Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Spider-Man: No Way Home (2021)

Tidak dinafikan, Spider-Man: No Way Home menjadi menjadi antara filem terbesar tahun ini. Dengan pelbagai spekulasi dan khabar angin, sudah tentu peminat tidak sabar untuk menyaksikan filem ketiga Spider-Man MCU ini. Seperti anda semua, saya juga sangat menanti-nantikan filem ini, dan sedaya upaya mengulasnya tanpa memberikan sebarang spoiler yang mungkin memberi kesan kepada keterujaan anda.

Spider-Man: No Way Home menyambung apa yang ditinggalkan dari babak kredit Far From Home, dimana identiti Spider-Man telah terbongkar dan dituduh membunuh Mysterio. Pendedahan oleh portal berita Daily Bugle itu telah mengubah kehidupan Peter 100 peratus dan dalam masa yang sama memberi kesan kepada orang disekelilingnya, terutamanya kepada Aunt May dan M.J serta Ned.

Diselubungi rasa bersalah, Peter berjumpa dengan Dr. Stephen Strange dan meminta bantuannya. Permintaan Peter hanya satu, membuatkan orang ramai melupakan siapakah Spider-Man yang sebenar. Ketika Stephen Strange sedang membaca mantera, Peter kerap menganggunya dengan meminta agar beberapa individu yang mengenalinya, termasuklah Avengers, diberi pengecualian. Terganggu dengan permintaan Peter, mantera yang dibaca Dr. Strange mula menjadi tidak stabil sehingga terpaksa dibendung. Proses tersebut gagal, dan Peter terpaksa menerima hakikat dengan kehidupan barunya itu. Tetapi, tanpa disangka, beberapa musuh ketat Spider-Man dari alam lain telah memasuki dunia Peter dan mereka mula memberi ancaman, bukan sahaja pada Peter, tetapi juga orang disekelilingnya.

Cerita kali ini lebih berbeza dan berat berbanding dua filem Spider-Man MCU terdahulu. Ia banyak memainkan elemen-elemen emosi, meneroka perasaan bersalah dan tanggungjawab Peter sebagai seorang adiwira, dan dalam masa yang sama berhadapan dengan tanggapan orang ramai yang dia adalah seorang pembunuh. Sebagai seorang remaja, apa yang dihadapi Peter sangat berat untuk ditanganinya, dan setiap keputusan yang dibuatnya untuk membetulkan balik keadaan telah mematangkannya, walaupun ia kadang-kala menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk. Sudah tentu, dengan kata-kata semangat orang disekelilingnya seperti Aunt May dan M.J. banyak membantunya menjadi orang yang lebih dewasa. 

Watak M.J dan Ned banyak diberi penekanan dalam filem kali ini, dan mereka boleh dikatakan menjadi pemangkin kepada perkembangan karakter Peter. Spider-Man tidak lagi bergerak solo; setiap perbuatan dan keputusannya banyak dibantu kedua-dua rakan baiknya itu. Pada awalnya kita mungkin merasa biasa, melihat kedua-dua watak ini diberi lebih banyak ‘screentime’, tetapi hakikatnya, mempunyai makna tersirat yang akan mencipta satu babak yang cukup emosional. 

Pekara yang sangat penting bagi filem ini, sudah tentu! adalah kepulangan watak-watak penjahat dari trilogi Spider-Man Sam Rami dan The Amazing Spider-Man ke layar perak. Seperti yang anda lihat dalam trailer dan video promo, No Way Home menampilkan sekumpulan penjahat, yang boleh kita gelar, Sinister Six (hampir kesemuanya). Kehadiran Dr. Octopus, Green Goblin, Lizard, Electro dan Sandman pasti mengamit memori peminat-peminat Spider-Man Sam Raimi dan The Amazing Spider-Man. Bukan itu sahaja, mereka juga turut mambawa kisah mereka dari filem terdahulu, tentang bagaimana mereka menjadi musuh Spider-Man dan sejarah lampau diantara satu sama lain.

Kehadiran mereka nyata tidak mengecewakan, mereka memberi tentangan yang cukup sengit kepada Peter Parker. Bercakap soal pertarungan dengan Spider-Man, tidak keterlaluan untuk saya katakan, Green Goblin adalah penjahat Marvel paling kejam yang pernah saya lihat, maksud saya semua filem-filem Marvel. Walaupun Sam Raimi telah menunjukan sifat tidak berperikemanusian Green Goblin, Jon Watts menggandakan kekejamannya. Bayangkan semua kejahatan villain MCU dalam individu yang memiliki kegilaan Joker, itulah versi Green Goblin yang ditonjolkan Jon Watts dan Willem Dafoe, walaupun singkat, terasa kejahatan dalam diri villain tersebut. 

‘Screentime’ Doctor Strange dalam filem ini tidak begitu banyak, namun ia memainkan peranan yang sangat penting pada plot filem ini. Hubungan antara dia dan Spider-Man tidak lebih kepada seseorang yang meminta bantuan orang dan rakan Avengers yang sama-sama membantu menyelamatkan galaksi. Namun Doctor Strange tetap menunjukan sedikit ciri-ciri ‘father figure’, menggantikan Tony Stark, walaupun dia dipermainkan oleh Spider-Man. Yang menariknya, perbuatan Doctor Strange yang membantu Peter Parker mungkin membentuk jalan cerita untuk filem solo keduanya di masa akan datang. 

Seperti yang anda tahu, filem-filem MCU seringkali menyajikan kesan khas CGI yang kelihatan seperti kartun, dan No Way Home juga tidak terlepas. Adegan-adegan aksinya sangat menarik dan rancak berdosa, tetapi kerancakkannya sedikit menggangu dengan CGInya yang kurang konsisten dan realistik. Pertarungan akhirnya, yang saya rasa antara paling mengujakan dalam sejarah filem superhero komik, turut mengalami masalah yang sama, paparan kesan khasnya yang sedikit mengecewakan. 

Saya tahu, anda pasti menjangkakan banyak pekara dalam filem ini, saya juga begitu. Saya tidak boleh berkata lebih kerana ia akan menjadi spoiler, tetapi apa yang saya boleh katakan, ada pekara yang menepati jangkaan, dan ada juga tidak. Itu tidak bermaksud ia mengecewakan. Secara jujurnya, saya tidak ingat berapa kali saya bersorak dan bertepuk tangan, banyak pekara yang benar-benar memberi kejutan kepada saya. Saya tidak pernah merasai perasaan seperti ini sejak Avengers: Endgame, dan Spider-Man: No Way Home? saya rasa ia adalah antara filem Spider-Man, dan mungkin MCU, terbaik yang pernah saya lihat. 

Rating Kakimuvee

4.5/5

Spider-Man: No Way Home akan ditayangkan di pawagam tempatan 15 Disember ini.

Related posts

Review Filem: Backstage (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Makmum 2 (2021)

Hasib Anwar

Review Filem: Sing 2 (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Siti: Are You Ready? (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Don’t Look Up (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Ghostbusters: Afterlife (2021)

Kakimuvee