Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: The Tomorrow War (2021)


Amaran Spoiler!!!

Jika anda mencari filem ‘porncorn’ bercorak aksi sains-fiksyen, saya cadangkan kepada anda filem The Tomorrow War lakonan Chris Pratt yang baru sahaja ditayangkan pada 2 Julai yang lalu di platform streaming Amazon Prime Video.

The Tomorrow War merupakan satu lagi filem aksi sci-fi tipikal Hollywood yang memberi fokus pada perjuangan umat manusia menentang penaklukan makhluk asing, cuma yang membezakannya, filem ini memasukkan unsur-unsur penggembaraan masa bagi menjadikan ia lebih menarik dan sedikit rumit. 

Chris Pratt memainkan watak utama sebagai Dan Foster, cikgu biologi yang juga merupakan bekas pasukan khas Tentera AS. Ditetapkan pada 2022, dikala penduduk dunia sedang menikmati perlawanan bola sepak Piala Dunia, orang ramai pada masa sekarang dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan anggota tentera yang mendakwa mereka dari masa hadapan.

Pasukan tentera ini memberi amaran bahawa, 30 tahun di masa hadapan, umat manusia diambangkan kekalahan dalam peperangan global menentang penaklukan makhluk asing, dan mereka meminta bantuan ketenteraan dari umat manusia pada masa sekarang untuk membantu perjuangan mereka. Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia telah menggerakkan pasukan tentera, yang kebanyakkan terdiri daripada orang awam terpilih, untuk dihantar ke masa hadapan, dan salah seorang dari mereka adalah Dan Foster. 


Walaupun berpengalaman sebagai anggota tentera, Foster agak keberatan untuk terlibat dalam peperangan di masa hadapan, namun demi masa depan umat manusia, khususnya keluarganya, dia tetap pergi berjuang. Ketika berada disana, Foster terus diberikan satu misi penting, yang boleh membantu penjuangan umat manusia menentang penaklukan makhluk asing. 

Walaupun ‘premise’nya tipikal, The Tomorrow War masih memberikan hiburan kepada penonton, sesuai dengan cirinya sebagai filem popcorn. Ia memberikan jalan cerita yang akan membuatkan penonton berdebat tentang hukum fizik penggembaraan masa, dan dalam masa yang sama, memberikan aksi pertempuran menentang makhluk asing yang hampir sama hebatnya dengan filem Edge of Tomorrow dan Battle of Los Angeles.

Jika dibandingkan dengan makhluk asing seperti dalam filem yang saya nyatakan di perenggan di atas, filem ini memberikan antagonis yang cukup menakutkan – laju, sukar untuk dibunuh, dan membunuh kejam mangsanya – ibarat seperti umat manusia menentang makhluk asing dalam filem Alien. Cuma yang tipikalnya, harus bunuh ratu atau ketuanya untuk umat manusia menang dalam peperangan dengan makhluk asing. 

Lakonan aksi Chris Pratt sedikit ‘kureng’ berbanding lakonannya dalam filem seperti The Magnificent Seven atau francais Jurassic World. Bagaimanapun, wataknya sebagai bapa berjaya memberikan kesan emosi – jika penonton adalah seorang bapa, mungkin akan tersentuh melihat hubungannya dengan anak perempuannya. Selain watak Muri (lakonan Yvonne Strahovski), watak-watak sampingan dalam filem ini gagal digunakan sebaiknya. Hanya beberapa sahaja digunakan pada penghujung filem, sebaliknya ketika plot utama digerakkan, watak-watak sampingan dengan jelas dipinggirkan begitu sahaja. 

Dari segi hiburan, The Tomorrow War berjaya memberikan keseronokan kepada penonton walaupun ia meyajikan jalan cerita yang tipikal. Berdasarkan ‘premise’ ataupun trailer, filem sebegini tidak harus diletakkan jangkaan yang tinggi, cukup sekadar mengambil popcorn atau keropok lekor, duduk di kerusi malas dan nikmati aksi Chris Pratt berperang dengan makhluk asing yang menakutkan.

The Tomorrow War boleh di’strim’ di platform streaming Amazon Prime Video.

Rating Kakimuvee

3/5


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee