Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Space Sweepers (2021)

Korea Selatan sememangnya terkenal dengan filem bergenre drama, aksi atau sains fiksyen thriller. Kali ini mereka mengorak selangkah lagi dalam dunia perfileman dengan menghasilkan filem ‘space opera’ pertama Korea iaitu Space Sweepers. 

Filem yang ditayangkan secara eksklusif di Netflix ini dibarisi pelakon hebat seperti Song Joong-ki, Kim Tae-ri, Jin Seon-kyu serta Yoo Hae-jin, dan diarahkan oleh Jo Sung-hee yang terkenal menerusi filem tahun 2012 A Werewolf Boy.

Space Sweepers ditetapkan pada 2092 di mana Bumi secara perlahan-lahan membunuh penghuninya dan sebilangan kecil umat manusia tinggal di angkasa. Kim Tae-ri berperanan sebagai Captain Kang yang mengetuai krew The Victorysebuah kapal angkasa yang mengutip sampah-sarap di angkasa lepas demi sesuap nasi. 

Kisahnya bermula apabila The Victory berjaya mengutip sampah angkasa yang merupakan sebuah kenderaan yang sudah rosak. Ketika meleraikan kenderaan tersebut, krew The Victory, Tae-ho (Song Joong-ki), Tiger Park (Jin Seon-kyu) dan robot mereka (lakonan Yoo Hae-jin) telah menemui seorang kanak-kanak yang berada di satu ruang selamat dalam kenderaan itu. 

 

Selepas membawa masuk ke dalam kapal mereka, Tae-ho menyedari bahawa kanak-kanak itu adalah android pemusnah bernama Dorothy yang sedang dicari UTS, sebuah kerajaan langit yang memerintah penduduk di angkasa, dan organisasi pengganas yang dikenali sebagai Black Fox. 

Melihat peluang itu, Tae-ho dan krew kapal The Victory membuat keputusan untuk menjual kanak-kanak tersebut kepada Black Fox demi mendapatkan wang, bagaimanapun rancangan mereka membawa kepada rahsia sebenar kanak-kanak yang bernama Dorothy itu. 

Sebagai sebuah filem ‘space opera’, penonton pasti mahukan visual yang cantik dan unik serta gambaran menarik ketika beraksi atau berperang di angkasa. Mengejutkan, Space Sweepers mampu memberikan visual yang setanding dengan filem-filem ‘space opera’ Hollywood walaupun jika dilihat dari segi bajet, filem Korea ini jauh lebih rendah dari filem-filem Hollywood.

Space Sweepers tidak memaparkan karakter makhluk asing seperti Star Wars atau Valerian and the City of a Thousand Planets, sebaliknya ia melibatkan pelbagai bangsa di seluruh pelusuk Bumi. Sudah tentu krew The Victory yang berbangsa Korea akan menjadi proantagonis utama memandang ini adalah filem Korea. Cuma apa yang kurangnya, karakter sampingan yang bukan berbangsa Korea agak kaku, terutamanya watak antagonis yang dilakonkan bintangi trilogi The Hobbit, Richard Armitage.

Plot filem boleh dikatakan menarik, ada sedikit selingan kisah lampau yang melibatkan krew The Victory terutamanya kisah Tae-ho yang mungkin memberi kesan emosi kepada penonton. Penceritaannya tidak membosankan kerana ia menyelitkan adegan-adegan aksi yang mendebarkan, kekeluargaan dan komedi. Tambahan pula, apabila krew mula mengentahui rahsia sebenar Dorothy, penonton pasti fokus untuk melihat apa yang berlaku sehingga ke penghujung filem.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan ketara pada plotnya seperti keputusan antagonis yang memberi peluang kepada krew kapal The Victory, serta ‘twist’ yang boleh dikatakan anti-klimaks. 

Antara yang bagus tentang filem ini adalah kualiti lakonan Song Joong-ki, Kim Tae-ri, Jin Seon-kyu dan Yoo Hae-jin. Walaupun watak Yoo Hae-jin sekadar robot, ia masih memberi watak komik yang menghiburkan penonton. Kim Tae-ri kelihatan ‘badass’ dalam keayuannya manakala lakonan Song Joong-ki dan Jin Seon-kyu boleh dikatakan ‘memorable’. 

Secara keseluruhannya, Space Sweepers memberikan filem yang menghiburkan kepada penonton terutamanya kepada mereka yang meminati filem bercorak ‘space opera’ dan dalam masa yang sama meminati filem-filem Korea. Visual yang cantik, aksi yang hebat serta lakonan mantap pasti ia tidak bosan untuk ditonton berkali-kali.

Oh ya! sebelum terlupa, ada dua watak ‘cameo’ dari pelakon Korea kegemaran anda. Nak tahu siapa dia? tonton filem ini di Netflix

 

Rating Kakimuvee

3.5/5

Related posts

Review Drama: Gokushufudo / The Way of the Househusband (2020)

Kakimuvee

Review Filem: Seo Bok (2021)

Kakimuvee

Review Anime: The Way Of The Househusband (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Jangan Sendirian (2021)

Kakimuvee

Review Telefilem: 18 Puasa Di Kampong Pisang

Kakimuvee

Review Filem: Dreamy Eyes (2019)

Kakimuvee