Review

Review Filem: The Eight Hundred (2020)

Views

Digelar "Chinese Alamo", Defense of Sihang Warehouse merupakan peristiwa bersejarah China semasa Perang Dunia Kedua dimana ia menyaksikan seramai 452 askar Republik China bertahan disebuah gudang dari serangan bertalu-talu lebih 20,000 askar Jepun. 

Walaupun tentera China akhirnya berundur, ia menjadi kejayaan besar buat China kerana berjaya menghalang kemaraan pasukan tentera Jepun dan menyebabkan banyak kematian dan kemusnahan peralatan tentera pihak Jepun. Keberanian askar-askar China itu difilemkan pada tahun 1938, dan kemudian pada tahun 1976 oleh produksi Taiwan. Kini, kisah mereka sekali lagi diangkat ke layar perak dalam sebuah filem berjudul The Eight Hundred. 

Saya tidak pernah menonton filem terdahulu, dan tidak begitu tahu tentang Defense of Sihang Warehouse, jadi untuk bandingkan dengan sejarah sebenar, agak sukar untuk diulaskan. Tetapi, bagi saya The Eight Hundred agak jauh dari tipikal filem aksi perang China, dan hampir kearah Hollywood terutamanya dari segi paparan aksi peperangan. Letupan, hujan peluru, darah dan peperangan diantara China dan Jepun boleh dikatakan sangat menarik, mendebarkan, dan sarat dengan aksi. Kesan khasnya juga sangat baik dan realistik, tidak hairanlah filem ini sukses di negara sendiri dan mendapat pujian negara luar. 

Apa yang uniknya tentang filem ini adalah, penonton dapat melihat bagaimana peperangan berlaku bersebelahan dengan kawasan yang dianggap 'neutral', iaitu kawasan penempatan masyarakat Eropah. Anda boleh melihat cerita yang berlaku dikawasan peperangan dan kawasan aman, dan interaksi diantara kedua-dua tempat tersebut semasa konflik. Ketika berlaku perang diseberang sungai, rakyat yang melarikan diri dari perang berganding bahu memberi sokongan moral dan bantuan kepada tentera mereka yang menghadapi serangan musuh. Semangat kenegaraan juga kuat dalam filem ini terutamanya semasa babak sepasukan askar mempertahankan bendera mereka. 

Jika Hollywood sering memaparkan askar yang berani seolah-olah tiada pengecut, The Eight Hundred tidak segan silu menunjukkan askar yang ingin melarikan diri dari medan perang. Realiti sebenar pasti ada askar yang akan lari dari medan perang, dan itulah yang dipaparkan dalam filem, disebalik askar-askar yang berani, pasti ada pengecut. Serampang dua mata - paparan realiti dan mungkin memberi peringatan kepada rakyat sendiri akibat melarikan dari peperangan. 

Disebalik perang yang mengagumkan, The Eight Hundred sedikit bermasalah dari segi plot dan karakter.  Terdapat beberapa bahagian yang agak draggy dan tidak memberi kesan pada perjalanan cerita. Begitu juga karakter, sebagai sebuah filem perang, karakter komander atau ketua platun / pasukan menjadi antara karakter penting dalam mengerakkan cerita. Namun filem ini terlampau fokus pada karakter yang tidak penting, dan hanya mengangkat ketua atau pegawai dipenghujung filem. 

Secara keseluruhannya, The Eight Hundred boleh dikatakan sebuah filem China yang sangat bagus, dan yang paling penting kurang propaganda kerana ia memaparkan semangat nasionalis China dalam menghalangan pencerobohan Jepun. Oh ya! 452 askar ini digelar The Eight Hundred kerana tidak mahu musuh mengentahui kekuatan sebenar, dan propaganda itu menjadi antara faktor Jepun tewas dalam pertempuran ini. Apapun, filem ini sangat berbaloi untuk ditonton, dan ... jujur saya katakan, saya suka dengan 'ending'nya yang menujukkan sokongan rakyat terhadap pasukan tentera mereka walaupun akhirnya terpaksa berundur. 

Rating Kakimuvee: 8/10

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks