Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Wira (2019)


AMARAN SPOILER!!!

Apabila menonton sebuah filem bergenrekan aksi, penonton kadang-kala perlu membuang beberapa ‘jangkaan’ agar kita dapat menikmati sesebuah filem itu tanpa rasa kecewa. Seperti genre-genre yang lain, filem bertemakan aksi turut mempunyai masalah dalam menyeimbangkan eleman utamanya, iaitu aksi dengan aspek teknikal filem yang lain seperti plot filem ataupun kualiti lakonan.

Jika terlampau mementingkan adegan aksi, plot filem mungkin terpaksa dikorbankan, dan sekirannya pembikin filem mementingkan jalan cerita dan lakonan, mungkin dia perlu mengurangkan adegan aksi agar durasi filem tidak terlalu panjang. Jadi, keseimbangan sangat penting dalam filem-filem bergenre sebegini, dan menjadi penentu sama ada ia adalah sebuah filem yang bagus atau sekadar filem ‘pop-corn’ yang tidak memberi sebarang memori kepada penonton.

Filem Sangkar boleh dijadikan contoh ketidakseimbangan dalam sebuah filem yang menjadikan aksi pertarungan sebagai tarikan utama. Kurangnya aksi didalam gelanggang membuatkan Sangkar dikritik kerana gagal memberikan sebuah adegan aksi seperti yang diharap. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya mengenai filem Sangkar, tetapi sebagai peminat filem aksi, saya merasa agak kecewa kerana kurangnya adegan-adegan pertarungan dalam filem yang ‘klaim’ sebagai filem MMA pertama tempatan.

Apabila Wira mula ditayangkan pada beberapa hari yang lalu, saya membuang sedikit jangkaan agar tidak merasa kecewa seperti mana saya kecewa dengan filem Sangkar. Ketiadaan tagline ‘fancy’ pada poster filem banyak membantu dalam mengurangkan sedikit jangkaan terhadap filem arahan Adrian Teh ini. Dalam fikiran, saya hanya ingin melihat sejauh mana Wira dapat memberikan sebuah filem yang memiliki jalan cerita yang baik tanpa menyisihkan tarikan utamanya iaitu adegan-adegan bergocoh.


Tidak keterlaluan untuk saya katakan, Wira hampir menyamai sebuah lagi filem aksi tempatan iaitu Geran. Penceritaannya hampir sama, sebuah keluarga yang cuba untuk keluar dari cengkaman antagonis yang suka menindas golongan marhaen.

Wira berkisarkan tentang Hassan (Hairul Azreen) yang pulang ke tempat asalnya dengan tujuan untuk membawa keluar keluarganya dari hidup dikawasan kejiranan yang rosak akibat dari kerakusan seorang taikun iaitu Raja (Dain Said) yang menguasai penduduk dikawasan tersebut. Bagaimanapun, dia sukar untuk memujuk ayah dan adiknya keluar dari tempat tersebut. Apabila mengentahui keluarganya berhutang dengan Raja, dia telah membawa adiknya iaitu Zain (Fify Azmi) untuk berjumpa dengan Raja bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Sebagai antagonis yang ego, Raja telah menetapkan satu pertarungan yang menyaksikan Hassan perlu kembali ke gelanggang dan bergandingan dengan adiknya untuk menentang anak-anak Raja iaitu Vee (Ismi Melinda) dan Rayyan (Josiah Hogan). Bagi Hassan dan Zain, pertarungan tersebut sangat penting untuk mereka keluar dari cengkaman Raja, namun apa yang mereka tidak ketahui, pertarungan tersebut akan menentukan hidup mati mereka.

Kekuatan filem Wira terletak pada adegan-adegan aksinya. Hampir keseluruhan durasi filem diisi dengan aksi pertarungan diantara watak proantagonis dan para penjahat. Tetapi sayanganya, adegan aksi filem ini agak terbantut dengan klasifikasi filem PG-13. Setiap pertarungan boleh dikatakan sangat mendebarkan, tetapi kurang menitikberatkan ‘finishing’ yang keras dek kerana klasifikasi filem. Jika pembikin filem berani mempertaruhkan rating 18, saya pasti Wira akan menyajikan adegan aksi yang puas sepertimana anda menonton filem John Wick ataupun The Raid.

