Das Boot, Crimson Tide, The Hunt of Red October, U-571 merupakan antara filem-filem bertemakan kapal selam yang sangat saya gemari dan tidak bosan untuk menontonnya berulang kali. Kali ini, saya boleh masukkan filem terbaru lakonan Gerard Butler, Hunter Killer sebagai filem kapal selam dalam senarai filem kegemaran saya.
Hunter Killer yang diarahkan oleh Donovan Marsh ini berdasarkan dari novel Firing Point karya Don Keith dan George Wallace. Ia berkisarkan tentang konflik diantara Amerika Syarikat dan Rusia yang hampir membawa kepada peristiwa Perang Dunia ketiga.
Filem ini bermula apabila sebuah kapal selam Amerika Syarikat telah dilaporkan hilang di lautan Artik. Komander kapal selam, Joe Glass (Gerard Butler) telah diarahkan oleh ketua turus tentera AS untuk menyiasat kehilangan kapal selam mereka. Apabila berada disana, mereka mendapati kapal selam tersebut telah dimusnahkan oleh sebuah kapal selam Rusia. Ketika menyiasat tindakan ketenteraan pihak musuh, mereka mendapati Presiden Rusia telah dijadikan tawanan oleh Menteri Pertahanannya, Dmitri Durov (Mikhail Gorevoy) yang sengaja mahu mencetuskan Perang Dunia Ketiga. Bagi mengelakkan kejadian tersebut berlaku, Joe Glass bekerjasama dengan pasukan SEAL, Bill Beaman (Toby Stephens) dalam misi merbahaya, menyelamatkan Presiden Rusia dan mengelakkan dari peperangan global dari berlaku.
Apa yang saya boleh katakan, Hunter Killer mengambil beberapa cebisan adegan aksi dan thriller dari filem-filem bertemakan kapal selam yang saya nyatakan di perenggan atas sekali. Contoh yang saya boleh berikan, babak kapal selam diburu kapal pemusnah seperti Das Boot, tekanan diantara komander dan pengawainya dalam membuat keputusan seperti Crimson Tide serta adegan memburu dan memusnahkan kapal selam seperti The Hunt of Red October. Kiranya, Hunter Killer memiliki pakej aksi yang lengkap sebagai sebuah filem bertemakan kapal selam. Selain itu juga, aksi-aksi dari pasukan SEAL juga tidak menghampakan, cuma kurangnya taktikal pasukan SEAL sedikit-sebanyak mengurangkan kehebatan aksi dibahagian darat.
Bagaimanapun, kehebatan aksi Hunter Killer dicacatkan dengan kesan khasnya yang agak teruk serta jalan cerita yang agak klise dan sangat mudah untuk dijangka. Begitu juga dengan lakonan para pelakonnya. Bagi saya, hanya Gerard Butler dan Tobey Stephens sahaja yang begitu menyakinkan. Lakonan pelakon lain agak ‘awkward’ dan kaku. Gary Oldman pula hanya sekadar membawakan watak seorang ketua turus tentera yang agak ‘annoying’.
Jika anda bertanyakan kepada saya berapa rating yang saya akan letakkan, saya berani memberi rating Hunter Killer 8/10 untuk aksi semata-mata, tetapi jika melihat secara keseluruhannya, Hunter Killer bagi saya sebuah filem yang menarik, tetapi tidak begitu bernilai. Jadi, jika anda ingin menonton filem Hunter Killer, tetapkan minda anda seperti saya, hanya menonton filem ini disebabkan ia dilakonkan oleh Gerard Butler dan sekadar ingin melihat adegan-adegan aksinya.
Rating Kakimuvee: 6/10