Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: The Adam Project (2022)


AMARAN SPOILER

Ryan Reynolds dan pengarah Shawn Levy telah menunjukkan keserasian mereka dalam filem bertemakan permainan video Free Guy, dan kali ini, ‘chemistry’ mereka semakin kukuh menerusi filem Netflix terbaru bertajuk The Adam Project, sebuah filem aksi sains-fiksyen yang turut menampilkan alum Avengers: Endgame, Mark Ruffalo dan Zoe Saldaña.

The Adam Project, yang baru ditayangkan di Netflix pada 11 Mac yang lalu, menceritakan tentang Adam Reed (lakonan Ryan Reynolds), juruterbang dari tahun 2050, yang melarikan diri ke masa lampau, dalam misi peribadinya. Dia yang sepatutnya terbang ke tahun 2018 tersangkut di tahun 2022, dimana dia bertemu dengan dirinya sewaktu kanak-kanak (Walker Scobell). 

Dengan kecederaan yang dialaminya semasa cuba melarikan diri dari penjahat, Adam terpaksa melayan karenah dirinya sewaktu kecil dan berhadapan dengan konflik zaman kanak-kanaknya. Dia juga perlu mencari jalan untuk pergi ke tahun 2018 demi mencari isterinya (Zoe Saldaña). Namun, semasa dalam proses penyembuhan, pasukan tentera yang memburu Adam, yang diketuai Maya Sorian, berjaya menjejakinya sehingga berlaku pertempuran yang cukup sengit.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, Isterinya yang hilang – Laura – muncul menyelamatkan mereka. Selepas berjaya melarikan diri, Laura menceritakan kepada Adam tentang apa yang terjadi kepadanya, dan disitu, bermulalah misi baharu mereka, iaitu untuk menghentikan Maya Sorian dengan cara mencari ayah Adam, Louis Reed (Mark Ruffalo), yang juga merupakan pencipta mesin penggembaraan masa. 


Walaupun The Adam Project mengetengahkan konsep penggembaraan masa, ia adalah sebuah filem ‘popcorn’ di mana anda hanya perlu duduk dengan tenang, mengunyah popcorn sambil melihat lakonan Ryan Reynolds dan menikmati jalan cerita serta adegan aksinya.

Konsep penggembaraan masa atau manipulasi masa dalam filem ini adalah tipikal dan seringkali digunakan dalam filem-filem sci-fi Hollywood, berbeza dengan Tenet, Interstellar, Predestination atau seangkatan dengannya, yang jauh lebih kompleks dan memerlukan kajian selepas menontonnya.

Walaupun The Adam Project ada menyentuh tentang ‘parallel contact’, di mana Adam yang sudah dewasa bertemu dengan dirinya yang masih kecil, ia tidak perlu difikirkan sangat kerana filem ini tidak menjelaskan maksud istilah tersebut dan kesannya pada garis masa, khususnya di masa hadapan. 

Filem ini mungkin sedikit kurang dari segi sainstifik, khususnya ketepatan konsep penggembaraan masa, tetapi ia tidak bermakna anda tidak boleh menikmatinya. Seperti yang dikatakan diperenggan sebelum ini, The Adam Project masih lagi memberi sebuah filem yang seronok untuk ditonton, lebih-lebih lagi melihat gandingan Reynolds dengan Mark Ruffalo dan Zoe Saldaña. Walaupun ‘screentime’ Ruffalo dan Saldaña tidak begitu banyak, ia masih memberi impak pada hubungan anak dan bapa serta suami dan isteri pada karakter Reynolds. 

Reynolds juga tidak dapat lari dari lakonan komiknya walaupun filem ini kelihatan agak serius dan ada melibatkan adegan-adegan emosional. Gandingannya dengan pelakon kanak-kanak Walker Scobell agak menjadi, dan perwatakan Scobell juga dilihat hampir menyamai Reynolds. Cuma kadang-kala, watak Adam sewaktu kanak-kanak terasa sedikit menjengkelkan, seolah-olah kita turut menyelami perasaan Adam yang merasa sangat rimas dengan dirinya sendiri. 

Dari segi aksi, filem ini pastinya tidak mengecewakan anda. Terdapat beberapa adegan yang sangat ‘intense’ dan futuristik. Penonton akan terhibur dengan dialog Scobell yang merasa teruja melihat senjata Reynolds yang kelihatan menyamai ‘Lightsaber’. Bercakap soal Lightsaber, terdapat beberapa rujuk filem dan ‘pop culture’ yang diselitkan oleh Shawn Levy, sepertimana yang dilakukannya dalam filem Free Guy. 

Namun, terdapat beberapa kekurangan yang menganggu keseronokkan filem ini. Watak penjahat, Maya Sorian, agak lemah walaupun dia menguasai masa hadapan – seperti yang dinyatakan Adam. Sebagai orang yang sangat berkuasa, dia sepatutnya boleh membawa lebih banyak kekuatan untuk memburu Adam, dan ini secara tidak langsung akan memberikan lebih banyak adegan aksi yang menarik.

‘First act’ filem ini juga sedikit membosankan – bagi sesetengah penonton – kerana ia banyak memaparkan konflik antara dua Adam, terutamanya ketika Adam cuba mengajar dirinya sewaktu kecil agar menjadi berani. Plotnya hanya menjadi menarik ketika penjahat berjaya menjejaki lokasi Adam dan kemunculan Saldaña pada ‘act’ kedua. 

Secara keseluruhannya, The Adam Project adalah filem yang menarik untuk ditonton walaupun ia tidak berada dikalangan yang terbaik dalam kelasnya. Tambahan pula, kehadiran bintang ternama seperti Reynolds, Ruffalo, Saldaña dan tidak dilupakan, Jennifer Garner menjadi faktor kenapa anda harus tidak melepaskan peluang untuk menonton filem terbaru Netflix ini!

Rating Kakimuvee

3/5


Related posts

Zuko Pamer Skil ‘Firebending’ Dalam Klip Video Avatar: The Last Airbender

Kakimuvee

Jumlah Penonton ‘Rebel Moon Part 1’ Di Netflix Telah Didedahkan

Kakimuvee

Dokumentari Jenayah Jho Low MAN ON THE RUN Akan Tayangan Di Netflix Pada Januari Ini

Kakimuvee

Rancangan Realiti Single’s Inferno Akan Kembali Pada 12 Disember Ini

Kakimuvee

Trailer Pertama Sweet Home Musim 2 Telah Didedahkan

Kakimuvee

Trailer Leave the World Behind Menampilkan Barisan Pelakon Bintang

Kakimuvee