Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review: Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021)

Masih ingatkah lagi ketika Guardians of the Galaxy membuat penampilan pertama di MCU pada 2014? Masa itu, ramai peminat kasual tidak begitu mengenali kumpulan superhero tersebut, tetapi setelah beberapa lama, mereka menjadi semakin popular dan di sayangi peminat.

Kini, Marvel Studios mengulangi percaturan mereka, dengan memperkenalkan superhero Asia pertama di MCU menerusi filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings. Sebenarnya, rujukan Shang-Chi telah dimasukkan dalam beberapa filem MCU seperti Iron Man dan Iron Man 3, cuma ia lebih kepada organisasi Ten Rings, yang berkait dengan superhero Shang-Chi. Kemudian, selepas melihat kejayaan filem superhero kulit hitam pertama, Black Panther, Marvel Studios mula menukar fokus kepada superhero Asia, iaitu Shang-Chi – karakter superhero yang kurang dikenali peminat-peminat kasual. 

Kehadiran Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings dalam senarai Fasa Empat Marvel Cinematic Universe sememangnya sangat dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi selepas terbongkar rahsia sebenar Ten Rings dalam filem Iron Man 3 yang sebenarnya palsu semata-mata. Walaupun karakternya tidak sehebat superhero Marvel seperti Thor mahupun Iron Man, Shang-Chi sangat penting dalam perjalanan MCU seterusnya, dan terutamanya kaitan dengan organisasi pengganas yang sering memberi masalah kepada Avengers. 

Filem solo pertama Shang-Chi ini lebih kepada kisah ‘origin’ watak utama dan pendedahan tentang siapa disebalik organisasi Ten Rings. Ia mengisahkan tentang Shang-Chi (Simu Liu), seorang joki kereta yang menjalani kehidupan normal di San Francisco, yang perlu berhadapan dengan kisah lampaunya apabila terjebak dengan organisasi misteri Ten Rings.

Pengenalan filem ini mengingatkan kita dengan filem-filem kung-fu Hong Kong era 80-an & 90-an, terutamanya ketika antagonis utama bertarung dengan seorang wanita misteri. Dua puluh minit pertama sangat menjanjikan, dan penuh dengan tanda tanya. Seperti Katy (Awkwafina), penonton akan merasa tidak sabar untuk mengentahui kisah silam Shang-Chi dan kenapa dia berada di Amerika Syarikat, berpisah dari keluarganya. Bercakap soal keluarga, filem ini lebih menjurus kepada hubungan kekeluargaan Shang-Chi dan konflik dalaman mereka yang boleh membawa kepada kemusnahan dunia. 

Rasa ingin tahu meningkat pada pertengahan plot, ketika Shang-Chi mengembara ke sebuah lokasi yang tidak tercatat dalam peta dunia. Ancaman yang pada awalnya dianggap kecil, berubah menjadi lebih besar selepas watak utama mengentahui sejarah dan rahsia yang tersembunyi di kawasan tersebut. Inspirasi mitologi China dalam filem ini menjadikan ia agak menarik dan segar. Jika sebelum ini kita sering melihat konflik sesama manusia mahupun makhluk asing, – dan yang akan datang, multiverse – Shang-Chi memperluaskan dunia MCU dengan memperkenalkan alam lain kepada penonton – untuk lebih spesifik, mungkin alam ghaib yang melibatkan iblis dan sebagainya. 

Walaupun pengenalan dan pertengahan cerita agak menarik dan penuh dengan tanda tanya, film ini mula menunjukkan masalah apabila memasuki ‘act’ ketiga. Plot mula berubah menjadi tipikal, dan yang paling membingungkan, ‘cringe.’ Satu-satunya pekara yang menyelamatkan ‘act’ ketiga Shang-Chi adalah adegan-adegan pertarungan, terutamanya yang melibatkan dua makhluk mistik. Melihat pada adegan yang melibatkan kedua-dua makluk ini pasti membuatkan penonton mengingat filem seperti Raya and The Last Dragon atau Reign of Fire. 

Seperti filem-filem MCU yang lain, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings turut memasukan beberapa ‘easter egg’ yang agak menarik, misalnya rujukan dari filem Black Widow dan Iron Man 3. “Easter egg” yang paling banyak anda boleh lihat adalah ketika Shang-Chi dan Katy berada di gelanggang pertarungan haram – sudah tentu pertarungan antara Wong dan Abomination paling mencuri perhatian penonton. 

Adegan-adegan pertarungan adalah faktor yang memberi kelainan pada filem ini. Dalam komik, Shang-Chi dikenali sebagai Master of Kung Fu, dan Simu Liu memberi komitmen yang cukup luar biasa dalam mempersembahkan aksi bela diri karakter superhero Marvel itu. Hampir keseluruhan adegan-adegan pertarungan memaparkan aksi bela diri, terutamanya kung fu, dan terima kasih pada kehebatan kesan visual Marvel Studios, menjadikan adegan aksinya menjadi lebih menarik dan mendebarkan. Amaran spoiler! pertarungan di tapak pembinaan pasti membuatkan anda merasa gayat.

Dari segi lakonan, tidak dinafikan Simu Liu agak ‘keras’ ekpresinya, namun ‘chemistry’ dengan Awkwafina sangat menjadi dan berjaya mencipta beberapa babak komik yang melucukan. Gadingan Simu Liu dan Awkwafina lebih kepada persahabatan, tetapi masih menunjukan sedikit hubungan yang manis dan romantik.

Prestasi Meng’er Zhang agak mengejutkan – walaupun dia pertama kali berlakon dihadapan kamera, lakonannya sebagai Xiu Xialing, adik kepada Shang-Chi, berjaya membangkitkan rasa curiga mengenai karakter dan niat sebenarnya. Lakonan Tony Leung sebagai antagonis utama Xu Wenwu, mungkin kurang ciri-ciri watak penjahat utama, tetapi sebagai sebuah filem ‘kekeluargaan’, wataknya masih tidak melupakan kasih sayang seorang bapa walaupun terpaksa bertarung dengan darah dagingnya sendiri. 

Secara keseluruhannya, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings memberikan permulaan yang baik buat superhero pertama Asia. Walaupun jenama Marvel Studios sudah cukup untuk menarik penonton, filem ini tidak mengabaikan aspek-aspek penting bagi sesebuah filem, seperti jalan cerita, pembinaan karakter dan adegan-adegan aksi yang diharapkan penonton. Bagi yang tidak begitu mengenali Shang-Chi, anda tidak perlu bimbang kerana filem ini membina kisah ‘origin’ dengan begitu baik sekali. Cuma apa yang perlu anda nantikan, adalah penggembaraan Shang-Chi seterusnya dalam dunia MCU.  

Rating Kakimuvee

4/5

Related posts

Review Filem: Doctor (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Dune (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Dark Spell (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Chinese Doctors (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Frontliner (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Malignant (2021)

Ahmad Fariszuan

Leave a Comment