Squid Game turut memasukkan plot ‘twist’ pada penghujung cerita – ada bahagian yang boleh dijangka, dan ada juga yang sedikit mengejutkan. Pendedahan yang dibuat pada penghujung cerita menunjukkan bagaimana sifat kemanusian boleh berubah semata-mata demi merebut wang, dan niat sebenar kapitalisme yang kononnya mahu menolong orang, tetapi hanya mewujudkan persaingan yang menakutkan.

Secara keseluruhanya, siri ini berbaloi untuk ditonton walaupun terdapat sedikit kecacatan pada beberapa episod. Meskipun berdurasi hampir sejam, penonton tidak begitu merasai masa yang panjang kerana kita begitu asyik melihat para peserta berhempas pulas dalam permainan maut. Apapun, mungkin ramai dikalangan anda dapat menjangkakan bagaimana siri ini akan berakhir, tetapi dengan penamat yang terbuka, kita berharap siri bersambung pada musim kedua, mungkin melihat bagaimana protagonis utama membalas dendam terhadap mereka disebalik ‘permainan sotong.’

Rating Kakimuvee

3.5/5

Strim Squid Game (2021)

Related posts

Review Filem: Doctor (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Dune (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Dark Spell (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Chinese Doctors (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Frontliner (2021)

Ahmad Fariszuan

Review: Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021)

Kakimuvee

Leave a Comment