Review

Review Filem: Sangkar (2019)

Views

Dimomokkan dengan status filem MMA (Mixed Martial arts) pertama tempatan dan slogan “Bukan sekadar pertarungan”, sudah cukup untuk membuatkan saya meletakkan satu harapan yang sangat tinggi terhadap filem Sangkar arahan Kabir Bhatia ini.

Saya mengharapkan Sangkar akan menjadi sebuah filem sukan drama seperti francais Rocky, Undisputed atau Southpaw. Manakan tidak, poster dan trailernya sudah memberi gambaran awal mengenai kehebatan filem tempatan ini. Namun, selepas menyaksikannya dipawagam, jelas sekali jangkaan saya jauh meleset.

Sangkar dimulakan dengan adegan aksi perlawanan diantara dua seteru iaitu Adam (Zul Ariffin) dan Johan (Remi Ishak). Impresi pertama saya pada waktu ini agak tinggi. Saya mengibaratkan Adam menjadi Rocky Balboa dan Johan sebagai Apollo Creed. Permusuhan mereka nampak jelas seperti kedua-dua peninju hebat dalam filem pertama Rocky.

Selepas perlawanan, Adam telah berjumpa dengan Johan kerana tidak berpuas hati dituduh menipu dan mengajaknya bergasak diluar gelanggang, namun tidak diendahkan oleh Johan. Tidak semena-mena, kawasan tersebut diserang segerombolan mat rempit seperti filem Young and Dangerous, tetapi agak ‘turn off’ sebenarnya apabila tiba-tiba babak tersebut beralih ke atas katil dimana Adam tersedar, seolah-olah baru pulih dari hilang ingatan. Babak seterusnya, Sangkar tidak lagi menjadi seperti filem Rocky, sebaliknya menjadi seperti filem Brokeback Mountain versi halal.

BACA:  Jibam (2017) Review

MMA pada dasarnya, sekadar kulit pada jilid buku sahaja, tetapi isinya jauh menyimpang. Bagi saya, jika tema MMA ini dibuang dari plot filem,ianya masih mampu berdiri dengan sendirinya. Tetapi, sebagai penonton yang teruja untuk melihat sebuah filem MMA tempatan, saya sebenarnya agak kecewa. Saya kecewa bukan kerana kekurangan aksi, saya kecewa kerana kurangnya drama kesukanan seperti yang saya harapkan.

Konsep penceritaan filem Sangkar bagi saya sangat bagus kerana ia memaparkan erti persahabatan dan keinsafan, tetapi cara penceritaannya agak lemah dan ‘cheesy’. Hubungan diantara Adam dan Johan tidak begitu dramatik, sedangkan kedua-dua watak tersebut mempunyai alasan yang kuat dalam membentuk satu cerita yang penuh dengan konflik dan drama.

Sub-plot yang diwujudkan dalam filem ini juga tidak dibuat dengan baik dan gagal membantu dari segi perkembangan jalan cerita. Hubungan Adam dan pakciknya (Aman Graseka) langsung tidak memberi apa-apa impak kepada perkembangan karakter Adam walaupun terdapat cubaan untuk memberi ‘backstory’ mengenai masa silamnya. Begitu juga, sisi gelap Adam yang terjerat dengan bookie, tidak dikembangkan dengan baik sedangkan ia boleh dijadikan pemangkin untuk memberi aksi dan debaran yang lebih jitu dalam pembinaan jalan cerita Sangkar. 

Penceritaan yang terlampau ke arah drama persahabatan membuatkan Sangkar kekurangan elemen-elemen kesukanan, – yang mana menjadi kekecewaan terbesar saya terhadap filem ini. Jika anda pernah menonton filem-filem bertemakan sukan, pasti akan terdapat satu watak yang dianggap antagonis untuk dijadikan lawan  serta motivasi kepada watak utama. Dalam filem ini, altet MMA antarabangsa, James McSweeney diangkat menjadi lawan akhir dalam babak klimaks filem Sangkar. Tetapi sayangnya, Kabir Bhatia seolah-olah ‘meminggirkannya’ sedangkan McSweeney berpotensi untuk menjadi seperti Ivan Drago ataupun Miguel “Magic” Escobar, pentinju yang bongkak dalam filem Southpaw.

Aksi pertarungan MMA diantara Adam dan McSweeney bagi saya agak biasa-biasa sahaja, tidak se’epik’ yang disangkakan. Bak kata pepatah, ‘hero kalah dulu’, boleh dikatakan, adegan pertarungan akhir banyak didominasi McSweeney sebelum Adam berjaya mengubah taktik dengan menyerang kelemahan yang ada pada lawannya sebanyak dua tiga kali sebelum lawannya K.O. Agak ‘lame’ cara penyampaian adegan pertarungan ini, aksi berbalas serangan tidak begitu mendebarkan dan tiada momen yang boleh diingati.

Zul Ariffin dan Remy Ishak memberikan satu bentuk lakonan yang sangat berkualiti, walaupun tugas Remy Ishak sebenarnya lebih mudah berbanding Zul Ariffin. Begitu juga pelakon cilik Nik Adam Mika yang memainkan peranan Reza, adik kepada Johan. Kalau diikutkan, Mika yang paling menyerlah berbanding pelakon-pelakon dewasa yang lain. Saya ingin memuji karakter komik lakonan penyampai radio Era, Ray, agak menghiburkan. Pelakon-pelakon lain sekadar.. ‘ok’, terutamanya Mira Filzah yang boleh diibaratkan seperti salad didalam sepinggan nasi goreng, tidak semua orang akan makan sayur salad tersebut.

BACA:  Henry Golding Dalam Rundingan Untuk Membawa Watak "Snake Eye"

Dari segi teknikal seperti sinematografi dan rekabentuk produksi, ianya tidak mengecewakan. Saya suka teknik penggambaran mereka sesuai dengan modal pembikinan jutaan ringgit. Pihak produksi dilihat berpijak didunia yang nyata, tidak terlampau terikut dengan cita-cita tinggi sesetengah pengarah tempatan yang suka bermain dengan kesan khas CGI, padahal bajet pembikinan filem agak ciput sehinggakan mencacatkan kualiti filem.

Secara keseluruhannya, Sangkar adalah sebuah filem yang mampu memberi erti maksud persahabatan dan keinsafan, tetapi dari segi ketepatan tema, ianya agak mengecewakan. Apapun, filem ini masih menarik untuk ditonton, terutamanya yang meminat gaya pengarahan Kabir Bhatia yang lebih ke arah drama dan permainan emosi.

Rating Kakimuvee: 6/10

Tinggalkan Balasan

shares