Review Filem Hantu Kak Limah

0
68
views

“Oi Kak Limah! Tak Pergi Tengok Akademi Fantasia ke?!” saya masih ingat beberapa dialog dari filem pertama Hantu Kak Limah Balik Rumah yang ditayangkan pada 2010. Bagi saya, filem seram komedi tersebut merupakan antara karya terbaik pengarah Mamat Khalid dan saya anggap ia sebagai salah sebuah filem tempatan yang paling ‘legend’.

Mamat Khalid bukanlah pembikin filem yang asing dalam industri perfileman tempatan. Beliau banyak menghasilkan filem-filem yang begitu menarik dan dekat dengan selera para penonton tempatan. Selain menghiburkan, filemnya juga sarat dengan satira komedi serta mesej-mesej yang begitu padu dan tepat ke dada masyarakat.

Terbaru, beliau kembali menerusi filem Hantu Kak Limah yang juga merupakan filem ketiga dalam siri Hantu Kak Limah. Dibintangi oleh Awie, Rab Khalid, Delimawati, Sharwani NS, Uqasha Senrose, TJ Isa serta Zul Ariffin, filem ini menyaksikan penduduk Kg. Pisang kembali dihantui oleh Hantu Kak Limah yang sebelum ini pernah menganggu mereka.

Pendapat saya, filem Hantu Kak Limah ini tidak jauh bezanya dengan filem pertama. Elemen komedi masih dikekalkan seperti biasa dan tahap keseraman filem ini dipertingkatkan sedikit dari filem pertama. Tetapi, untuk mengatakan filem ini berdiri sama tinggi dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah jauh sekali. Saya tidak mengatakan filem Hantu Kak Limah ini teruk, cuma filem kali ini kurang ‘umph!’ berbanding yang asal.

Meskipun tanpa beberapa pelakon asal yang telah meninggal dunia dan juga tidak kembali membawakan watak mereka dalam filem kali ini, pelakon-pelakon baru masih mampu memberikan impak menerusi karakter-karakter mereka. Zul Ariffin yang baru pertama kali berlakon dalam sebuah filem berunsur komedi masih mampu membawakan watak bomoh dan guru silat, Solihin dengan begitu baik sekali walaupun terdapat sedikit ‘awkward’ dalam penyampaian humornya. Awie pula bagi saya sangat mengecewakan. Karakternya yang dulunya macho dan mempunyai wawasan hancur lebur dalam filem kali ini. Karakternya dirosakkan dengan personalitinya seperti pemuda yang sudah tiada wawasan dan sedikit ‘mereng’.

Dari segi komedi, tidak dinafikan terdapat beberapa babak yang penyampaian humornya mampu membuatkan penonton ketawa besar, namun boleh dikatakan banyak komedi yang cuba disampaikan agak teruk dan boleh dianggap basi. Allahyarham Rab Khalid dan Ropie Cecupak bagi saya adalah individu penting yang berjaya menghidupkan suasana humor dalam filem ini berbanding pelakon-pelakon lain. Cara kedua-dua pelakon tersebut melakonkan aksi komedi mereka boleh dikatakan sangat ‘natural’ dan bersahaja. Seperti kebiasannya, Mamat Khalid tidak lupa untuk menyelitkan sedikit satira komedi yang menyentuh hal isu semasa pada masakini. Komedinya mungkin menyebabkan anda ketawa jika anda tahu apa maksudnya.

Perjalanan cerita filem Hantu Kak Limah bagi saya sedikit mengecewakan. Banyak babak-babak dalam filem ini dikitar semula dari beberapa filem awal Mamat Khalid terutamanya dari filem pertama Hantu Kak Limah. Tiada pembaharuan dan perkembangan, kesemuanya kelihatan sama. Plot ‘twist’ filem ini juga tidak begitu mengujakan dan tidak memberi impak yang begitu besar. Namun begitu, perjalanan ceritanya tidaklah begitu merumitkan dan ianya mudah untuk difahami penonton.

Apa yang menariknya Mamat Khalid telah menghasilkan satu babak yang diambil dari salah sebuah filem klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai penghormatan kepada legenda tersebut. Selain itu juga, Mamat Khalid juga turut menyelitkan beberapa ‘easter egg’ dari beberapa filem beliau sebelumnya. Jika anda pernah menonton filem-filem Mamat Khalid, anda pasti dapat mengenal pasti kesemua ‘easter egg’ itu.

Dari segi sinematografi, banyak peningkatan berbanding filem-filem Mamat Khalid sebelum ini. ‘Shoot’ nya sangat cantik dan boleh dibanggakan. Mungkin kerana ia diterbitkan oleh studio besar iaitu Astro Shaw dan Infinitus Productions Oh ya! musik latar yang dimainkan juga sedap untuk didengar terutamanya lagu Srikandi Cintaku yang diberi sentuhan baru. Selain itu juga, skor filem ketika babak seram mampu membuat bulu roma saya meremang.

Secara keseluruhannya, filem Hantu Kak Limah masih sebuah filem seram komedi yang menghiburkan. Meskipun tidak mampu mengatasi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, ianya masih dapat membuatkan penonton tertawa dengan adegan-adegan komedi yang ditunjukkan serta membuatkan penonton merasa berbaloi menonton filem ini dipanggung wayang.

Nota Kaki: Al-Fatihah buat Allahyarham Rab Khalid, Man Kadir, Zami Ismail dan Azwan Annuar.

Rating Kakimuvee: 6/10

Hantu Kak Limah

0.00
6.1

SERAM / KOMEDI

7.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0/10

PLOT / CERITA ASAL

4.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

6.5/10

PEMBANGUNAN KARAKTER

6.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here