Review

Review: ROCK 4 - Rockers Never Dai!

Rock 4 - Rockers Never Dai kini sedang ditayangkan dipawagam

Views

Sebuah trilogi sepatutnya diakhiri dengan filem ketiga yang penuh beremosi, tetapi tidak bagi francais Rock yang meneruskan filem keempatnya berjudul Rock 4 - Rockers Never Dai. Filem keempat ini sudah cukup memberikan satu persoalan besar kepada saya tentang rasional untuk menghasilkan sekuel kepada Rock Bro!

Jika anda mengikuti seluruh siri francais Rock, pasti anda tahu Rock Bro! adalah titik noktah kepada penggembaraan kumpulan Rock Rimba Bara. Tetapi, untuk menghidupkan kembali babak baru kumpulan Rimba Bara, ia memerlukan satu idea yang cukup kreatif dan sebab yang kukuh kenapa Rock 4 - Rockers Never Dai perlu dihasilkan.

Filem kali ini menyaksikan hanya Dio (Sharwani NS), satu-satunya krew Rimba Bara yang kembali meneruskan wataknnya (tidak termasuk cameo Slash lakonan Pekin Ibrahim dan Jijoe lakonan Khir Rahman). Tetapi kembalinya Dio yang meneruskan perjuangan Rimba Bara boleh dipertikaikan. Jika dilihat babak kemalangan dalam filem Rock Bro!, Dio merupakan antara korban kemalangan jalan raya yang turut meragut nyawa Jijoe dan Cik Man. Tetapi apabila dia kembali dalam filem kali ini, ia sudah membuktikan betapa lemahnya 'detail' dalam karya terbaru Mamat Khalid.

Saya tidak faham kenapa Mamat Khalid perlu menghidupkan kembali watak Dio sedangkan dia telah mati dalam filem sebelumnya. Saya juga sangat hairan kenapa Rock 4 tidak membawa kembali beberapa watak-watak asal sedangkan penamat Rock Bro! telah memberi peluang untuk penghasilan sekuel. Lebih mengecewakan, 'line-up' terbaru Rimba Bara langsung tidak mempunyai jiwa 'Rockers' seperti mana Jijoe, Zack, Slash, Black dan Amy Mat Piah.

Idea untuk mengembalikan zaman kegemilangan irama Rock di era yang serba moden ini bagi saya sangat bagus, tetapi 'execution'nya sangat lemah. Penceritaannya tidak kuat dan gagal memberikan impak sepertimana menonton filem pertama Rock dan Rock Oo! 'Line-up' terbaru yang dianggotai Omar (Hazama), Rayyan (Adam John), Seri (Bulan Terry) dan Acap (Nazimi Fahmi) dilihat seperti tidak bersungguh-sungguh dalam perjuangan kumpulan musik mereka. Walaupun tajuk filem 'Rockers never dai', mereka ini langsung tidak mencerminkan rockers sejati. Ibarat seperti 'poser' yang suka berjamming di studio 'Hipsturrr' dan berharap dapat jemputan untuk bermain di 'gig-gig'.

Dio yang wataknya hampir menyerupai Cik Man dan sepatunya menjadi tunjang belakang kepada perjalanan filem ini kerana dia satu-satunya ahli asal Rimba Bara, gagal dalam membawa kumpulan anak muda itu ke landasan rockers yang sebenar. Berat untuk saya tulis, tetapi secara jujur, penulisan Rock 4 sangat 'cincai boncai', tiada jiwa francais Rock dan sekadar sebagai syarat untuk penghasilan sebuah filem sekuel.

Pada mulanya saya menjangkakan Hazama akan mengambil 'batton' dari Jijoe dalam meneruskan perjuangan Rimba Bara, tetapi jangkaan saya ternyata jauh meleset. Karakter Hazama antara yang paling saya kecewa sekali. Berdasarkan poster, karakter Omar dilihat seperti peneraju yang akan membawa filem Rock 4, tetapi seribu kali sayang, karakternya di bayangi karakter Rayyan lakonan Adam John. Sama seperti filem XX-Ray III, karakter lakonan Adam John sekali lagi melangkau karakter utama yang lain. Jika sebelum ini saya suka dengan lakonan Hazama dalam filem Tiada Tajuk, filem kali ini saya merasakan wataknya jika tiada pun masih tidak memberi kesan kepada perjalanan cerita. Malah karakter-karakter lain seperti Seri dan Acap jika tidak wujud pun tiada masalah kerana semua dibayangi karakter Rayyan. Secara mudahnya, Rayyan menguasai hampir keseluruhan 'screentime' dan dialog Rock 4, sekaligus membuat saya tertipu dengan paparan karakter pada poster utamanya.

Namun begitu, masih terdapat beberapa bahagian dalam filem ini yang saya suka, terima kasih kepada beberapa 'signature' francais Rock yang masih dikekalkan Mamat Khalid terutamanya dari segi pemilihan lagu-lagu Rock. Filem kali ini tidak dilambakkan lagu-lagu Rock sepertimana Rock Bro!, sekadar petikan dan pendek tetapi memuaskan. Malah memasukan beberapa lagu Rock Alternatif seperti Shizuka, Sua Sue Kemuning dan beberapa lagu lain, berjaya mempelbagaikan lagu-lagu latar dalam filem kali ini. Babak-babak cameo yang melibatkan Jijoe dan Slash berjaya mengamit memori para peminat Rock - dan saya merasakan babak-babak cameo ini lebih bagus dari keseluruhan filem Rock 4. 

Dari segi teknikal, saya sedia maklum dengan filem-filem arahan Mamat Khalid. Kesan khas visual sekadar tempelan sepertimana yang sering digunakan dalam filem-filemnya. Cuma yang sedikit menyakitkan hati, suntingan filem yang kadang-kala meninggalkan plothole. Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan besar pada pengalaman sinematik anda.

Secara keseluruhannya, Rock 4 - Rockers Never Dai sekadar filem yang boleh ditonton untuk hiburan hari minggu. Jika anda meminggirkan keseluruhan trilogi Rock, dan memberi fokus pada lagu-lagu latar dan babak persembahan diatas pentas, mungkin anda merasakan filem ini sedikit bagus dan menyeronokkan. Apapun, diharapkan Rock 4 akan menjadi yang terakhir dalam francais - melainkan jika terdapat idea yang kreatif dan kuat untuk menghasilkan sekuel, dan saya boleh menantikannya.

RATING KAKIMUVEE: 3.5/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE3.5

VERDICT

3.5Trilogi sepatutnya tidak diusik, dan jika diusik terdapat 50% peluang untuk berjaya atau gagal, dan Rock 4: Rockers Never Dai tergolong dalam sekuel trilogi yang gagal.

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks