Review

Review Filem: Tenet (2020)

Views

Christopher Nolan merupakan satu nama besar dalam industri perfileman Hollywood. Dia memiliki visi yang cukup hebat dalam penghasilan filem sehingga ramai peminat beranggapan dia antara pengarah terhebat pada masakini. Ya, saya akui, Nolan semenangnya pengarah yang berbakat dan sangat mementingkan kualiti filemnya.

Lihat sahaja filem seperti Momento, Inception, Interstellar mahupun The Dark Knight atau Dunkirk, ramai peminat akan ber’sembang’ akan kehebatan karyanya.

Kini, Nolan kembali dengan satu lagi karya yang bakal menjadi bualan peminat, iaitu Tenet. Diatas kertas dan berdasarkan sinopsisnya, Tenet dilihat se’tipikal’ James Bond mahupun filem-filem pengintipan thriller yang lain. Namun, disebabkan pengarah dan penulisnya adalah Nolan, sesuatu yang digelar ‘mindblowing’ menjadikan Tenet sedikit berbeza dari filem yang lain.

John David Washington memainkan watak tidak bernama yang digelarkan Proantagonis. Dia diberi tugasan untuk menjejaki sumber teknologi yang dipercayai masih belum wujud. Teknologi tersebut dianggap merbahaya kerana dibimbangi akan menghancurkan umat manusia. Dengan bantuan ejen bernama Neil (Robert Pattinson), dia akhirnya dapat menjejaki sumber yang dicari. Namun begitu, misi itu membawanya kepada satu teknologi yang tidak pernah dilihatnya dan sukar untuk diterima akal.

Plot Tenet boleh dikatakan sangat ‘intense’, dan kompleks kerana ia menggunakan konsep ‘time-inversion’, sesuatu yang baru buat penonton. Seingat saya, ‘time inversion’ tidak pernah digunakan dalam mana-mana filem, jadi apa yang dibawa oleh Nolan adalah sesuatu yang segar dan unik.

Ini bukanlah kali pertama Nolan memanipulasi masa dalam plot filem-filemnya. Memento dan Interstellar antara filem yang telah membuat penonton pening kepada dengan permainan garis masa oleh Nolan. 'First act' Tenet berjalan normal dengan sedikit paparan aksi serta permulaan kepada misi Proantagonis. Namun, secara perlahan-lahan plot berubah menjadi lebih kompleks dan lebih 'intense' sehinggalah Neil mendedahkan tujuan sebenar misi yang ditugaskan kepada Proantagonis. 'Twist' ini menjadi permulaan kepada ke'serabut'an penonton dalam memahami konsep 'time inversion' yang dibawa masuk oleh Nolan.

'Time-inversion' bukanlah penggembaraan masa, dan konsepnya langsung tidak sama dengan konsep 'time-travel'. Perbezaan inilah yang menjadi plot Tenet agak sukar untuk difahami. Saya tidak mahu mendedahkan dengan lebih 'details' bagaimana konsep 'time inversion' dalam filem terbaru Nolan ini, tetapi apa yang saya boleh gambarkan, ia sedikit sama seperti konsep manipulasi masa dalam filem Avengers: Endgame. Jika anda pernah menonton MCU itu, anda mungkin dapat menangkap sedikit permainan garis masa oleh Nolan ini, tetapi jika tidak pernah, bersiap sedialah untuk menjadi serabut. 

Walaupun jalan cerita Tenet nampak ‘eksklusif’, masih terdapat beberapa ‘plot hole’ dan 'contuinity error'. Saya sangat hairan dengan 'detailing' Nolan terhadap filem ini. Beberapa babak yang dipaparkan tidak konsisten dengan hukum ‘time-inversion’ seperti yang dijelaskan Neil. Kelemahan ini menyebabkan penonton semakin sukar untuk memahami jalan cerita Tenet. Selain itu, ‘third act’ filem ini boleh dikatakan sangat kelam kabut dan mengelirukan, lebih-lebih lagi semasa watak-watak utama bergelut untuk menyelesaikan misi mereka.

Disebalik plot yang rumit, Nolan dilihat sangat bersungguh-sungguh dalam mewujudkan suasana ‘intense’. Sepanjang perjalanan filem, anda akan sentiasa mendengar skor yang epik walaupun ia sekadar babak bercakap. Bagi saya, Nolan ‘overused’ penggunaan skor sehingga babak yang tidak sepatutnya diberi skor 'thriller'. Selain itu juga, bunyi skor yang terlampau bingit menganggu konsentrasi untuk menonton filem. Bagaimanapun, dari segi sinematografi, menonton Tenet dipawagam IMAX memberikan visual yang cukup hebat dan memukau.

Elemen pengintipan dan aksi Tenet boleh dikatakan memuaskan. Permulaan cerita anda sudah disajikan babak aksi serangan penganas. Tenet memberikan sebuah babak aksi realistik, mampu memberi debaran kepada penonton, dan yang paling penting sekali, tidak terlampau bergantung dengan bantuan janaan komputer.

Nolan tidak melupakan teras utama filem ini, iaitu pengintipan. Watak John David Washington boleh dikatakan James Bond versi Nolan – kuat, bergaya dan kacak, tetapi tidak ‘gila perempuan’. Plot ‘espionage’ tidak mengecewakan, anda dapat melihat beberapa elemen pengintipan dalam filem ini seperti penyusupan masuk dan penyamaran. Cuma cara elemen pengintipannya dibikin sangat mudah – watak proantagonis senang menjejaki dan menyusup masuk ke sarang pengganas.

Lakonan pelakon-pelakon pilihan Nolan semenangnya terbaik. Watak Robert Pattinson dan Elizabeth Debicki banyak membantu dalam perkembangan watak Proantagonis dan memberi impak pada perjalanan cerita. Begitu juga Kenneth Branagh yang memainkan watak Andrei Sato, antagonis yang ‘cool’ tetapi kejam. 

Secara keseluruhannya, Tenet tidak menjadi ‘masterpiece’ buat Nolan, jalan cerita yang berserabut dan penjelasan konsep sains fiksyen yang kurang jelas, memberi kesan besar kepada kualiti filem ini. Walaubagaimanapun, Tenet masih memberikan pengalaman sinematik yang hebat kepada penonton, lebih-lebih lagi ianya datang dari hasil tangan pengarah yang bernama Christoper Nolan. 

RATING KAKIMUVEE: 7.5/10

 

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks