Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Zack Snyder’s Justice League (2021)

Versi pawagam “Justice League” yang ditayangkan pada 2017 menjadi bahan jenaka peminat filem superhero. Rata-rata mereka berkata, suntingan Joss Whedon telah merosakan nada DCEU dan seolah-olah cuba mengikut acuan Marvel Cinematic Universe. Kecewa dengan filem ‘crossover’ DC itu, para peminat, yang turut disokong Zack Snyder dan beberapa krew belakang tabir, telah melancarkan kempen yang mendesak Warner Bros. untuk melepaskan “Justice League” versi Zack Snyder.

Kempen mereka berjaya, dan Warner Bros. dengan bermurah hati telah memberikan bajet kepada Snyder untuk menyunting semula “Justice League” mengikut acuannya sendiri. Dan, selepas sabar menunggu, para peminat filem superhero, khususnya DC, akhirnya dapat menonton “Zack Snyder’s Justice League” di perkhidmatan streaming HBO Go.

Saya dan beberapa penulis Kakimuvee berpeluang menonton “Zack Snyder’s Justice League” lebih awal, dan kami bersepakat visi Snyder lebih baik dari versi pawagam. Dari segi plot, sudah tentu “Zack Snyder’s Justice League” dan versi asal tidak jauh bezanya, menceritakan bagaimana sekumpulan metahuman yang perlu bersatu untuk menghalang Steppenwolf dari menggambil ‘Motherboxes’ dan menguasai planet Bumi. 

Yang membezakan visi Sndyer dan versi asal adalah perincian cerita, perkembangan karakter dan nada filem. Snyder bukan sekadar menceritakan usaha ‘Justice League’ yang mahu menghalang Steppenwolf, tetapi turut memasukkan ‘backstory’ beberapa watak adiwira seperti ‘Cyborg’. ‘Backstory’ watak utama ini perlu, memandangkan terdapat beberapa adiwira masih belum mempunyai filem solonya sendiri.

Amaran!! Major Spoiler!

Anda boleh berhenti disini untuk mengelak dari membaca spoiler

‘Backstory’ Aquaman misalnya, telah menggambarkan serba sedikit konflik yang dihadapi Arthur Curry sebelum ia diceritakan dengan lebih terperinci dalam filem solonya sendiri pada 2018. Sementara kisah Cyborg sangat penting kerana keluarga Silas memainkan peranan yang cukup kritikal dalam membantu Justice League menjejaki dan menentang Steppenwolf.

Bagi memudahkan penonton dapat mengikuti penceritaannya, Snyder membahagikan filemnya kepada enam bab, yang mana setiap bab disertakan tajuk, merujuk kepada plot bab tersebut. Selain itu juga, Snyder turut memasukkan bab ketujuh iaitu ‘epilog’, yang berdurasi lebih kurang 20 ke 25 minit. Bab epilog ini sebenar bonus dari Snyder kepada peminatnya.

Snyder juga tidak melupakan watak-watak tidak kurang pentingnya. Lois Lane yang kehilangan Superman dipaparkan kesengsaraannya – lebih berdrama, malah pengarah itu juga turut menampilkan beberapa cameo yang berpotensi untuk menjadi watak utama dalam filem akan datang. Untuk info, watak-watak cameo ini telah dipotong dalam versi Whedon.

Seperti yang kita tahu, Snyder sangat mementingkan nada ‘gelap’ dalam filemnya. Penafian, visual filemnya tidak gelap seperti CD cetak rompak. Apabila kita menonton visi Snyder ini, kita dapat rasanya sesuatu yang suram, dan ‘dark’. Elemen komedinya sangat sikit, tetapi dialog popular ‘I’m rich’ masih kekal dalam visinya. Hanya Barry Allen dijadikan watak ‘comic relief’, sesuai dengan karakternya dalam komik. Jika versi pawagam kita melihat babak komedi seperti Diana Prince terhempas atas The Flash, dan Aquaman terduduk atas Lasso of Truth, dalam versi Snyder, semua itu dibuang jauh-jauh. 

