ReviewSlot Asia

Review Filem: Ratu Ilmu Hitam (2019)

Views

Selepas menghasilkan filem remake Pengabdi Setan dan Perempuan Tanah Jahanam, sutradara terkenal Indonesia, Joko Anwar sekali lagi memberikan buah tangan yang menakutkan kepada penonton menerusi filem berjudul Ratu Ilmu Hitam, yang juga remake kepada filem berjudul sama terbitan tahun 1981. Cuma, untuk filem kali ini, Joko Anwar hanya membantu sutradara Kimo Stamboel dengan menyumbang penulisan skrip.

Sebagai sebuah fillem remake, plot penceritaannya sangat berbeza dari filem asal arahan Imam Tantowi. Versi moden ini berlatarbelakangkan kisah tiga orang sahabat yang pernah tinggal disebuah rumah anak-anak yatim yang terletak jauh di kawasan pendalaman. Selepas lama berpisah dan, Hanif, Anton dan Jefri kembali semula ke rumah anak yatim yang pernah mereka diduduki untuk melawat Pak Bandi yang telah lama jatuh sakit.

Ketiga-tiga sahabat itu telahpun berkeluarga dan ketibaan mereka ke rumah Pak Bandi disambut Siti dan Maman, penghuni yang menjaga anak-anak yatim dirumah tersebut. Siti dan Maman sebenarnya sangat hairan dengan lawatan ketiga-tiga sahabat itu, malah Hanif juga mengalami pengalaman pelik semasa menuju ke rumah Pak Bandi dimana dia telah melanggar sesuatu.

Malam pertama di rumah Pak Bandi, Hanif, Anton dan Jefri berkongsikan kisah kanak-kanak mereka kepada pasangan masing-masing dengan membuka sebuah album lama. Bagaimanapun, segalanya menjadi sepi selepas anak bongsu Hanif, Haqi membuka sebuah album kosong yang terdapat gambar seorang wanita berusia dan kanak-kanak perempuan.

BACA:  Filem Aksi Korea, Deliver Us From Evil Lepasi 1 Juta Penonton

Apabila tiba waktu makan malam, Hanif diminta oleh isterinya untuk mengambil barang didalam kereta. Pada waktu itu, Hanif terlihat kesan darah pada keretanya dan terkejut dengan beberapa helaian rambut. Tidak sedap hati dengan apa yang dilanggarnya, dia dan Jefri telah pergi ke tempat kemalangan dan menjumpai sesuatu yang sangat mengejutkan. Bermula dari situ, seluruh penghuni di rumah Pak Bandi telah mengalami gangguan yang cukup menakutkan, semuanya gara-gara dari ilmu hitam yang digunakan bertujuan untuk membalas dendam!.

Ratu Ilmu Hitam boleh disifatkan sebagai filem Siccin versi Indonesia. Babak-babak ‘gore’ dan ‘disturbing’ dibuat semaksimum yang mungkin sehinggakan membuatkan penonton terasa amat ngilu. Selain itu juga, keseramannya memang tidak dapat disangkalkan lagi. Kimo Stamboel bijak bermain dengan suasana sunyi, perlahan dan mengerunkan sebelum melontarkan babak-babak jumpscare yang sangat tepat pada masanya. Paling saya tidak dapat dilupakan, babak wanita tua berjalan di dalam kaca televisyen yang mirip seperti filem seram Annabelle Comes Home, tidak senang duduk dibuatnya. Cuma yang sedikit menganggu kengerian filem ini adalah beberapa kesan cgi yang sangat jelas ‘kekartunannya’. Jika diberikan lebih kualiti, mungkin ada muntah didalam panggung.

Walaupun keseraman begitu menakutkan dan sangat ngeri, Ratu Ilmu Hitam sedikit bermasalah dari segi plot penceritaan. Susunan cerita pada bahagian pertama dan kedua bagi saya agak menarik kerana ia perlahan-lahan membina misteri gangguan ilmu hitam, namun selepas disumbatkan dengan segala keseraman, plotnya semakin diabai dan mula menurun. Watak Anton yang pada mulanya dianggap antara yang penting, tiba-tiba menjadi seperti tidak wujud. Motif dendam kepada bekas anak – anak jagaan Pak Bandi masih boleh diterima, tetapi kepada mangsa-mangsa yang tak berkaitan, ianya menimbulkan sedikit persoalan. Paling mengecewakan, babak kemuncaknya tidak begitu kuat dan antiklimaks. Malah terdapat beberapa persoalan tidak dijawab sehingga ke penghujung filem.

BACA:  Review Filem Korea: Peninsula (2020)

Sebagai teraju utama, Ario Bayu dan Hannah Al Rashid memberikan satu kualiti lakonan yang cukup baik sekali. Tetapi yang paling menyinar adalah pelakon kanak-kanak Muzakki Ramdhan yang berjaya mencuri hati penonton dengan lakonan yang sangat berkualiti. Wataknya ‘comic relief’ dalam filem ini, dan dalam masa yang mengekspresikan wajah ketakutan yang memberi kesan kepada penonton.

Secara keseluruhannya, Ratu Ilmu Hitam memberikan sebuah filem seram yang sangat diingini oleh penonton. Selain dari ‘jumpscare’ yang menakutkan, paparan gangguan ilmu hitam seperti muntah paku, sesat didalam hutan, lipan menjalar ke dalam badan seperti yang sering diceritakan dalam kisah-kisah mistik menjadikan, ia sebuah filem seram yang dekat dengan masyarakat nusantara.

Jadi, jika anda bosan dengan filem-filem seram yang menjadi hantu sebagai antagonis utama, Ratu Ilmu Hitam menjadi solusi dalam mencari kelainan dalam mengisi kebosanan anda terhadap filem-filem seram.

RATING KAKIMUVEE: 8/10

RATU ILMU HITAM akan ditayangkan di pawagam tempatan 2 JANUARI 2020

Tinggalkan Balasan

shares