Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Rambo: Last Blood (2019)


AMARAN SPOILER!!!

Melihat usia pelakon Sylvester Stallone yang semakin lanjut membuatkan saya terfikir, bagaimana filem kelima Rambo, yang juga merupakan sebuah filem aksi akan diterjemahkan kepada penonton. Saya bukanlah mempersoalkan kredibiliti Stallone sebagai pelakon, cuma sejak kebelakangan ini, kebanyakkan filem-filem aksi lakonannya boleh dikatakan agak teruk dan sangat mengecewakan. Ambil contoh dua filem terakhir Escape Plan. 

Jadi, saya terpaksa membuang segala pemikiran negatif sebelum menonton filem Rambo: Last Blood, dan pasrah jika filem ini akan merosakkan francais Rambo yang dianggap antara francais terbaik bagi kategori filem aksi. Namun, sebaik sahaja filem ini tamat, saya agak terkasima dan terpancar cahaya kepuasan dek kerana filemnya yang agak menarik.

Dalam filem kali ini, John Rambo (Stallone) sudah tidak lagi gagah seperti dahulu dan sedang mengalami masalah jiwa kerana terbayangkan pengalamanan buruk semasa berkhidmat sebagai anggota tentera Amerika Syarikat semasa perang Vietnam. Dia bagaimanapun mendapat dorongan dari keluarga angkat yang sering menjaga dan membantu mengurangkan penderitaan yang ada dalam dirinya itu.

Pada suatu hari, Gabrielle (Yvette Monreal), gadis remaja yang dijaganya sejak kecil telah meminta izin untuk pergi ke Mexico kerana ingin berjumpa dengan ayah kandungnya. Rambo dan rakannya yang juga merupakan nenek kepada Gabrielle, Maria Beltran tidak membenarkan gadis tersebut pergi ke Mexico dan menjelaskan bahawa ayah kandungnya itu tidak lagi menyayanginya.


Sebagai seorang remaja yang mudah untuk memberontak, Gabrielle tetap pergi ke Mexico tanpa pengentahuan Rambo dan Maria. Malang tidak berbau, Gabrielle telah diculik oleh sindiket kumpulan kartel, dan Rambo perlu menyelamatkan gadis yang dianggap sebagai anaknya dari kumpulan kejam itu.

Saya agak terkejut dengan cara olahan dan pembinaan plot Rambo: Last Blood oleh pengarah Adrian Grunberg. Pengalamannya sebagai pengarah filem Get the Gringo dan penolong pengarah untuk filem Apocalypto telah digunakan dengan sebaik mungkin dalam merencana pembinaan jalan cerita. Filem ini tidak tergesa-gesa menjual adegan-adegan aksi, dan tidak terlalu ‘dragging’ dalam penyampaian jalan ceritannya. Segalanya disusun dengan sempurna, ringkas dan teratur agar ia dapat memberikan sebuah klimaks yang cukup memuaskan hati semasa dipenghujung filem.

Ia mengingatkan saya kepada filem The Equalizer dimana ‘act’ pertama agak perlahan dan sekadar memaparkan kehidupan Rambo sebagai veteran tentera. Bagaimanapun, perasaan ingin tahu dan tidak sabar bermula di bahagian kedua sebaik sahaja Rambo mula menjejaki Gabrielle. Disini, graf penceritaan mula mendaki secara perlahan-lahan dan penonton mula tidak sabar untuk mengentahui apa yang berlaku pada babak seterusnya sehinggalah ke babak kemuncak.

‘Execution’ babak kemuncaknya tidak mengecewakan, malah saya berani mengatakan ia cukup memuaskan hati. Perasaan geram terhadap watak antagonis akhirnya berjaya dilempiaskan menerusi adegan-adegan aksi yang menepati citarasa peminat-peminat filem berstatus ‘R-rated’. Bayangkan anda menonton filem ‘slasher’ Friday the 13th, cuma tukarkan karakteristik Jason Voorhees dari karakter antagonis ke proantagonis. Bersedialah untuk aksi ngeri.

Bagi yang mengharapkan adegan bergasak atau bertumbak, filem ini tidak begitu menonjolkan adegan aksi sebegitu. Mungkin Grunberg dan Stallone bersifat realisitik memandangkan dia tidak lagi mampu untuk melakukan aksi bergasak seperti francais Rocky atau tiga filem awal Rambo. Bagaimanapun, Grunberg menutup kelemahan adegan ini dengan memberikan Rambo lebih kebijakkan dalam mencipta jerangkap samar sepertimana menjadi tradisi filem-filem Rambo. 

Saya juga suka cara Adrian Grunberg menerapkan babak-babak emosi dan suram dalam filem ini terutamanya hubungan ayah-anak diantara Rambo dan Gabrielle. Walaupun sekadar anak angkat, Rambo berjaya memainkan peranan sebagai seorang ayah yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Malah Grunberg tidak segan-segan untuk memberikan babak yang suram dan sadis supaya dapat menjustifikasikan perbuatan Rambo yang sangat kejam semasa dibabak klimaks nanti. Senang kata, Grunberg langsung tidak memberi peluang kepada ‘babak gembira’ atau harmoni/

Walaupun Rambo: Last Blood memberi sepenuh fokusnya kepada karakter Rambo, watak-watak kecil tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Gabrielle dan Maria boleh dianggap sebagai ‘tongkat’ kepada Rambo yang sedang sakit dalam jiwanya, manakala watak antagonis Hugo Martinez (Sergio Peris-Mencheta) dan Victor Martinez (Óscar Jaenada) berjaya membuat penonton terasa ingin masuk ke dalam filem dan memenggal kepala mereka. Selain itu juga, watak wartawan Carmen Delgado (Paz Vega) turut memainkan peranan penting walaupun watak sekadar tempelan dalam filem ini. Kesemuanya memainkan peranan penting yang banyak membantu mengembangkan karakter Rambo. Cumanya, Stallone agak sedikit janggal dalam babak-babak yang melibatkan emosi, bagaimanapun, sebagai Rambo dia masih mampu memberikan prestasi yang baik dikala usianya sudah mencecah 73 tahun.

Dari segi teknikal, terdapat beberapa kesan khas CGI yang sedikit gagal, tetapi untuk babak-babak ngeri, filem ini berjaya memberikan sedikit rasa ngilu dan jijik bagi yang tidak biasa menonton filem yang penuh dengan darah. Lagu klasik Rambo juga sekadar ditunjukkan diawal filem. Jika ia turut dimainkan semasa penghujung cerita, ia pasti akan membangkitkan nostalgia kepada peminat-peminat Rambo.

Secara keseluruhannya, Rambo: Last Blood berjaya memberikan sebuah jalan cerita luar jangkaan saya, ‘slow burn’ dipermulaan dan ‘well execute’ dipenghujung filem. Setiap bahagian diceritakan secara terus, tiada draggy, tiada dialog-dialog ‘cheesy’ dan kemuncaknya, aksi yang menjadi. Akhirnya, selepas beberapa tahun, Stallone berjaya memberikan sebuah filem yang mampu memuaskan hati peminatnya, dan tidak keterlaluan untuk saya katakan, Last Blood hampir menyamai kehebatan filem First Blood. 

Rating Kakimuvee: 8/10


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee