Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Siri: Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story (2022)


AMARAN SPOILER!!!

*Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story adalah siri Netflix yang diberi rating 18+. Penonton bawah umur dilarang untuk menonton siri ini sama sekali. 

Membaca kisahnya… sudah, menonton dokumentarinya… juga sudah, dan kini saya menonton pula sebuah siri terbitan Netflix mengenai seorang pembunuh bersiri paling sadis dalam sejarah AS. Jeffrey Dahmer, nama yang cukup terkenal bagi masyarakat AS, dek kerana jenayahnya yang kejam sehinggga menggemparkan negara. Perbuatannya yang amat kejam itu sukar diterima, sehingga saintis cuba untuk mengkaji otaknya, bagi mencari punca kenapa seorang lelaki bernama Dahmer sanggup melakukan perbuatan terkutuk diluar norma manusia biasa. 

Walaupun terdapat buku, cerita dan dokumentari mengenai pembunuh ini, Netflix mengambil inisiatifnya sendiri dengan menerbitkan sebuah siri yang mengejutkan penonton seluruh dunia. Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story adalah antara siri arus perdana yang saya rasakan agak menganggu dan tidak sesuai untuk ditayangkan di perkhidmatan penstriman. 

Saya berkata demikian kerana siri hampir menunjukkan setiap perbuatan luar akal Dahmer terhadap mangsa-mangsanya. Meskipun perbuatan kejamnya itu hanya berlaku secara ‘off-screen’, saya masih dapat merasakan betapa menganggunya adegan-adegan tersebut. Episod pertama siri ini memberi petunjuk tentang nada yang bakal dirasai penonton – tegang dan seram, antara perasaan yang bakal meliputi setiap diri anda, menanti dan melihat apa yang akan dilakukan oleh Dahmer terhadap mangsanya. 


Namun, episod pertama bukanlah permulaan dia kepada kisahnya, tetapi sebaliknya adalah detik-detik dimana dia akhirnya tersungkur dan ditangkap polis. Kita mungkin menyangkakan episod seterusnya lebih kepada penyiasatan dan berlatarkan perundangan, tidak.. anda akan dibawa mengimbas kembali kehidupannya, menunjukkan zaman kanak-kanak dalam keluarga yang retak, sehinggalah dia secara perlahan-lahan ketagih untuk memburu dan membunuh mangsanya. 

Tempo keseluruhan siri sangat perlahan, mungkin bertujuan untuk membina ketegangan di kalangan penonton. Terdapat dua sebab kenapa anda mungkin mempercepatkan tempo cerita ini, yang pertama mungkin merasa sedikit bosan dengan tempo yang bergerak perlahan, atau yang kedua, anda tidak mahu memasuki ke jiwa Dahmer dan juga mangsanya. 

Ya, saya menekan butang pilihan ‘speed 1.5X’ yang ada pada platform Netflix, tetapi bukan disebabkan ceritanya yang terlampau bosan, sebaliknya disebabkan saya merasa seram dan takut dengan watak Dahmer. Terima kasih kepada lakonan Evan Peters, yang memainkan watak Jeffrey Dahmer –  kualiti lakonannya, ditambah dengan nada dan suasana cerita ini, telah menggandakan perasaan tegang dan seram yang akan dirasai penonton. 

Siri ini tidak hanya tertumpu pada watak dan perbuatan Dahmer semata-mata, ia merangkumi semua, dari permasalahan keluarga dan persekitaran sehinggalah kesan trauma yang dirasai oleh orang jiran dan keluarga-keluarga mangsa. Saya sebenarnya agak tertarik dengan episod-episod yang memberi fokus pada ayah Dahmer, serta jiran dan keluarga mangsa. 

Episod ‘Cassandra’ misalnya memberi fokus pada trauma yang alami Glenda, jiran yang hidup bersebelahan rumah Dahmer. Dia mengalami kesan psikologi yang agak melamapu selepas mengentaui rahsia gelap jirannya itu. Misteri bau dan bunyi bising pada tengah malam akhirnya terjawab, dan dia juga merasa sangat kecewa kerana gagal menghentikan perbuatan Dahmer lebih awal hanya disebabkan panggilannya sering di pandangan remeh oleh anggota polis.

Perasaan penonton sebalik akan sedikit berubah bila menonton episod ‘Lionel’ dimana ayah Dahmer menjadi fokus cerita untuk episod tersebut. Sifat kasih sayang, menyesal dan rasa bersalah menyelubungi ayah Dahmer kerana dia gagal membesarkan anaknya. Episod ini secara tidak langsung menceritakan bagaimana keretakan sebuah keluarga mengubah seorang lelaki bernama Dahmer menjadi raksasa. 

Ada juga kisah yang memaparkan sisi pandangan mangsa seperti episod ‘Silence’, tidak dipastikan sejauh mana ketepatan episod tersebut, tetapi ia mungkin berdasarkan pengalaman keluarga mangsa dan pendedahan dari Dahmer sendiri. 

Siri Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story boleh dikatakan pelengkap kepada mereka yang pernah membaca atau mengentahui kisah pembunuh bersiri ini kerana ia boleh dianggap sebagai lakonan semula terhadap setiap perbuatan yang dilakukan Dahmer dan apa yang dirasai oleh masyarakat, khusus mereka yang terlibat dalam kes ini atau berada berhampiran Dahmer. 

Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story boleh distrim di Netflix

Rating Kakimuvee

3.5/5


Related posts

Kejayaan Filem Pertama Dorong Netflix Pesan Filem Sekuel Troll

Kakimuvee

[VIDEO] Netflix Sahkan Perancangan One Piece Musim 2

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Penerbit Sahkan Skrip Musim 2 One Piece Telah Siap

Kakimuvee

Zachary Levi Menggantikan Tempat Mel Gibson Dalam Chicken Run: Dawn of the Nugget, Tonton Trailer Pertama Disini

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee