Review Filem : Warning: Do Not Play (2019)

1651
views

AMARAN SPOILER !!!

Sebuah filem Korea yang mengisahkan tentang kehidupan seorang penulis yang suka menulis cerita/skrip seram yang mana pada suatu hari telah bermimpi tentang suatu mimpi yang menjuruskan beliau menyiasat sebuah kejadian di sebuah pusat pengajian tinggi yang melibatkan penuntut dari fakulti filem. Kejadian itu berlaku beberapa tahun yang lalu semasa pembikinan sebuah filem pendek yang kononnya semua krew yang terlibat dalam proses penggambaran filem tersebut telah dibunuh dengan kejam oleh lembaga yang dikatakan jelmaan seorang pelakon yang terkorban dalam sebuah panggung wayang yang kini telah terbengkalai buat sekian lamanya.

Apa yang lebih mengerikan adalah detik detik terbunuhnya setiap daripada ahli dan krew filem pendek tersebut berjaya dirakam oleh lensa kamera dan rakaman tersebut telah diambil oleh pengarahnya sendiri serta diedit dan dijadikan filem untuk ditayang pada satu malam tayangan perdana. Pengarah filem tersebut akhirnya menjadi tidak keruan sepanjang kehidupannya dan mengalami gangguan aneh sejak peristiwa tersebut berlaku. Perkara ini kekal menjadi buah mulut orang sekitar dan tersemat dalam lipatan sejarah pusat pengajian tersebut.

Penulis tersebut meneruskan penyiasatan beliau dan akhirnya mengalami satu perkara yang sangat dasyat. Sekiranya anda ingin mengetahui pengakhiran kepada penulis tersebut, anda semua boleh ke pawagam sekarang untuk menonton filem dari Korea ini.

Filem Warning Do Not Play ini merupakan sebuah filem seram dari Korea yang mana dilihat menjadikan filem lagenda The Exorcist dan The Blair Witch Project sebagai sandaran dan beberapa formula dilihat digunakan dalam filem ini.

Suasana seram yang diwujudkan melalui bunyi bunyi yang boleh dikatakan terlampau “crispy” serta penggunaan tona warna filem mampu membuatkan penonton menutup mata mereka sewaktu menonton filem ini ditambah pula dengan visualisasi hantu dan unsur suspen yang dibina secara perlahan lahan. Filem ini boleh dikatakan berjaya menimbulkan unsur seram akan tetapi mungkin kerana terlalu mengfokuskan kepada unsur tersebut, filem ini dilihat gagal hampir secara total dari segi sinematografi dan “camera work” nya serta perjalanan jalan cerita yang dilihat sedikit kabur.

Camera work yang dilihat keliru dengan penceritaan yang diberikan akhirnya menjadikan tontonan kepada filem ini sedikit tumpul walaupun unsur seram yang diberikan agak baik.
Jalan cerita yang sangat perlahan perjalanannya juga turut menyumbang faktor kebosanan menonton filem ini. Pergerakan jalan cerita yang perlahan tersebut langsung tidak membantu perkembangan jalan cerita yang diberikan.

Selain itu juga beberapa plothole dapat dikesan dalam filem ini dimana beberapa detailing filem ini dibiarkan begitu sahaja sedangkan sekiranya ia diberi peluang untuk dikembangkan, mungkin ia mampu untuk mencantikkan serba sedikit jalan ceritanya dan memberikan penjelasa yang lebih “wow” kepada penonton.

Kesimpulannya, filem ini adalah sebuah filem yang terlalu bercita cita besar namun gagal di peringkat utilisasi jalan ceritanya. Pada mereka yang sukakan unsur saspen tanpa mempedulikan kelancaran jalan cerita bolehlah menonton filem ini.

Rating Kakimuvee : 5/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here