Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Seo Bok (2021)

Selepas Space Sweepers, Korea Selatan telah mengeluarkan satu lagi filem bertema sains fiksyen pada tahun in. Filem yang dimaksudkan adalah Seo Bok, lakonan Gong Yoo yang terkenal menerusi peranannya dalam Train to Busan serta Park Bo Gum dan Jang Young-nam. 

Saya sebenarnya telah menonton filem ini pada hari pertama Puasa dan empat hari selepas itu, tetapi tidak berkesempatan untuk mengulas filem terbaru ini. Cerita Seo Bok sangat mudah, menceritakan seorang bekas ejen (Gong Yoo) yang perlu menjaga klon manusia pertama yang digelar Seo Bok (Park Bo-Gum).

Kisahnya bermula apabila salah seorang individu yang terlibat dalam projek Seo Bok dibunuh oleh pengganas. Bagi mengelakkan Seo Bok mengalami nasib yang sama, satu misi pemindahan telah dibuat, dan seorang bekas ejen dari agensi perisikan, Min Gi-heon telah diberi tanggungjawab untuk menjaga klon manusia itu semasa proses pemindahan.

Bagaimanapun, berlaku pekara yang tidak diingini apabila konvoi mereka telah diserang oleh segerombolan askar upahan. Hanya Gi-heon dan Seo Bok yang terselamat dalam serangan itu, dan mereka telah dibawah ke satu tempat yang tidak diketahui. Gi-heon bagaimanapun berjaya melepaskan diri dari ikatan, dan dia telah melarikan Seo Bok ke rumah selamat agensi perisikan.

Namun, pekara sama turut berlaku apabila dia diserang sekutunya sendiri. Kini, dia tidak boleh mempercayai sesiapa dan harus menyelesaikan misinya, membawa Seo Bok ke tempat yang selamat. 

Premis Seo Bok sebenarnya sangat menarik kerana ia berpotensi untuk lebih banyak adegan aksi. Ini kerana Gi-heon perlu menjaga Seo Bok yang menjadi buruan organisasi-organisasi tertentu. Namun, apa yang mengecewakan filem ini tidak memberikan banyak aksi seperti yang diharapkan. Plotnya lebih tertumpu pada misi Gi-heon dan konflik yang dihadapinya ketika menjaga Seo Bok. Memandangkan filem ini tidak banyak memaparkan adegan yang ‘adrenaline rush’, temponya boleh dikatakan agak perlahan.

Bila saya kata temponya perlahan bermakna filem ini banyak ‘cakap-cakap’ bak kata pengemar filem. Ya, sebaik sahaja protagonis berjaya membawa lari Seo Bok dari bahaya, segalanya berubah. Banyak plot yang meleret, terutamanya apabila masing-masing mula bercerita kisah lampau mereka. ‘Second act’ Seo Bok memang banyak plot ‘flashback’ sehingga membuatkan saya merasa bosan dan mula hilang minat untuk meneruskan filem ini. 

Filem ini cuba mencipta hubungan beremosi antara Gi-heon dan Seo Bok, tetapi bagi saya ia tidak begitu menjadi. Mungkin kedengaran tipikal, tetapi jika Seo Bok itu kanak-kanak, seperti filem Deliver us from Evil, atau remaja yang lebih muda dari Park Bo Gum, mungkin hubungan beremosi itu dapat disampaikan kepada penonton. Terdapat beberapa babak komik dalam filem ini yang … bukan mengurangkan tegangan, tetapi lebih kepada memberi kesegaran pada mata. 

Memandangkan filem ini ada adegan aksi, saya ulas sedikit elemen tersebut. Adegan semasa mereka diserbu askar upahan bagi saya lebih menarik dari aksi di bahagian klimaks. Disitu, sekurang-kurangnya kita boleh melihat adegan tembak-menembak berbanding adegan aksi yang lain dimana ia lebih fokus pada Seo Bok. Walaupun karakter lakonan Gong Yoo adalah seorang bekas ejen, tidak banyak aksi yang kita boleh lihat darinya. 

Saya faham, ini filem sains fiksyen, tetapi seperti yang saya katakan diatas, premisnya berpotensi untuk memberikan lebih banyak adegan-adegan aksi. Tambahan pula, jika anda lihat keseluruhan jalan ceritanya, Seo Bok ini boleh sahaja dijaga syarikat yang menciptanya dari serangan pengganas dengan menambah jumlah pengawal dan mengambil pengawal elit. 

Secara keseluruhannya, Seo Bok adalah filem yang berpotensi untuk menjadi lebih menarik, lebih rancak tetapi sayang terjerat dengan cubaan untuk mencipta suasana emosi antara dua watak utama. Merugikan, bakat dua pelakon Gong Yoo dan Park Bo Gum disia-siakan dengan filem yang membosankan. Saya bukan saja-saja berkata bosan, tetapi kalau terpaksa menonton dua kali pada minggu yang sama, itu adalah tanda filem ini bosan. Apapun ulasan ini sekadar pendapat saya, mungkin pendapat kita berbeza dan saya bersedia untuk mendengar pendapat anda mengenai filem Seo Bok. 

Rating Kakimuvee

2.5/5

Related posts

Review Drama: Gokushufudo / The Way of the Househusband (2020)

Kakimuvee

Review Anime: The Way Of The Househusband (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Jangan Sendirian (2021)

Kakimuvee

Review Telefilem: 18 Puasa Di Kampong Pisang

Kakimuvee

Review Filem: Dreamy Eyes (2019)

Kakimuvee

Review Filem: The Promised Neverland (2021)

Hasib Anwar