Nada gelapnya turut dipaparkan dalam aksi pertarungan. Karakteristik heroin Diana Prince aka Wonder Woman seolah-olah berubah menjadi anti-heroin apabila dia membunuh kejam lawannya. Saya tahu, semua superhero ‘live-action’ pernah membunuh, tetapi bagaimana Snyder menterjemahkan cara mereka bertempur dan membunuh agak mengejutkan, ibarat seperti Spartan menikam, menetak dan memancung dengan bala tentera Xerxes dalam filem “300”. 

Walaupun Snyder memperincikan lagi plot dan karakter, dia tidak dapat lari dengan gaya ‘slo-mo’. Snyder memasukkan banyak babak gerak perlahan. Sesekali mungkin tidak mengapa, tetapi jika terlampau kerap kadang kala boleh menjadi mengantuk. Tidak hairan kenapa filem ini berdurasi empat jam. Sekitar dua hingga tiga pertama mungkin membosankan segelintir penonton, dan pekara itu diakui oleh saya dan rakan penulis yang lain. Anda akan melihat banyak adegan ‘bercakap’, tetapi bagi saya ia tidak menghairankan, kerana Snyder sememangnya mahu memperincikan plot filem ini.

Mujur masih terdapat beberapa adegan aksi sebelum kita dibawah melihat pertarungan akhir antara Justice League dan Steppenwolf. Pertempuran di Themyscira dipanjangkan sedikit dengan ‘detailing’ babak aksi yang lebih menarik dan ganas. Puas melihat pahlawan Amazon bertempur dengan Steppenwolf. Sejarah ‘Motherboxes’, terutamanya mengenai Parademon telah diubah sedikit, pekara ini akan saya kupaskan dalam artikel akan datang, dan penantian yang dinanti, pertarungan akhir yang menjanjikan aksi yang DCEU yang begitu hebat.

Babak klimaks “Zack Snyder’s Justice League” harus diberi tumpuan kerana babak ini sangat berbeza dari versi Whedon. Seperti yang sebutkan diatas, nada ‘dark’ dengan gabungan elemen keganasan menjadi faktor kenapa saya katakan “final fight” versi Snyder adalah antara yang terhebat dalam DCEU. Snyder langsung tidak membazirkan masa pertarungan dengan menyelamatkan keluarga Rusia.

Segalanya tertumpu pada misi Justice League, iaitu untuk menghentikan Steppenwolf. Yang paling menarik, sebaik sahaja tamat, kita akan tertanya-tanya siapakah watak OP yang sebenar. Adakah Superman? Cyborg? atau karakter adiwira yang lain. Jujur saya katakan, pertarungan akhir filem ini sangat epik.

Izinkan saya mengulas sedikit babak ‘Kightmare’ yang dinantikan peminat. Saya tidak ingat berapakah durasi babak tersebut, tetapi ia memberi impak yang cukup besar, khususnya pada watak Joker. Seperti “Justice League”, Joker turut menjadi bahawa ketawa, tetapi Snyder telah ‘twist’ watak Jared Leto itu menjadi lebih ‘dark’ dan ‘memorable’. Mungkin ada yang mengingatinya kerana berpakaian seperti Taliban, tetapi saya merasa sesuatu yang lebih dalam diri Joker. 

Bagi saya “Zack Sndyer’s Justice League” lebih baik dari versi asal, lebih terperinci dan lebih aksi. Mungkin pendapat anda berbeza, tetapi saya menyukai versi kali ini, dan saya teruja jika visi Snyder diteruskan Warner Bros., lebih-lebih lagi selepas saya melihat babak “Knightmare” dan membaca perancangan Snyder untuk hasilkan “Justice League 2”, yang berdasarkan komik “Injustice League”. Secara keseluruhan, filem ini masih menyampaikan cerita yang sama, cuma yang membezakannya, anda melihat versi Snyder, bukan Whedon.

“Zack Snyder’s Justice League” akan ditayangkan di HBO GO mulai 18 Mac ini.  

Rating Kakimuvee

4/5

Related posts

Review Filem: Cruella (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Mencari Rahmat (2017)

Kakimuvee

Review Filem: Ada Hantu (2021)

Kakimuvee

Review Siri TV: What If…? (2021)

Kakimuvee

Review Filem: The Tomorrow War (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Mat Bond Malaya (2021)

Kakimuvee

Leave a Comment