Review Filem: Ready Or Not (2019)

3004
views

AMARAN SPOILER!!!

Ada bermacam-macam ragam dan cara sesebuah keluarga itu apabila menyambut menantu baru terutama dihari pertama selepas perkahwinan. Ada yang ‘dibuli’ mencuci periuk belanga, dan ada juga yang dilayan seperti raja bersesuaian dengan status ‘Raja Sehari’.

kebiasaannya, pengantin wanita yang ‘paling risau’ jika menyertai keluarga baru. Yelah, bermacam persepsi, jangkaan dan ‘lakonan’ yang perlu dibuat kerana bimbang ia mendapat gambaran buruk dari pandangan mata mertua dan ipar-iparnya pada hari pertama, terutamanya dari ibu mertua. Ingat ya, ibu mertua dan menantu perempuan boleh menjadi seperti Korea Utara dan Amerika Syarikat jika awal-awal lagi sudah tidak ‘sebulu’.

Dalam filem Ready or Not, ia telah memaparkan realiti yang sering dihadapi oleh pengantin perempuan. Adakah adik beradik si suami akan menerimanya? adakah ibu mertua menyukainya? atau ‘makcik-makcik mertua’ sudah mula membawang mengatakan si perempuan ingin mengikis duit lakinya.

Grace lakonan Samara Weaving hanyalah seorang gadis biasa, yang mengahwini Alex Le Domas (Adam Brody) seorang lelaki yang datang dari keluarga kaya raya dan mempunyai reputasi yang cukup tinggi dimata masyarakat. Sebelum bermulanya majlis perkahwinan, Grace sudah mula risau akan banyak pekara terutamanya penerimaan bakal-bakal keluarga baru terhadap dirinya yang biasa-biasa sahaja. Sebentar, kedengaran seperti jalan cerita drama Melayu jam 7 bukan? tidak, tidak sama sekali.

Seperti tradisi masyarakat kita, ahli baru perlu melalui hari ‘orientasi’ keluarga. Dalam hal Ready or Not, Grace tidak perlu menyingsing baju untuk mencuci periuk belanga, sebaliknya melibatkan diri dalam permainan yang telah menjadi tradisi keluarga Le Domas sejak zaman-berzaman. Seperti pengantin-pengantin perempuan yang lain pada hari pertama dalam keluarga baru, Grace perlu ‘acah-acah’ mesra dan ‘berlakon’ teruja apabila terlibat dalam permainan yang sebenarnya mempunyai udang disebalik mee goreng.

Agak malang buat Grace kerana dia mendapat kad “Hide and Seek”, dimana Grace perlu bersembunyi dan ahli keluarga barunya itu akan mencarinya. Menyangkakan ia sekadar permainan kanak-kanak biasa, Grace seperti biasa ‘berpura-pura’ gembira walaupun hatinya berkata “macam budak-budaklah keluarga laki aku ni”. Apa yang Grace tidak tahu, dia sebenarnya akan dibunuh oleh mertua, ipar-iparnya dan makciknya yang ‘gila babi’ punya bengis tak boleh bawa bincang.

Ketegangan filem Ready or Not boleh dikatakan sangat mengila. Cara pembinaan suasana tegang yang dihadapi Grace sangat sistematik dan tersusun. Awal-awal lagi saya sudah bersedia menghadapi babak-babak yang menakutkan, apabila mengentahui pembikin filem ini datangnya dari kumpulan Radio Silence yang terkenal dengan filem antologi seram seperti V/H/S, Devil’s Due dan Southbound.

“First act” Ready or Not memang agak perlahan, itu memang gaya pembikin filem ini dengan sengaja membuatkan penonton merasa sedikit bosan. Tetapi ‘acting’ pertama inilah sangat penting buat penonton untuk mengentahui personaliti ahli keluarga Le Domas. Ready or Not bukanlah filem ‘slasher’, ‘gore’ atau psiko seperti yang mungkin anda sangkakan. Ia lebih kepada seram dan ‘dark comedy’. Keluarga Le Domas bukanlah ahli keluarga psiko yang gila membunuh, tetapi mereka terpaksa melakukan pekara jahat itu sebagai ritual terima kasih kepada Syaitan yang memberikan kekayaan kepada mereka (maaf ter’spoiler’).

Apabila permainan ‘hide and seek’ bermula, penonton akan mula dapat merasai apa yang dirasai oleh Grace. Setiap tempat persembunyian, setiap lokasi yang dituju, turut membuatkan penonton ingin menyorok sama. Walaupun si pemburu itu bodoh-bodoh alang dan bukannya orang-orang yang mereng otak, ia tetap menaikkan perasaan takut itu ke tahap yang cukup maksimum. Senang kata, “second act” Ready or Not sudah membina adegan ‘suspens’nya dan “third act” membawa klimaks yang cukup mendebarkan sehingga merembeskan kepuasan maksimum.

Cara penerapan ‘dark comedy’nya juga bersesuaian dengan bahagian-bahagian filem, ianya tidak spastik tetapi mampu meredakan sedikit ketengangan penonton. Cuma agak mengecewakan apabila Lembaga Penapisan Filem (LFP) agak jaki dan bodoh menapis begitu banyak kata-kata kesat sehingga merencatkan elemen ‘dark comedy’nya. Apa punya banganglah LPF, kasi klasifikasi 18 tahun keatas, tetapi bahasa kesat juga yang mahu dipadamnya, ingat penonton-penonton dewasa ni mulut suci dari kata-kata kesat ke? Filem melayu terjojol tetek seluar macam sarung nangka tak mahu dipotongnya. Kecewa sangat.

Satira kekeluargaan dan perbezaan darjat juga sangat memedaskan. Bila ritual pembunuhan mula berjalan, kita dapat melihat sisi gelap yang ada pada keluarga mertua. Ready or Not tidak pukul rata, tapi menujukkan terdapat segelintir masyarakat berperangai seperti keluarga Le Domas, dihadapan nampak baik, tetapi bila ada peluang, dibunuhnya mereka sanggup.

Pewatakan karakter-karakter dalam filem ini juga bervariasi. Seperti yang katakan atas, tidak semua ahli keluarga Le Domas ini psiko, ada yang benar-benar gila membunuh, ada yang sekadar menjadi peserta, ada yang bodoh-bodoh alang, ada yang memberontak, ada yang mengikut tradisi / adat dan tak kurang juga wataknya sebagai gambaran realiti sebenar ibubapa yang membiarkan si anak terdedah kepada pekara-pekara yang tidak baik. Seperti yang saya sebutkan, satira dalam kekeluargaan. Karakter-karakter yang bervariasi inilah menjadikan Ready or Not sangat unik dalam genrenya.

Secara keseluruhannya, Ready or Not sebuah filem yang sangat baik, sangat mendebarkan dan begitu menghiburkan. Ada komedi dalam keseraman, ada ketakutan dalam gelak ketawa. Plot filem yang mudah, dan penerangan konsep yang masuk akal. Kahwin lari bukanlah ‘option’ jika ingin berkahwin dengan keluarga Le Domas, hanya nasib yang menentukan sama ada menjadi korban ataupun tidak. Memberontak, seluruh keluarga akan mati, jadi berkorban demi keluarga adalah pekara yang pasti. Plot twist yang sangat mudah, penamat yang tenang, dan Samara Weaving… nampak macam Margot Robbie dalam filem ini.

Oh ya! musik dan bunyi latar filem ini sangat menarik.

Rating Kakimuvee: 8.5/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here