Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: The Gentlemen (2019)


Amaran minor Spoiler!!!

Ada pelakon hebat seperti Matthew McConaughey, Hugh Grant dan Charlie Hunnam, ada juga Jeremy Strong, Colin Farrell dan pelakon kelahiran Malaysia, Henry Golding, diarahkan pula oleh pengarah Sherlock Holmes, Guy Ritchie. Terus saya berkata, ini filem yang hebat sebaik sahaja menonton trailernya buat pertama kali.. dan jangkaan saya tepat sekali! The Gentlemen adalah filem yang sangat bagus dan menghiburkan. Maaf! awal-awal sudah mendedahkan kualiti filem ini.

Guy Ritchie sememangnya terkenal dengan filem yang bertemakan jenayah. Jika anda pernah menonton filem-filem arahannya seperti RocknRolla, Lock, Stock and Two Smoking Barrels dan Snatch, pasti anda dapat menjangkakan bagaimana filem terbarunya ini akan memberikan hiburan yang padu kepada penontonnya.

The Gentlemen berkisarkan tentang seorang ‘tokan’ ganja terbesar Britain, Mickey Pearson (Matthew McCanaughey) yang ingin bersara dan menjual segala asetnya kepada pembeli yang berpotensi. Berita mengenai persaraannya itu telah sampai ke beberapa individu yang terlibat dalam dunia jenayah Eropah seperti Matthew Berger (Jeremy Strong), seorang penjenayah berketurunan Yahudi yang berminat untuk membeli keseluruhan asetnya, dan Dry Eye (Henry Golding), ketua kongsi gelap yang masih muda dan mahu melebarkan penguasaannya diseluruh Britain.

 

Dalam masa yang sama, Pearson menjadi sasaran gosip ketua editor akhbar tabloid, Big Dave yang ingin membongkar skandal jenayahnya kerana dimalukan Pearson yang enggan berjabat tangan dengannya. Malah, dalam usaha Pearson menjaga hubungan baik kerabat diraja telah menyebabkan dia secara tidak sengaja mencetuskan konflik dengan kumpulan gangster dari Rusia. Segala permasalahan yang timbul, skandal, rasuah – merasuah, perancangan jahat yang ingin membolot empayarnya dan demi isteri tercinta, Rosalind Pearson (Michelle Dockery) telah menguji keperibadian Pearson sebagai seorang lelaki budiman!.


Apa yang membuatkan saya menyukai filem arahan Guy Ritchie ini adalah gaya penceritaannya. Ia diibaratkan seperti cerita dalam cerita, dimana Fletcher (Hugh Grant) menceritakan segala tingkah laku dan kisah Pearson kepada Raymond (Charlie Hunnam), yang juga merupakan orang kanan Pearson. Lebih menarik, Fletcher merencana skandal ‘tokan’ ganja itu dalam bentuk skrip yang boleh dijadikan filem cereka. Senang cerita, kisah-kisah Pearson dan musuh-musuhnya mewakili cerita lampau, manakala dua individu yang bersembang sambil menjamah stick iaitu Fletcher dan Raymond mewakili masa sekarang. Jalan ceritannya hanya menjadi selari sebaik sahaja menginjak ke kemuncak filem dimana Pearson dan Raymond dapat menghidu perancangan jahat musuhnya yang cuba membolot empayar perniagaan ganja dan membongkar sindiket mereka.

Aksinya tidak begitu banyak dan tidak dibuat dengan secara berlebihan, cukup sekadar dibuat dengan penuh bergaya dan ‘gentlemen’. Humornya juga ‘simple’, ala komedi British, tetapi masih mampu mengelikan hati anda, dan jika anda yang jenis mudah terhibur, pasti akan ketawa terbahak-bahak!. Unsur-unsur aksi dan humor, serta selingan drama suami isteri dan dua lelaki budiman yang membincangkan tawaran untuk membongkarkan skandal dibuat secara seimbang dan santai, tidak terlalu berat, tidak juga membuatkan kepala anda berserabut.

Salah satu ‘key factor’ yang menjadikan The Gentlemen harus dimasukkan ke dalam radar filem-filem yang patut ditonton adalah barisan pelakonnya. Seperti yang saya nyatakan diatas, barisan pelakonnya cukup mantap dan ia diterjemahkan dengan begitu baik sekali. Henry Golding yang anda lihat sebagai jejaka kacak nampak menjadi watak gangsternya. Walaupun wataknya tidak begitu banyak ‘screentime’, ia sudah cukup memberi bayangan terhadap watak dalam filem aksi akan datang iaitu Snake Eye.  Matthew McConaughey seperti biasa, membuktikan dirinya sebagai pelakon yang hebat, Collin Farrell bergaya ala “Kingsman’ dengan sut tracknya, tetapi dua pelakon ini yang harus diberi perhatian, iaitu Hugh Grant dan Charlie Hunnam. Mereka berdua adalah ‘tukang karut’ dalam filem ini, dan berjaya menghidupkan penceritaan The Gentlemen menerusi ‘borak-borak’ mereka.

Secara keseluruhan, The Gentlemen sangat kena dengan tajuk filemnya. Sebuah karya Guy Ritchie yang penuh bergaya, sangat budiman dan tidak harus anda lepaskan, sangat berbaloi untuk anda melaburkan tiket dan menonton filem. Kepuasannya? tidak terhingga!.

RATING KAKIMUVEE: 9/10


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee