Review

Review Filem: The Sonata (2018)

Views

Tak sangka pula saya bahawa filem The Sonata yang baru ditayangkan dipawagam sudah berusia 2 tahun. Berdasarkan semakan di internet, filem ini telah ditayangkan di Rusia pada 2018, dan baru sahaja memasuki pasaran Amerika Syarikat pada awal tahun ini.

Berdasarkan gambaran awal dari trailer, The Sonata merupakan sebuah filem seram yang mungkin menyajikan adegan-adegan tipikal seperti 'jumpscare' dan wajah hantu yang seram, tetapi filem arahan Andrew Desmond ini memberikan sesuatu diluar jangkaan penonton.

Dibintangi pelakon dari Australia, Freya Tingley yang memainkan watak utama Rose Fisher - pemain violin terkenal, The Sonata berkisar tentang misteri gubahan lagu yang ditinggalkan bekas komposer terkenal, Richard Marlowe.

The Sonata merupakan sebuah filem seram yang penuh dengan misteri dan debaran. Filem ini tidak menjanjikan lambakan adegan - adegan 'jumpscare', malahan syaitan atau hantu pun tidak mendapat banyak 'screentime'. Sebaliknya, The Sonata membawa penonton merungkai misteri simbol-simbol yang ada dicelahan nota musik, dimana simbol itu akan membuka kunci gubahan lagu yang cukup 'mengasyikkan'.

Kebiasaannya, filem yang banyak bermain dengan teka-teki memiliki jalan cerita yang sangat perlahan. Tujuaannya, memudahkan penonton memahami perjalanan cerita , selain mengajak penonton turut sama merungkai setiap teka-teki yang dipaparkan dalam filem. Begitu juga dengan The Sonata dimana tempo filemnya sangat perlahan dan mungkin membuatkan sesetengah penonton merasa bosan.

Tetapi, jika anda memberi fokus sepenuhnya, ia memberikan sebuah jalan cerita yang sangat menarik kerana setiap misteri yang cuba dirungkaikan mempunyai maksud-maksud tertentu dan menyelesaikan nota-nota musik tidak lengkap yang sengaja ditinggalkan Marlowe. Selain itu juga, penonton dapat mengentahui kehidupan lampau Marlowe dengan lebih mendalam, dan kenapa komposer tersebut meninggalkan nota musik kepada Rose.

Walaupun The Sonata lebih kepada misteri thriller, ia tidak melupakan asas yang ada dalam sesebuah filem seram, iaitu suasana yang menyeramkan dan menakutkan. The Sonata masih memasukkan unsur-unsur jumpscare dan hantu, tetapi tidak secara keterlaluan bagi mengelakkan penonton kehilangan fokus dalam memahami plot misteri.

Yang menariknya tentang filem ini adalah bagaimana ia mengekalkan suasana seram dan dalam masa yang sama memberi fokus pada penyelesaian teka-teki. Suasana filem yang sentiasa suram dan malap serta lokasi rumah besar yang menakutkan banyak membantu mengekalkan elemen seram. Skor filem ini juga boleh dikatakan sangat menarik dan banyak membantu menaikkan suasana seram, terutamanya ketika babak-babak yang melibatkan karakter Rose.

Bagaimanapun, The Sonata tidak lari dari masalah. Beberapa persoalan dalam filem dibiarkan tergantung begitu sahaja, terutamanya perubahan karakter Charles Vernais, rakan kepada Rose serta lelaki misteri yang ditemui Vernais. Mungkin pengarahnya sahaja meninggalkan persoalan tersebut untuk penonton memikirkan jawapannya. Selain itu juga, kesan khas yang gagal menyebakan entiti syaitan dan jelmaan kanak-kanak yang dipaparkan dalam filem ini tidak begitu menakutkan.

Idea menggunakan kultus dan memuja syaitan dalam filem-filem sebegini sangat klise sebenarnya, mujur penceritaannya menarik, sekaligus dapat mengabaikan idea pemujaan syaitan.

Secara keseluruhannya, The Sonata sangat sesuai ditonton oleh mereka yang ingin mencari kelainan dalam menonton filem-filem seram. Walaupun banyak misteri dan debaran ditunjukan dalam filem ini, elemen seramnya masih mampu membuat penonton merasa ketakutkan. Cuma, bersiap-sedia dengan jalan ceritanya yang agak perlahan.

RATING KAKIMUVEE: 7/10

Kakimuvee - Portal Informasi Perfileman

Tinggalkan Balasan

Add your own review

Rating

shares