
Seperti biasa apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau perayaan perayaan yang lain, industry filem pasti akan meriah dengan pelbagai filem berkenaan musim perayaan dengan mesej yang tersendiri.
Tahun ini tidak terkecuali apabila sebuah filem berjudul Ma, I Love You ditayangkan di pawagam. Pengarah yang sama mengarahkan filem Ola Bola dan juga filem yang telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Filem Bukan Bahasa Melayu Terbaik di sebuah festival filem dahulu iaitu The Journey.
Ma, I Love You pada kali ini membariskan barisan pelakon seperti Hazell Siow Li Xuan, Ong Ai Leng, Phei Yong, Loh Lai Kan, Felina Cheah, Ashlyn Yip Wen Jia dan Crystal Woon Xin Yu. Berdurasi 100 minit, diarahkan oleh Chiu Keng Guan dan diedarkan oleh Astro Shaw bersama GSC Movie.
Filem Ma, I Love You ini mengisahkan tentang kehidupan seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya. Pelbagai liku kehidupan terpaksa ditempuhi dalam usaha untuk memenuhi impiannya sebagai ibu yang prihatin.
Saban hari kita melihat warganet mengatakan bahawa filem/drama tempatan masih ditakuk yang lama dan tidak lari daripada isu anak balik dari luar negara dan tiba tiba terpaksa disuruh mengendalikan syarikat bapanya. Si anak kemudian memberontak kerana tidak mahu mengahwini anak Tan Sri rakan baik kepada bapanya yang telah berjanji antara satu sama lain untuk menjodohkan anak masing-masing.
Kemudian si anak lari daripada rumah ke sebuah kampung dan terpikat dengan gadis kampung, Terpaksa pula berhadapan dengan perangai jahat keluarga Tan Sri yang ingin membolot harta Dato Seri itu tadi dan begitulah seterusnya. Babak yang disebutkan ini sama sekali tidak akan dapat dilihat dalam filem Ma, I Love You ini.
Bahkan apa yang diterapkan dalam filem ini lebih realistik. Si ibu yang memandu kereta peninggalan arwah suaminya. Tinggal di Kawasan perumahan kebanyakkan. Tiada kereta atau syarikat besar bahkan si ibu hanya seorang wanita 40-an yang bekerja sebagai ejen insurans.
Mungkin bukan semua melalui kisah seperti ini namun saya yakin ia adalah apa yang orang kebanyakkan lalui pada zaman sekarang.
Filem ini juga pada dasarnya mengajar kita untuk melepaskan apa sahaja yang tidak perlu untuk kita fikirkan. Antara dialog yang bagi saya cukup memberikan kesan semasa menonton adalah – “Kamu terlalu nak urus semua benda. Soal anak, soal kerjaya, soal jiran, soal kewangan.
Padahal dibelakang kamu ada Tuhan yang lebih layak mengatur semua yang kamu fikir. Cuba sekali sekala lepaskan apa yang kamu fikirkan. Rehat. Tidur, dan biarkan Tuhan yang mengaturkan segala2nya buat kamu.”
Filem ini mungkin tidak mempunyai CGI yang berat menghiasi setiap babak dan layar namun bagi mereka yang mengamati filem ini akan dapat melihat bahawasanya hidup ini indah.
Bagi mereka yang masih belum berkesempatan menonton filem ini bolehlah berbuat demikian di pawagam berhampiran anda.
5/5