Review

Review Filem: Spies In Disguise

Views

Tidak banyak filem animasi menjadikan elemen pengintipan sebagai tema utamanya. Jadi apabila 20th Century Fox dan Blue Sky Studios menerbitkan filem Spies in Disguise, saya merasakan filem ini tidak patut dilepaskan, lebih-lebih lagi ianya dibintangi pelakon kegemaran saya iaitu Tom Holland dan Will Smith.

Filem animasi ini berkisarkan tentang seorang ejen remaja, Walter Beckett (Tom Holland) yang secara tidak sengaja menukar ejen terhebat H.T.U.V. (Honor, Trust, Unity and Valor), Lance Sterling (Will Smith) menjadi seekor burung merpati. Kisahnya bermula apabila Sterling telah dituduh khianat kerana mencuri senjata rahsia. Tuduhan tersebut menyebabkan Sterling terpaksa melarikan diri dari menjadi buruan pihak kerajaan yang diketuai ejen Marcy (Rashida Jones). Memandangkan dia kini keseorangan, Sterling terpaksa mendapatkan bantuan dari Walter Beckett, seorang saintis muda di H.T.U.V yang baru dipecat oleh Sterling.

Masalah mula timbul apabila Sterling secara tidak sengaja meminum cecair formula yang menyebabkan dia bertukar menjadi seekor burung merpati. Terdesak untuk membersihkan namanya dan kembali menjadi manusia, Sterling dan Walter memulakan misi bagi menjejaki penjenayah sebenar dan dalam masa yang sama, mencari jalan untuk menukar semula Sterling menjadi normal.

BACA:  Review Filem: 1917 (2019)

Sebagai studio yang menerbitkan francais animasi Ice Age dan Rio, Blue Sky Studios memberikan sebuah animasi yang sangat cantik sekali. Grafik yang berwarna warni dan cerah, serta karakter animasi yang comel telah menjadi salah satu tarikan utama penonton, terutamanya kanak-kanak. Saya juga sangat tertarik dengan gabungan elemen klasik dan moden ala James Bond dalam animasinya, nampak unik dan terasa kelainannya.

Walaupun ia bertemakan pengintipan, penceritaannya tidak begitu rumit. Saya merasakan penonton kanak-kanak mungkin tidak mengalami masalah untuk memahami perjalanan cerita filem ini. Sebagai seorang penonton dewasa, saya tidak merasa bosan dengan jalan ceritannya. Bagaimanapun, keberkesanan jalan ceritanya banyak dibantu dengan elemen humor yang mengelikan hati. Saya terhibur dengan ‘chemistry’ diantara Tom Holland dan Will Smith. Telatah dan dialog mereka antara faktor utama yang menjadikan Spies in Disguise sebuah filem yang menghiburkan.

Selain itu juga, penceritaannya juga diselit dengan nilai-nilai moral yang cukup tinggi. Karakter Walter memberi pengajaran kepada penonton bahawa nilai-nilai postif boleh membantu mengurangkan keganasan dikalangan masyarkat. Nilai-nilai persahabatan diantara Sterling dan Walter juga dititikberatkan agar penonton dapat melihat nilai positif yang cuba disampaikan. Cuma dari segi ‘originality’, plot Spies in Disguise sebenarnya agak klise dan hampir menyamai plot filem-filem bertemakan pengintipan, cuma filem ini lebih mesra keluarga tanpa melibatkan adegan yang keterlaluan.

Secara keseluruhannya, Spies in Disguise sebuah filem keluarga yang sangat menghiburkan, terima kasih kepada gabungan suara Tom Holland dan Will Smith. Jika anda mencari sebuah filem yang santai, sama ada mahu menonton bersama keluarga atau rakan-rakan, saya cadangan kepada anda untuk saksikan filem ini, sangat berbaloi dengan pelaburan anda.

BACA:  Review Filem: Suraya (2020)

RATING KAKIMUVEE: 8/10

Tinggalkan Balasan

shares