Walaupun Wira sarat dengan adegan aksi, ia tidak bermakna babak tersebut sempurna. Terdapat beberapa kelemahan ketara yang saya perhatikan antaranya babak yang melibatkan pertarungan diantara Zain dan Vee semasa diawal filem. Pertarungan diantara dua gadis itu nampak seperti mendebarkan, tetapi babak tersebut jelas ‘dicepatkan’ supaya ia kelihatan ‘intense’ – nampak seperti kartun sedang bergocoh. Begitu juga pemilihan pelakon tambahan untuk dijadikan ‘punching bag’ watak proantagonis, nampak tidak menyakinkan. Diharap filem akan datang mereka menggunakan khidmat pelakon tambahan dari filem Geran supaya ia nampak lebih menarik dan mencabar.

Antara babak yang saya paling nanti-nantikan dalam filem ini adalah pertarungan akhir diantara Hairul Azreen dan pelakon aksi terhebat dari Indonesia, Yayan Ruhian. Tidak dinafikan pertarungan diantara mereka berdua sememangnya sangat mantap, tetapi pertarungan mereka agak lama sehinggakan hilang keterujaan dan menjadi semakin bosan. Apapun, kehadiran Yayan Ruhain dalam filem ini banyak membantu merencanakan adegan-adegan aksi.

Dari segi jalan cerita ianya tidak begitu rumit. Plotnya jelas, dimana Hassan cuba membawa keluar keluarganya dari kawasan kejiranan yang teruk tetapi kemudiannya diburu kuncu-kuncu Raja. Cuma cara olahannya agak mengecewakan, kosong dan tidak memberi kesan sepertimana filem GeranKonflik kekeluargaan diantara Hasssan dan adiknya agak klise dan tidak konsisten. Adakalanya mereka berbaik, tetapi apabila berlaku masalah, mulalah ungkit mengungkit.

Pada peringkat awal, Wira cuba menunjukkan betapa ‘badass’ nya antagonis dalam filem ini. Tetapi apabila memasuki ‘second act’, watak Raja semakin berkurangan dan gagal mewujudkan perasaan geram penonton terhadap watak antagonis tersebut. Paling mengecewakan babak klimaks filem ini. Saya menjangkakan bakal berlaku pertarungan mengikut peringkat dimana proantagonis perlu bertarung dengan orang bawahan sehinggalah bertemu ‘bos’ diperingkat akhir, tetapi sebaliknya saya diberikan satu babak yang bagi saya agak ‘cringe’. Mujur pertarungan diantara Hassan dan Ifrit lakonan Yayan Ruhain serta Zain dan Vee mengubati kekecewaan saya. Cuma seperti yang saya nyatakan diperenggan sebelumnya, agak lama dan menjadi bosan.

MVP untuk filem ini saya berikan kepada Fify Azmi, lakonannya sebagai Zain sangat menyakinkan dan perwatakannya sangat badass. Fify kini boleh menyertai Feiyna Tajudin, berlakon dalam filem aksi dan membelasah lawan-lawan mereka. Dalam filem Paskal, saya ada memuji lakonan Hairul Azreen sebagai Arman, dan sekali lagi saya memuji usahanya dalam membawa watak Hassan. Mungkin ada yang mengatakan dia ‘kayu’, tetapi bagi saya dia layak untuk membawa watak dalam filem-filem aksi.

Saya akui, Wira merupakan sebuah filem aksi yang memaparkan adegan pertarungan yang begitu mendebarkan, cuma kekurangan dari segi penceritaan dan tersangkut dengan bayang-bayang PG-13 merencatkan sedikit filem ini untuk menjadi sebuah filem aksi tempatan yang akan diingati. Apapun saya tetap menantikan sekuel Wira, lebih-lebih lagi selepas melihat babak kredit yang dikaitkan dengan filem Paskal. Cuma diharapkan pembikin filem lebih berani untuk mengangkat karyanya ke tahap seterusnya, iaitu sebuah filem yang diklasifikasikan sebagai ’18 tahun dan ke atas’.

RATING KAKIMUVEE: 7.5/10

 

Video Review


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee