Filem yang agak perlahan dan bosan, mungkin itu adalah pendapat bagi penonton yang tidak gemarkan filem yang ‘banyak cakap’. Tetapi bagi saya, First Man ada filem yang hampir sempurna dari pelbagai segi baik dari segi jalan cerita, lakonan dan seni sinematogarfinya.
First Man bukanlah filem sains fiksyen yang menyaksikan pengembaraan angkasa yang akan memukaukan penonton dengan permandangan angkasa dan kehebatan kapal angkasa, sebalikya ia adalah sebuah filem biopik mengenai bekas angkasawan pertama didunia yang menjejakkan kaki di Bulan iaitu Neil Armstrong.
Damien Chazelle yang pernah merangkul Pengarah Terbaik Anugerah Academy menerusi filem La La Land meneruskan magisnya apabila menjadi pengarah filem biopik ini Beliau tidak keseorangan dalam menghasilkan karya yang hebat apabila pelakon utamanya dalam filem La La Land, Ryan Gosling turut serta dalam filem ini dengan membawakan watak utama Neil Armstrong.
First Man tidak terus meloncat kepada kejayaan misi kapal angkasa Apollo 11 yang menyaksikan Neil Armstrong berjaya menjejakkan kaki di Bulan, sebaliknya ia bermula dari peringkat awal karier Armstrong sebagai pemandu pesawat ujian sehinggalah dia terlibat dalam projek Gemini, iaitu projek NASA yang ingin membawa manusia ke angkasa.
Ya, First Man sememangnya ‘banyak cakap’ dan pembinaan jalan ceritanya agak perlahan. Ia memerlukan fokus dan mata yang segar untuk menonton perjalanan filem ini dari mula sehinggalah tamat. Tetapi pembinaan jalan ceritanya sangat baik dan kemas terutamanya ‘first act’ dan ‘third act’ filem ini. Walaupun penamatnya boleh dijangka, pengarahnya tidak mensia-siakan babak tersebut apabila menyelitkan satu adegan yang akan memberi kesan yang cukup mendalam kepada penonton.
Sukar mencari kelemahan teknikal dalam filem First Man sebenarnya. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, segala-galanya sempurna. Sinematografi First Man cukup cantik, kemas dan hebat, malah tekstur ‘grain’ yang terdapat pada filem kelihatan seperti filem klasik. Saya tidak lagi menonton filem ini di pawagam IMAX, saya rasakan kehebatan sinematografi filem ini akan memberikan pengalaman hebat sekiranya ia ditonton dalam pawagam IMAX.
Dari segi lakonan, saya menjangkakan Ryan Gosling mungkin akan tercalon lagi dalam Anugerah Oscar selepas filem La La Land. Saya kagum dengan kehebatan lakonan sebagai Neil Armstrong, individu yang tidak suka dengan keegoan serta seorang yang fokus yang menyelesaikan kerja. Lakonan para pelakon lain juga tidak mengecewakan, pendek kata kesemua barisan pelakon First Man berjaya melakukan kerja mereka dengan begitu baik sekali.
Secara keseluruhannya, Damien Chazelle bukan sekadar bercerita tentang angkasawan yang pernah menjejakkan kaki di Bulan, malah beliau turut berjaya membawa penonton merasai kesedihan, kegagalan, kemarahan dan kegembiraan dalam usaha manusia mencipta sejarah yang begitu hebat abad ini.
Rating Kakimuvee: 8.5/10