Review

Review Filem: Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda

Views

Amaran Spoiler!!!

Hampir tergelak saya dibuatnya apabila penerbit Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda begitu yakin menyamakan filem terbitannya dengan filem-filem epik dari Barat (rujuk laporan mStar bertarikh 25 Februari). Saya tidak tahu ‘tang’ mana ‘epik’nya Ratu Kala Jengking. Apa yang saya lihat, filem arahan Bade Hj Azmi ini tidak jauh bezanya dengan filem-filem tempatan berbudget rendah.

Berdasarkan legenda Cik Siti Bersuami 100, Ratu Kala Jengking berkisarkan tentang Cik Siti (Nadia Brian), seorang wanita yang cantik yang tinggal disebuah kampung yang terletak di Johor. Suatu hari, wajahnya telah bertukar menjadi hodoh sehingga menjadi cemuhan dikalangan penduduk kampung. Lebih memburukkan keadaan, teman lelakinya, Awang (Mas Khan) turut meninggalkannya dan bercinta dengan rakan baiknya sendiri, iaitu Mawar (Eyra Hazali).

Namun begitu, Nadim (Amar Ashraf) pemuda miskin yang tinggal didalam hutan tidak kisah dengan kehodohan Cik Siti dan menjadi satu-satunya penduduk kampung yang masih mahu berkawan dengannya. Walaupun Cik Siti telah menjadi hodoh, Mawar masih lagi ‘insecure’ dan bimbang Cik Siti akan merampas Awang. Jadi dia menyampaikan satu berita kepada Cik Siti untuk pergi menemui Nenek Kebayan dihujung kaki sebuah gunung. Tujuaan adalah untuk memastikan Cik Siti tidak lagi berada di kampung dan dia tidak perlu risau yang rakannya itu akan merampas Awang.

Bagaimanapun, perancangan Mawar tidak menjadi, Cik Siti berjaya menemui Nenek Kebayan dan belajar ilmu mistik sehingga berjaya memulihkan wajahnya menjadi cantik berseri. Namun ilmu yang diturunkan oleh Nenek Kebayan disertakan dengan satu syarat, iaitu tidak boleh derhaka pada ibu (bagus syarat nenek kebayan ni), dan jika melanggar syarat itu, satu bala besar akan menimpa Cik Siti.

Sekembalinya ke kampung halaman, Cik Siti disambut oleh para pemuda dek kerana wajahnya yang persis ratu dunia – cantik menawan ‘fair and lovely’!. Kegilaan para pemuda terhadap wajahnya yang cantik telah menyebabkan Cik Siti lupa daratan. Dia semakin bongkak sehingga sanggup melukakan hati ibunya dan melupakan Nadim, satu-satunya jejaka yang sanggup berkawan dengannya tanpa melihat kecantikan wajah. Disebabkan sifatnya itu, Cik Siti telah terkena sumpahan yang dia akan menyesal sampai bila-bila – iaitu tidak akan bertahan lama di alam perkahwinan.

BACA:  Review Filem: M4M4

Ratu Kala Jengking mempunyai beberapa masalah besar, terutamanya ‘transition’ babak. Kisah legenda Cik Siti ini mudah sebenarnya untuk dijadikan sebuah cereka yang menarik sepertimana telefilem Sanggul Beracun. Tetapi sayangnya, filem ini terlampau bercita-cita tinggi dek kerana angan-angan untuk menjadikan ia sebagai sebuah filem epik. Banyak elemen dalam filem ini tidak cukup masak sepenuhnya. Percintaan Cik Siti dan Nadim misalnya hanya suku jalan, tetapi flashback kisah mereka seolah-olah seperti percintaan Jack dan Rose dalam filem Titanic. Konflik diantara Cik Siti dan Mawar agak kelakar. Kisah cinta tiga segi dan cemburu buta mereka ibarat seperti membaca Kisah Rumah Tangga.

Lebih mengelikan hati, permusuhan mereka tidak melibatkan tarik-menarik rambut, sebaliknya bawang membawang dan berbalas ‘abugit’. Dramanya pula tidak kena pada tempat, dan lebih pelik, elemen drama ‘lakibini’ diberikan pada karakter tempelan, bukannya karakter utama. Selain itu juga, penyelesaian masalah sumpahan yang dihadapi oleh Cik Siti juga dibuat sewenang-wenangnya. Usaha Cik Siti untuk menghapuskan sumpahan tidak begitu kuat dan terlampau mudah, tiada langsung perasan thriller atau seram mengenai sumpahan yang dihadapi oleh watak utama,

Ulangan babak sememangnya begitu banyak sekali. Babak-babak yang melibatkan perkahwinan Cik Siti ditulis secara ‘copypaste’, hanya tukar nama karakter sahaja. Itu belum diambil kira babak Mawar berlawan dengan ular didalam rumah Cik Siti, sangat ketara ulangan babaknya. Begitu juga pantang-larang ilmu yang dipelajari Cik Siti. Saya akui, mesej yang cuba disampaikan itu sangat baik, tetapi bagi saya ia satu penulisan yang agak malas sekali kerana terlampau mudah untuk menceritakan kepada penonton kenapa Cik Siti disumpah tidak kekal lama  di alam perkahwinan. Keseronokan filem ini hanya mula muncul dibahagian ketiga filem. Kemunculan karakter Datuk Fizz Fairuz barulah nampak perkembangan cerita. Tetapi malangnya, sudah terlambat kerana ianya menghampiri penghujung filem.

Bagaimanapun, saya suka dengan rekaan kostumnya yang bersesuaian dengan era 50an-60an. Jika dialognya seiring dengan zaman, saya yakin ia sedikit sebanyak dapat menutup kelemahan cerita Ratu Kala Jengking. 

Satu lagi pekara yang saya kurang gemar tentang filem ini adalah kesan khasnya. Sangat jelas kelemahan solekan pada wajah Cik Siti semasa wajahnya hodoh. Sungguh hairan dibuatnya kerana Ratu Kala Jengking adalah sebuah filem, dan solekannya sepatunya berkualiti filem, bukannya drama atau telefilem. Begitu juga dengan kesan CGI, saya tertanya-tanya apa rasionalnya membuat kesan khas ‘abugit’ dalam filem ini?! Kenapa perlu berbuat demikian? kenapa tidak bersilat ringkas sahaja? ah! agak bodoh sekali. Maaf, saya gagal untuk membendung kemarahan dek kerana kebodohan adegan ‘abugit’ dalam filem ini. Perlukah saya ‘mention’ sekali CGI Kala Jengking menari diatas batu?

Saya rasa cukup sekadar ulasan yang saya berikan diatas. Banyak pekara yang boleh diulas, tetapi saya tidak mahu meneruskan kritikan teruk terhadap Ratu Kala Jengking yang dianggap filem epik oleh penerbitnya. Agak sedih sebenarnya, tahun 2020 masih lagi terdapat filem yang dibuat secara sambil lewa, idea sudah menarik, legendanya dikenali ramai, tetapi executionnya dan teknikal sangat lemah. Lakonan? cukup saya kata ‘ok-ok’ sahaja. Kalau nak tahu selebihnya mengenai filem ini, anda boleh saksikannya dipawagam berdekatan anda.

BACA:  Review Filem: The Invisible Man

RATING KAKIMUVEE: 2/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE2

VERDICT

2Ratu Kala Jengking tidak sehebat legendanya, gagal dalam memberikan sebuah jalan cerita yang epik dan jelas kepada penonton.

Tinggalkan Balasan

shares