Review Filem Spider-Man: Far From Home

539
views

Selepas mengharungi suasana getir dan sedih dalam filem Avengers: Endgame, Peter Parker (Tom Holland) memutuskan untuk berehat sebentar dari menjadi Spider-Man. Kali ini, dia tidak sabar untuk menyertai rombongan sekolahnya ke Eropah!

Filem terbaru Spider-Man: Far From Home ini ditetapkan selepas pertarungan epik diantara Avengers dan angkatan Thanos dalam filem Avengers: Endgame. Dunia pada masa itu masih meratapi kematian Iron Man yang dianggap sebagai pelindung kepada Bumi, dan Peter Parker juga turut terasa kehilangan mentornya itu.

Peter Parker dan rakan-rakannya – Ned (Jacob Batalon), MJ (Zendaya), Flash (Tony Revolori) dan Betty (Angourie Rice) – yang kembali hidup, perlu meneruskan pembelajaran mereka di Sekolah Tinggi Midtown walaupun sudah 5 tahun berlalu. Kesemua mereka kemudiaan menyertai rombongan sekolah ke Eropah semasa cuti musim panas. Bagi Peter rombongan tersebut bukanlah untuk melakukan tugas sebagai adiwira, sebaliknya dia merancang untuk meluahkan isi hatinya kepada MI (Zendaya).

Bagaimanapun, semasa di Venice, Peter serta rakan-rakannya diserang oleh makhluk yang misteri yang dikenali sebagai Elementals. Ketika dia bersedia untuk berhadapan dengan musuh baru itu, seorang lelaki misteri muncul dan seterusnya menewaskan makhluk tersebut. Nick Fury yang mengentahui ancaman tersebut, telah mencari Peter dan meminta bantuannya.

Apabila berada di markas Nick Fury, Peter bertemu kembali lelaki misteri itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Quentin Beck a.k.a Mysterio (Jake Gyllenhaal), superhero yang datang dari dunia ‘Multiverse’. Fury telah meminta bantuan Peter untuk bersama-sama Mysterio menentang musuh baru yang bakal memberi ancaman besar kepada Bumi.

Tidak seperti Homecoming yang lebih menumpukan pengenalan karakter Spider-Man dalam dunia Marvel Cinematic Universe (MCU), Far From Home memaparkan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh Peter Parker dalam menyelamatkan dunia. Dengan kematian Iron Man dan ketiadaan pasukan Avengers, Fury meletakkan harapan kepada Peter agar menjalankan tanggungjawabnya sebagai adiwira seperti yang diminta oleh bekas mentornya, Tony Stark.

Tema romantik remaja yang ditunjukkan dalam filem superhero memberikan pengalaman berbeza kepada penonton. Jika sebelum ini, filem-filem Spider-Man khususnya lebih menekankan mood romantis yang serius diantara hero dan heroin, Far From Home lebih santai ala percintaan remaja – saya suka babak yang melibatkan Peter malu-malu apabila bersama MJ – kiut . Selain itu juga, adegan humor dalam filem kali ini mampu mengelikan hati penonton, tidak begitu ketara tapi tetap ketawa.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai plot filem ini kerana ia mungkin mendedahkan ‘spoiler’ yang besar, tetapi sebagai peminat komik Marvel, anda pasti mengentahui yang Mysterio adalah karakter yang tidak boleh dipercayai. Bagaimanapun, versi sinematik menyaksikan Mysterio diberi peranan sebagai ‘brother in arm’ kepada Spider-Man. Hubungan ‘bromance’ kedua-dua karakter itu sangat meyakinkan sehingga pada suatu ketika ia berjaya membuatkan penonton merasakan Mysterio telah diubah watak dari ‘villain’ kepada ‘hero’ sepertimana Marvel Studios mengubah karakter Loki dalam Infinity War – diangkat sebagai ‘hero’ oleh penonton.

Antara kekuatan filem ini adalah kualiti barisan para pelakonnya. Tom Hollland dan Jacob Batalon, seperti biasa berjaya membawakan watak remaja berusia 16 tahun yang bersifat kelakar dan kebudak-budakan, manakala Zendaya pula, walaupun sedikit kaku, dia mampu memberikan prestasi baik dalam filem kali ini. Lakonan Angourie Rice, Tony Revolori, Marisa Tomei (Aunt May), dan Jon Favreau (Happy Hogan) juga tidak mengecewakan walaupun watak mereka lebih kepada ‘comic relief’. ‘Man of the Match’ filem ini sudah tentunya Jake Gyllenhaal. Sebagai pelakon berkaliber, dia memberikan komitmen yang begitu tinggi dalam menjayakan wataknya. Saya yakin watak Mysterio lakonannya pasti akan diingati peminat sampai bila-bila.

Secara keseluruhnnya, Spider-Man: Far From Home memberikan satu lagi filem Marvel yang sangat menarik dan menyeronokkan. Bagi saya, Far From Home kini menjadi filem terbaik francais ‘live action’ Spider-Man, mengatasi trilogi Spider-Man Sam Raimi. Filemnya penuh dengan aksi, humor yang mengelikan hati, dan babak romantik yang sangat comel, jalan ceritanya juga menarik dan plot twist yang mengejutkan. Terlanjur berkata ‘mengejutkan’, selesai sahaja filem, jangan bangun terlebih awal, Spider-Man: Far From Home mempunyai babak ‘mid’ dan ‘post credit’ yang mampu membuatkan mulut anda ternganga.

Rating Kakimuvee: 9/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here