BeritaReview

Review Filem: The Jack In The Box (2019)

Views

Seperti yang dinyatakan dalam artikel sebelum ini, bulan Ogos menyaksikan banyak 'line-up' filem-filem seram di pawagam, antaranya filem dari Britain, The Jack In The Box. 

Filem arahan Lawrence Fowle telahpun ditayangkan di United Kingdom pada November tahun lalu. Jadi secara ringkasnya, terdapat banyak ulasan telahpun dikeluarkan, dan kebanyakkan lebih kepada kritikan negatif. Atas rasa ingin tahu, saya cuba menonton filem ini dipawagam untuk mengentahui kenapa banyak ulasan negatif.

The Jack in the Box berkisar tentang sumpahan syaitan yang terdapat pada mainan Jack-in-the-box. Kisahnya bermula apabila Casey (lakonan Ethan Taylor) menjumpai sebuah Jack-in-the-box lama di stor muzium, tempatnya bekerja. Teruja dengan penemuannya, Casey cuba bermain dengan barang antik tersebut untuk melihat samada Jack-in-the-box itu masih berfungsi ataupun tidak.

Dia kemudiannya berpuas hati melihat permainan antik masih berfungsi dan meletakkan disatu tempat di dalam muzium. Bagaimanapun, berlaku satu kejadian misteri apabila seorang demi seorang hilang tanpa dikesan, dan kehilangan mereka berpunca dari kotak Jack-in-the box.

Filem ini mempunyai banyak masalah ketara, baik dari segi penceritaan dan penyampaian elemen seramnya.  Asal usul dan bagaimana untuk menghalang syaitan dari Jack-in-the-box tidak diceritakan dengan baik dan sambil lewa. Malah penekanan terhadap sejarah hitam Casey dilihat seperti tidak kena pada plot utama. Penulisan lakonlayar yang cukup malas ini menyebabkan filem The Jack in the Box menjadi sangat bosan.

Walaupun wajah dan fizikal syaitan Jack-in-the-box ini menakutkan, ia tidak begitu membantu dalam mencipta suasana seram dan menakutkan. Semunya berpunca dari mood filem sentiasa cerah, elemen jumpscare yang tersekat akibat suntingan yang begitu teruk dan beberapa adegan yang agak bodoh dimana ia memaparkan Casey cuba 'bertumbuk' dengan syaitan.

Sejujurnya, saya sangat kecewa dengan jalan cerita dan elemen seramnya. Jika filem ini sukar untuk menghasilkan jalan cerita yang baik atau segar, sekurang-kurangnya elemen seram filem ini dapat menutup kelemahan jalan cerita. Tetapi, kegagalan mencipta sesuatu yang menakutkan menjadikan The Jack in the Box gagal sepenuh.

Hanya babak penamat filem ini sahaja yang membuatkan saya tertarik kerana ia memaparkan sedikit twist yang tidak mengembirakan.

Watak-watak dalam filem ini juga sedikit menghampakan. Casey tidak banyak membantu dalam pembinaan cerita dan sangat lemah dalam membawa watak proantagonis. Satu lagi watak utama iaitu Lisa (lakonan Lucy-Jane Quinlan) hanya sekadar tempelan. Lisa gagal menjadi 'booster' kepada hero, dan wataknya lebih kepada mengisi ruang yang tidak seberapa kosong. Senang cerita, wataknya jika tidak wujud masih tidak memberi kesan pada perubahan  jalan cerita.

Secara keseluruhannya, filem The Jack in the Box sekadar gah pada poster dan trailer, tetapi gagal sebagai sebuah produk. Walaubagaimanapun, filem ini masih boleh ditonton, terutamanya kepada mereka yang mahu mencuba menonton filem seram selain daripada Hollywood, Indonesia, Korea, Rusia atau dari negara kita sendiri.

RATING KAKIMUVEE: 3.5/10

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks