Review

Review Filem: Unhinged (2020)

Views

Kita sering lihat di media sosial ataupun dia media massa bagaimana pengguna jalan raya melepiaskan kemarahan mereka sehingga berlakunya kemalangan dan pergaduhan. Lebih teruk, kemarahan di jalan raya adakalanya menyebabkan kecederaan atau kematian, seperti mana yang dipaparkan dalam filem Unhinged.

Cuma yang membezakan Unhinged dengan realiti sebenar, ia memaparkan bagaimana pergaduhan di jalan raya  boleh memberi kesan yang sangat menakutkan.

Unhinged dimulakan dengan paparan seorang lelaki bernama Tom Cooper (Russell Crowe) yang menceroboh masuk ke sebuah rumah sebelum membunuh penghuninya dan membakar rumah tersebut. Kemudian, cerita filem ini berubah ke kisah malang Rachel Hunter (Caren Pistorius), seorang ibu tunggal yang sedang menghadapi proses penceraian, diberhentikan kerja dan sedang mengejar masa untuk menghantar anak lelakinya, Kyle (Gabriel Bateman) ke sekolah. 

Semasa memandu, Rachel tersangkut dalam kesesakan jalan, dan telah membunyikan hon terhadap sebuah trak pikap yang gagal bergerak setelah lampu hijau menyala. Pemilik trak itu yang juga lelaki psiko diawal filem, Cooper, segera menemui Rachel dan menuntut Rachel permintaan maaf. Bagaimanapun, Rachel yang sedang tertekan dengan hari-harinya enggan menuruti permintaan lelaki itu, dan sikapnya itu menyebabkan Cooper melakukan tindakan yang akan disesali Rachel seumur hidup.

Idea filem ini boleh dikatakan agak menarik kerana ia memaparkan akibat sekiranya seseorang itu melakukan tindakan provokatif terhadap pemandu lain. Dalam kontek Unhinged, Cooper dilihat seperti sedang berhadapan dengan masalah, begitu juga Rachel. Tetapi tindakan Rachel yang membunyikan hon tanpa meminta maaf kepada Cooper menyebabkan lelaki itu hilang pertimbangan dan melakukan sesuatu diluar jangkaan hanya kerana bergaduh di jalan raya. 

Pergaduhan diantara Rachel dan Cooper membawa kepada cerita yang mendebarkan. Dengan hanya mula mengekori Racher, Cooper terus membuat tindakan demi tindakan yang menakutkan Rachel seperti membunuh rakan serta adiknya. Kita dapat merasai ketakutan Rachel yang diburu seorang lelaki psiko, lebih-lebih lagi apabila anaknya menjadi sasaran seterusnya. 

Crowe yang terkenal dengan watak Maximus dalam filem Gladiator, berjaya memberikan watak villain yang menakutkan kepada penonton meskipun fizikalnya sudah mamah usia. Karakternya boleh dikatakan sangat gila dan bertindak tanpa perlu berfikir dua kali. Perbuatannya membunuh rakan Rachel di sebuah restoran membuktikan bahawa lelaki ini sanggup membuat apa sahaja demi memberikan pengajaran kepada wanita itu. 

Disebalik adegan-adegan pemburuan dan pembunuhan dipertengahan cerita, 'third act' Unhinged boleh dikatakan sangat singkat. Walaupun ada dipaparkan pemburuan dan pergaduhan, konfrontasi akhir diantara Cooper dan Rachel berakhir dengan pantas. Apapun, penamatnya memberi peringatan kepada penonton agar tidak cepat marah apabila memandu di jalan raya. 

Secara keseluruhannya, Unhinged adalah sebuah filem thriller yang tidak harus anda lepaskan, lebih-lebih jika anda meminati lakonan Russell Crowe. Pelakon Gladiator itu memberikan lakonan yang cukup hebat dan 'memorable', ditambah pula ia berkait dengan isu amukan jalan raya - pekara yang sentiasa berlaku setiap hari.

RATING KAKIMUVEE: 7.5/10

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks