
AMARAN SPOILER!!!
Steven Spielberg merupakan antara pengarah terhebat abad ini. Banyak filem-filemnya telah menerima pelbagai anugerah utama dan yang paling penting, menambat hati segenap lapisan penonton. Mungkin anda dikalangan kita yang tertanya-tanya bagaimana perjalanan Spielberg diawal kariernya sebagai pembikin filem dan apa yang mendorongnya untuk memilih jalan seni, The Fabelmans memberikan sedikit gambaran kepada anda tentang kehidupan Spielberg sebelum dia bergelar pembikin filem.
The Fabelmans merupakan filem drama remaja separa autobiografi yang berdasarkan secara longgar kehidupan remaja Spielberg dan tahun-tahun awalnya sebagai pembikin filem. Ia berpusat pada Sammy Fabelmans, seorang remaja berusia 16 tahun yang mendapat inspirasi untuk menjadi pengarah selepas pertama kali menonton filem di panggung wayang.
Sammy, yang pada ketika itu masih kanak-kanak ketika dibawa oleh ibu bapanya ke panggung wayang, terpegun dengan adegan kereta dilanggar keretapi dalam filem The Greatest Show on Earth.. Babak itu telah mendorongnya untuk meminta hadiah keretapi semasa hari Hanukkah, dan dia mencipta semula adegan tersebut dengan menggunakan permainan keretapinya.
Bagi mengelakkan permainan itu rosak, ibubapanya telah memberikan kamera untuk dia merakam aksi keretapi berlanggar agar dia dapat menonton semula, tanpa perlu mencipta adegan itu berulangkali. Bapanya, Bart Fabelman hanya mahu menggelakkan permainan anak lelakinya, tetapi ibunya, Mitzi memahami niat sebenar Sammy.
Setelah sekian lama, Sammy menggunakan kamera ayahnya untuk merakam segala macam pekara dan ia turut melibatkan adik-adik perempuannya. Dari hanya menggunakan kamera ayahnya untuk merakam aksi keretapi berlanggar, Sammy mempunyai hobi baharu dan dia cenderung merakam filem-filem pendek bersama rakan-rakan remajanya.
Dari mata bapanya, ia sekadar hobi, tetapi bagi Sammy, ia lebih dari itu, dan dia menyimpan angan-angan untuk menjadi pengarah filem. Tetapi, semasa dalam proses untuk mencapai angan-angan, pekara yang ditakutinya telah berlaku dan ia hampir memusnahkan impiannya untuk seorang pembikin filem.
Mengarahkan filem yang berdasarkan kehidupan remajanya, sudah tentunya Spielberg akan mencurah segala keringat untuk memastikan ia menjadi salah satu filem terhebat dalam kariernya. Dan, nampaknya usaha berbaloi kerana The Fabelmans menjadi filem yang sangat menyentuh hati, menarik dan mencetuskan pelbagai emosi dalam hanya satu filem.
Beliau juga berjaya memukau penonton dengan membuatkan mereka merasa ia seperti filem autobiografi penuh sedangkan pada hakikatnya filem ini hanya separa autobiografi dengan selebihnya hanya ditokok tambah. Sekali lagi, Spielberg tidak hanya memberikan seratus peratus komitmennya pada filem ini kerana ia berdasarkan kehidupan remajanya, tetapi juga mendedikasi filem ini kepada kedua mendiang ibu bapanya.
Satu lagi pekara yang menjadikan The Fabelmans ini hebat adalah gandingan mantap bintang utamanya. Gabriel LaBelle memainkan watak remaja Sammy dengan Michelle Williams, dan Paul Dano sebagai ibubapanya, Mitzi dan Burt Fabelmans. Ketiga-tiga mereka telah mencipta ‘chemistry’ antara anak dengan mak dan ayah sehingga membuatkan kita menghargai lakonan mereka yang benar-benar hidup.
Watak-watak mereka yang diadun dengan penceritaan yang hebat inilah telah memberikan pelbagai emosi kepada penonton. Ada kalanya kita merasa senang melihat mereka hidup dalam keluarga yang bahagia, dan kita juga merasa sedih dan adakalanya mencetuskan perasaan marah apabila mereka sedang dalam konflik. Pendek kata, lakonlayar yang sempurna, lakonan yang mantap dan arahan dari pembikin filem hebat menjadikan The Fabelmans sebuah filem yang tidak akan dilupakan.
Jadi, kepada peminat-peminat filem, khususnya kepada penonton yang sangat menyukai karya Steven Spielberg, anda tidak harus lepaskan peluang untuk menonton karya terbarunya ini kerana, seperti yang dikatakan diatas, The Fabelmans pasti akan menjadi filem yang tidak akan anda lupakan.
4/5