Review Filem: Stuber (2019)

387
views

AMARAN SPOILER!!

Tiada apa yang lebih penting buat pemandu Uber melainkan rating 5 bintang dari penumpang. Itulah yang cuba didapatkan oleh Stu (lakonan Kumail Nanjiani) bagi mengelakkan diri dipecat dari menjadi pemandu syarikat Uber, dan harapan terakhirnya terletak ditangan seorang anggota polis yang rabun, iaitu Vic (Dave Bautista).

Filem Stuber arahan Michael Dowse baru sahaja memasuki pasaran Malaysia setelah hampir dua minggu ditayangkan di Amerika Syarikat. Jika dilihat dari rating filem yang diberikan para pengkritik diluar negara, pasti Stu merasa tertekan sepertimana dia menerima rating satu bintang dari bekas-bekas penumpangnya.

Sebagai sebuah filem yang bertemakan “buddy action comedy”, Stuber cuba mengambil inspirasi dari filem-filem seperti Die Hard yang menampilkan pasangan diantara polis dan orang awam tanpa meminggirkan elemen komedi seperti Rush Hour dan Central Intelligence. 

Pengaruh inspirasi filem-filem bertemakan seperti itu membuatkan Stuber tersekat diantara sifat klise tema dengan ‘originality’ perjalanan filemnya. Secara kasar, plot filem Stuber tiada bezanya dengan filem-filem yang sama temanya, pertemuan pertama yang agak janggal diawal filem, disusuli pula dengan perbalahan diantara dua watak utama dan akhir sekali mereka bersepakat lalu menumpaskan watak antagonis.

Cuma yang membezakan Stuber dengan filem-filem yang lain, mereka tidak menonjolkan watak antagonis, tidak memberi fokus dalam penceritaan memburu penjahat dan subplot yang menunjukkan antagonis berjaya menumpaskan mereka buat seketika. Disebabkan itulah, watak antagonis Tedjo lakonan Iko Uwais tidak begitu ‘badass’, kerana wataknya tidak begitu penting dalam membina jalan cerita Stuber. Iko Uwais hanya mengungkapkan dialog yang tidak sampai 10 patah perkataan sahaja dalam filem ini.

Sebagaimana tajuknya, Stu..ber.. filem ini sekadar memaparkan perbualan, konflik, penggembaran dan perbalahan diantara Stu dan Vic. Malah terdapat banyak juga babak-babak didalam kereta, sesuai dengan konsep pemandu Uber dan anggota polis. Bagaimanapun, yang membuatkan filem ini menarik adalah elemen komedi, aksi dan ‘chemistry’ diantara Nanjiani dan Bautista.

Sebagai seorang pelakon komedi, Nanjiani berjaya menyampaikan dialog-dialog serta ‘reference’ filem dan musik yang mengelikan hati, manakala Bautista menggunakan ototnya dengan sebaik mungkin untuk memberikan sebuah adegan aksi yang cukup menarik. Jadi apabila kedua-dua ‘ying’ dan ‘yang’ ini digabungkan, kelemahan jalan cerita dan klise yang ada dalam filem Stuber pantas dilupakan oleh penonton. 

Selain itu juga, beberapa watak sampingan seperti anak Vic, Nicole (Natalie Morales ), “crush” Stu, Becca (Betty Gilpin ), dan anak tauke kedai yang sering membuli Stu, Richie (Jimmy Tatro ) sedikit sebanyak membantu dalam perceritaan satu hari Stuber sebagai babak selingan dan komedi-komedi tambahan. 

Secara keseluruhannya, Stuber adalah sebuah filem yang memaparkan jalan cerita yang ringan tanpa dibebani konflik berat pasangan yang sering ‘tidak sekepala’. Meskipun tidak dapat lari dari klise tema “buddy action comedy”, menggunakan konsep Uber dan pelakon Kumail Nanjiani, Stuber terselamat dari menerima rating satu bintang dari para penontonnya.

 Rating Kakimuvee: 6.5/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here