Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Terminator: Dark Fate


Terminator merupakan antara salah satu francais yang tidak asing dikalangan peminat filem.  Bermula pada tahun 1984 menerusi filem Terminator, dan diikuti filem kedua berjudul Terminator: Judgement Day yang diterbitkan pada tahun 1991, francais filem aksi sains fiksyen ini telah berjaya mengumpul begitu banyak peminatnya.

Namun, francais ini mula goyah apabila dua filem terakhirnya iaitu Terminator: Salvation dan Terminator: Genisys gagal untuk menyerlah dan menyebabkan Terminator hampir mengalami nasib seperti umat manusia dalam filemnya, pupus dari ingatan peminat. Bagi meneruskan ‘survival’ Terminator, sesuatu perlu dilakukan dengan ‘pergi ke masa lampau’, maka tercipta sebuah filem terbaru berjudul Terminator: Dark Fate. 

James Cameron yang mengarahkan dua filem awal kembali ke francais Terminator sebagai penerbit dan penulis. Dia berpadu tenaga dengan bekas pengarah Deadpool iaitu Tim Miller untuk menghasilkan sebuah filem yang boleh digambarkan sangat padu dan mendebarkan.

Dark Fate ditetapkan 27 tahun selepas kejadian Judgement Day dimana seorang pejuang pemberontak dari masa hadapan iaitu Grace (Mackenzie Davis) , telah dihantar ke zaman sekarang untuk melindungi seorang remaja yang dikenali sebagai Dani (Natalia Reyes) dari menjadi buruan Terminator Rev-9 (Gabriel Luna). Filem ini turut menampilkan dua pelakon asal francais iaitu Linda Hamilton sebagai Sarah Connor dan Arnold Schwarzenegger sebagai Terminator T-800, juga dikenali sebagai Carl.

Sebagai sebuah filem dari francais yang sangat dikenali kerana kehebatan aksi dan teknologi kesan khasnya, Dark Fate boleh dikatakan hampir setaraf dengan dua filem awal Terminator. Filem ini sarat dengan babak-babak aksi  tanpa henti dan mampu membuatkan penonton tidak senang duduk. Di awal filem sahaja, penonton sudah disajikan dengan aksi kejar-mengejar diantara trak pick-up dan lori, yang boleh anggap sebagai ‘homage’ untuk Judgement Day. Kemunculan dramatik Sarah Connor untuk membantu Grace dan Dani dari serangan Rev-9 memberikan satu perasaan ‘goosebumps’ kepada para peminatnya, memandangkan dia adalah nadi penting dalam francais Terminator.


Apa yang menariknya tentang Dark Fate, ia bukan sekadar menunjukkan kekuatan tembakan dan letupan, malah ia turut melibatkan pertarungan di antara Grace dan Rev-9. Idea untuk menjadikan Grace sebagai pejuang yang dipertingkatkan boleh dianggap sebagai bernas kerana idea ini menambah variasi babak aksi Dark Fate yang tidak sekadar menumpukan kepada aksi tembak-menembak dan letupan semata-mata. Selain itu juga, pertembungan diantara dua Terminator tidak dilupakan, anda boleh melihat T-800 bergasak dengan Rev-9 dalam satu pertarungan yang cukup klasik.

Kualiti kesan visualnya banyak membantu dalam menaikkan keterujaan dan debaran apabila menonton babak-babak aksi dalam filem Dark Fate. Sebagai seorang pakar dalam penggunaan kesan visual dan kesan khas, Tim Miller tidak terlampau berlebih-lebihan dalam menyumbat segala kelebihan teknologi dalam filemnya ini. Hasilnya, ia memperlihatkan satu bentuk aksi yang realistik dan tidak ‘kartun’. Antara adegan aksi yang perlu diberi perhatian adalah semasa  di dalam badan kapal terbang semasa di udara, teknik penggambaran cukup baik sekali, dan visualnya sangat ‘wow!’.

Cuma yang sedikit menghairankan, Dark Fate dikelaskan sebagai sebuah filem ‘R-rated’, tapi keganasannya seolah-olah diminimumkan. Darah kurang dilimpahkan, cara pembunuhan tidak begitu kejam, dan terdapat beberapa adegan di lihat seperti telah di ‘zoom’; mungkin kerana proses tapisan? itu tidak dapat dipastikan.

Plot penceritaan Dark Fate sangat mudah untuk dijangka kerana ianya ‘rip off’ dari filem Judgement Day. Cuma yang membezakannya, terdapat ‘tanda soal’ pada beberapa babak misalnya yang melibatkan babak ‘flashback’ dan dialog akhir di penghujung filem. Persoalan yang ditinggalkan ini membuat penonton untuk berteori tentang konsep penggembaraan masa Dark Fate – adakah ‘unvierse’ Terminator yang baru (selepas Skynet) sebenarnya ‘time-loop’ yang tiada kesudahan?. Mungkin persoalan ini boleh terjawab dalam filem sekuel akan datang. Selain itu, tempo penceritaannya agak ‘rancak’ dan langsung tidak membangkitkan perasaan bosan. Terdapat juga beberapa selingan humor yang mampu membuat penonton tertawa.

Antara kelebihan filem ini adalah, mereka tidak meminggirkan watak asal iaitu Sarah Connor lakonan Linda Hamilton dan T-800 lakonan Schwarzenegger. Kedua-dua watak tersebut diberikan ‘screen time’ yang mencukupi. Hamilton masih ‘badass’ dengan karakternya walaupun sudah berusia 63 tahun, dan karakter Schwarzenegger diubah sedikit bagi memperlihatkan evolusi T-800. Mackenzie Davis mencuri perhatian dengan karakternya yang hampir menyamai kekerasan Sarah Connor sewaktu muda, manakala Gabriel Luna sebagai Rev-9 mungkin tidak mampu mengatasi kekejaman dan gaya ‘cool’ T-1000 lakonan Robert Patrick, tetapi masih mampu membangkitkan perasaan takut dikalangan penonton bila wataknya muncul untuk menyelesaikan misi.

Secara keseluruhannya, Terminator: Dark Fate memberikan sebuah filem aksi sains fiksyen yang sangat dimahukan oleh peminatnya. Walaupun ianya tidak mungkin dapat mengatasi dua filem awal Terminator, ia sekurang-kurangnya mampu menyelamatkan kembali francais yang hampir dimusnahkan oleh dua filem terakhirnya. Tim Miller tahu apa yang peminat inginkan, James Cameron pula tidak mahu francais ciptaannya terkubur, Dark Fate berjaya mengembalikan kepercayaan peminat dan kini ia menjadi antara filem terbaik dalam francais Terminator.

Rating Kakimuvee: 8.5/10


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee