Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review One Two Jaga


Saya sering terfikir bilakah pembikin filem tempatan berani menghasilkan sebuah karya yang pahit untuk ditelan oleh para penonton. Apabila trailer One Two Jaga ditunjukkan pada 2014, saya berkata dalam hati inilah filem yang wajib ditonton bila ia ditayangkan kelak.

Ya, filem One Two Jaga bukan sebuah filem polis yang penuh dengan letup-letup, hujan ribut peluru dan menjerit tak tentu hala, ia adalah filem yang agak kasar, filem yang tiada ‘happy ending’ dan sangat berbeza dari filem-filem tempatan yang bertemakan kepolisan. Ini kerana One Two Jaga adalah filem yang menampilkan anggota polis sebagai penjenayah itu sendiri.

One Two Jaga mempunyai tiga kisah yang berlainan yang akhirnya akan berkait pada penghujung filem. Pertama adalah kisah Sugiman (Ario Bayu), seorang pendatang asing yang ingin membina masa depan bersama anaknya di kota Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama, Sugiman perlu menghantar adiknya, Sumiyati (Asmara Abigail) pulang ke Indonesia. Masalah mula timbul apabila Sumiyati tidak memiliki passport dan Sugiman perlu memastikan bahawa adiknya tidak ditangkap pihak berkuasa.

Kisah kedua adalah mengenai Hassan (Rosdeen Suboh) yang merupakan seorang anggota polis yang sudah berkahwin dan sering menghadapi masalah kewangan. Bagi menghadapi masalah tersebut, Hassan sering meminta rasuah dari pendatang asing. Bagaimanapun, rakan barunya Hussein (Zahiril Adzim) tidak senang dengan tindakannya itu sehingga menyebabkan konflik diantara mereka berdua.

Kisah ketiga pula mengenai pendatang dari Filipina, Rico (Timothy Castillo) yang mencuri duit dari majikan yang merupakan seorang pemilik kedai mesin judi. Dia kemudiannya menjadi buruan 2 anggota polis yang telah diupah majikan.


Jalan cerita filem One Two Jaga dihasilkan dengan begitu baik sekali. Ianya tidak begitu merumitkan dan sangat mudah untuk difahami penonton. Cuma pengarah filem ini mengajak kita untuk menilai siapakah sebenarnya penjenayah dan orang baik dalam filem ini. Tempo perjalanan filem juga agak perlahan, namun ia tidak bermakna filem One Two Jaga sebuah filem yang bosan.

Antara kekuatan filem arahan Nam Ron ini adalah barisan para pelakonnya. Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Ario Bayu, Asmara Abigail, Chew Kin Wah malah watak kecil sebagai seorang isteri polis yang dilakonkan Vanida Imran, semuanya memberikan satu bentuk kualiti lakonan yang hebat sekali. Kehebatan para pelakonnya ini lah telah menghidupkan cerita filem One Two Jaga.

secara keseluruhannya, filem One Two Jaga berjaya mencelikkan mata penonton tentang apa yang mereka tidak ketahui sebelum ini. Terima kasih kerana keberanian Nam Ron dan pasukan produksinya yang menghasilkan sebuah filem yang realistik dengan sosial masyarakat pada masa kini.

One Two Jaga diarahkan oleh Nam Ron dan dibintangi beberapa pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Timothy Castillo, Iedil Putra, Chew Kin Wah, Amerul Affendi. Filem ini sedang ditayangkan dipawagam-pawagam terpilih.

Rating Kakimuvee: 8/10


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee