Review

Review Filem: Sadako

Views

AMARAN SPOILER!!!

Selepas mencipta fenomena ‘J-Horror’ menerusi filem-filem Ring & Ring 2, francais “The Ring” kembali dengan sebuah filem terbaru berjudul Sadako, yang diadaptasikan dari novel Tide karya Koji Suzuki.

Agak lama jugalah saya tidak menyaksikan filem-filem seram dari Jepun. Kali terakhir adalah filem Over Your Dead Body yang dikeluarkan pada 2014, selepas itu saya tidak lagi menonton mana-mana filem seram dari Jepun, walaupun filem Sadako vs. Koyoko diterbitkan pada 2016.

Saya sebenarnya agak teruja bila mengentahui filem Sadako ditayangkan di Malaysia, kerana filem tersebut diarahkan oleh Hideo Nakata sendiri. Nakata bukanlah nama yang asing dalam komuniti filem seram Jepun. Dia merupakan antara individu yang pernah mengangkat populariti ‘J-horror’ menerusi filem-filemnya iaitu Ring Ring 2. 

Jadi saya beranggapan filem terbarunya iaitu Sadako akan mengulangi kehebatan dua filem awal francais “The Ring”

Namun selepas saya menyaksikan Sadako pada minggu lalu, keterujaan saya bagaikan disentap dengan sebuah filem yang agak mengecewakan. Sebagai sebuah filem seram dari Jepun dan mengangkat Sadako sebagai antagonis utama, filem ini gagal menterjemahkan ciri-ciri ‘J-horror’ dalam naskahnya. Malah Sadako juga tidak diberi peluang untuk menganas dan memburu mangsa-mangsanya seperti mana dalam filem-filem sebelumnya.

Sadako mengisahkan tentang Mayu, seorang kaunselor psikologi disebuah hospital yang menjaga seorang kanak-kanak kecil yang hilangan ingatan. Dia mensyaki kanak-kanak tersebut seperti dirasuk oleh entiti jahat. Sementara itu, adiknya Kazuma seorang Youtuber, telah menghilangkan diri selepas memasuki sebuah rumah yang pernah terbakar dimana tapak kebakaran tersebut telah memakan 5 korban.

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

Ketika menyiasat video-video yang dirakam adiknya, Mayu ternampak kelibat Sadako, entiti yang menjadi ‘urban legend’ dikalangan masyarakat Jepun. Terdesak mencari jawapan kehilangan adiknya, Mayu kemudiannya merungkai misteri Sadako dan kaitannya dengan kanak-kanak yang dijaganya.

Tempo filem ini boleh dikatakan sangat perlahan dan membosankan. Jalan ceritanya sangat tidak jelas dan saya benar-benar tidak tahu apa yang ingin cuba disampaikan oleh pengarahnya dalam filem kali ini. Hubungan diantara Mayu dan kanak-kanak tersebut tidak cukup kuat untuk memberikan kesan emosi kepada penonton, dan saya juga tertanya-tanya apa motivasi Mayu sehingga sanggup untuk mengorbankan dirinya demi menyelamatkan kanak-kanak tersebut dari menjadi mangsa Sadako.

‘Back story’ yang cuba disampaikan juga tidak jelas. Saya tidak pasti sama ada ianya berpunca dari masalah alihbahasa sukar difahami atau disebabkan cerita itu sendiri yang agak kabur, tetapi apa yang pasti saya tidak memahami apa plot yang melibatkan kisah lampau.

Paling mengecewakan adalah segala rujukan francais The Ring diabaikan dalam filem ini. Jika anda pernah menonton dua filem awal Ring, telefon, televisyen dan sumpahan adalah ‘trademark’ penting dalam francais ‘The Ring’. Namun, Sadako dilihat seolah-olah cuba meminggirkan ‘trademark’ tersebut dengan memberikan sedikit sahaja rujukan The Ring. Selain itu juga, elemen serammya sangat sedikit, dan anda boleh membilang dengan jari jumlah adegan-adegan seram dalam filem ini. – sangat mengecewakan.

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

Bagaimanapun, terdapat beberapa pekara yang saya suka tentang filem ini, seperti lakonan pelakon utamanya Elaiza Ikeda sebagai Mayu. Begitu juga rekabentuk produksinya agak kemas serta sinematografi yang boleh dikatakan sangat cantik.

Secara keseluruhannya, Sadako telah merosakkan harapan bagi peminat yang merindui zaman kegemilangan ‘J-Horror’. Filem ini dilihat kebelakang dengan cara penceritaan yang lemah dan penyampaian adegan seram yang langsung tidak menakutkan.

Rating Kakimuvee: 4/10

shares