Review

Review Filem: Zombieland: Double Tap

Madison gedik tapi kelakar!

Views

AMARAN MAJOR SPOILER!!!

10 tahun peminat terpaksa menantikan filem sekuel Zombieland. Filem pertama yang ditayangkan pada tahun 2009 telah mencetuskan fenomena dikalangan peminat-peminat filem, terutamanya kepada mereka yang menggemari filem bertemakan zombi. Konsep dan jalan ceritanya segar telah menjadi salah satu faktor yang membuatkan penonton mengangkat Zombieland ke tahap yang tertinggi.

Bagi memastikan filem sekuel tetap berkualiti seperti filem pertama, orang-orang penting disebalik filem pertama seperti pengarah, penulis dan pelakonnya, telah dikekalkan oleh pihak studio. Bagaimanapun, untuk menghasilkan sekuel dari filem yang telah menjadi ‘cult classic’ tentunya amat sukar meskipun masih mengekalkan orang-orang penting francais.

Filem kali ini ditetapkan 10 tahun dari peristiwa filem pertama, ianya bersesuai kerana salah seorang pelakon utamanya,  Abigail Breslin yang telahpun meningkat dewasa. Setelah sedekad hidup di tanah yang digelar Zombieland,  Tallahassee (Woody Harrelson), Columbus (Jesse Eisenberg), Wichita (Emma Stone), dan Little Rock (Abigail Breslin) telah menjadi sangat ‘power’ dalam kehidupan mereka. Ancaman zombi bukanlah masalah besar, cuma mereka kini hanya memerlukan satu tempat tinggal yang tetap untuk memulakan hidup baru.

Walaupun telah lama hidup bersama, mereka masih lagi sukar untuk melayan karenah masing-masing. Little Rock semakin bosan dikongkong Tallahassee, manakala bagi Tallahassee, dia perlu menjaga Little Rock seperti anak kecilnya sendiri. Columbus pula berpandangan jauh, dan mahu merancang sebuah keluarga dengan kekasih hatinya, iaitu Wichita. Tetapi sebagai seorang gadis yang tinggal di zaman yang penuh dengan zombi, dia juga membuat satu peraturan, iaitu tidak jatuh cinta kepada seseorang.

BACA:  Munafik 2 Review

Akibatnya, kedua-dua beradik iaitu Wichita dan Little Rock telah meninggalkan Tallahassee dan Columbus. Kecewa dengan perbuatan adik-beradik tersebut, terutamanya ‘kekasihnya’, Columbus telah meluahkan perasaan kepada Tallahassee sehingga telinga si koboi itu berdarah-darah dek kerana tidak tahan melayan luahan perasaan. Ketika berada disebuah pasaraya yang telah usang, Columbus dan Tallahassee telah terserempak dengan seorang gadis gedik bernama Madison (Zoey Deutch) yang entah tidak tahu dari mana dia datang. Pertemuan itu secara tidak langsung telah menyalakan api cinta monyet diantara Columbus dan Madison.

Bagaimanapun, sedang hangat bercinta di bilik yang pernah didiami Abraham Lincoln, Wichita kembali ke tempat tinggal mereka, dan memberitahu bahawa adiknya telah meninggalkannya. Kembalinya Wichita menyebabkan dua situasi berbeza iaitu situasi janggal dan marah. Situasi janggal disebabkan Wichita telah bertemu dengan kekasih baru Columbus, manakala situasi marah disebabkan Tallahasee kecewa ‘anak gadis’nya telah gatal mengikut ‘jantan’ lain. Demi mencari Little Rock, mereka bertiga sekali lagi menggembara ke tanah Zombieland. Dengan Madison ikut serta, terjadilah budaya sindir-menyindir, dan masa yang sama mereka mendapat tahu bahawa zombi telah berevolusi menjadi seperti Terminator T-800! Masa semakin suntuk , dan mereka perlu segera mencari Little Rock sebelum dibaham zombi T-800.

BACA:  Abang Long Fadil 2 (2017) Review

Seperti filem pertama, Zombieland: Double Tap masih mampu memberikan sebuah filem yang sangat menghiburkan. Pelakon-pelakon utama masih mampu membuatkan saya terhibur, tetapi jujur saya katakan, karakter baru Madison paling mencuri perhatian. Walaupun wataknya sangat gedik hingga terasa seperti ingin tunjal dahinya, dia sebenarnya menjadi pemangkin untuk beberapa adegan komedi, terutamanya kepada karakter sinikal Wichita. Agak kelakar bila melihat babak yang melibatkan Wichita dan Madison, yelah sebagai seorang yang terancam dengan gadis yang lagi comel, maka muncullah ayat-ayat menyindir dari mulut Wichita, lebih-lebih lagi dengan perangai Madison yang jenis tidak faham ayat sindiran.

karakter ‘doppelganger’ Wichita, Columbus dan Tallahasee lakonan Rosario Dawson, Thomas Middleditch dan Luke Wilson turut membantu dalam memberikan hiburan kepada sekuel kali ini. Cuma cara Luke Wilson dalam menyampaikan komedi dan meniru karakter Tallahasee nampak seperti ‘try hard’. Rosario Dawson nampak ‘badass’ dalam membawa karakternya sebagai Nevada. Kemunculannya pada saat-saat genting untuk menyelamatkan empat sekawan dari serangan zombi T-800 sememangnya sangat epik, ibarat seperti Captain Marvel datang secara meluru menghancurkan kapal induk si Thanos.

Adegan aksinya juga bersesuainya dengan status ‘r-rated’, tusukan tajam, kepala zombi yang hancur ditembak dan darah yang membuak-buak berserta dengan gaya ‘slow-mo’ menjadi aksi filem ini sangat menarik dan dalam masa yang sama membuatkan perut menjadi mual dek kerana geli.

BACA:  Review filem King Arthur: Legend of the Sword

Sebagai sebuah filem yang ringan, Zombieland: Double Tap menyajikan sebuah jalan cerita yang sangat ringkas-seringkas-ringkasnya. Selain daripada konflik cinta tiga segi, keinginan Tallahasee dengan Elvis Presley dan misi mencari Little Rock, plot filemnya juga sarat dengan dengan adegan-adegan komedi, dan aksi melawan zombi. Terdapat sedikit ‘twist’ yang melibatkan karakter Madison, dan serius saya katakan, ‘twist’nya mengejutkan campur kelakar. ‘Third-act’ filem ini bagi saya sangat ‘cheesy’ terutamanya semasa babak penghujung, tetapi masih menarik untuk ditonton kerana melibatkan aksi-aksi menentang zombi. Cuma yang agak ‘turn off’ dengan tindakan LPF yang terlampau banyak menutup ayat-ayat ‘kasar’,

Secara keseluruhnya, Zombieland: Double Tap masih mampu memberikan sebuah filem yang menghiburkan kepada penonton walaupun sekuelnya mengambil masa yang cukup lama untuk dihasilkan. Tetapi secara perbandingan, filem ini – seperti filem-filem sekuel yang lain – tidak mampu menandingi kehebatan filem pertama, lebih-lebih lagi jika sesebuah filem itu telah menjadi cult classic.

RATING KAKIMUVEE: 7/10

shares