
Sebuah filem aksi daripada sebuah produksi filem Hong Kong iaitu Raging Fire kini sedang giat ditayangkan di seluruh pawagam terpilih di Malaysia. Dibintangi oleh pelakon pelakon ternama seperti Donnie Yen, Nicholas Tse, Lan Qin, Angus Yeung, Patrick Tam dan ramai lagi. Merupakan sebuah filem terakhir arahan Benny Chan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 23 Ogos 2021 akibat daripada kanser hidung yang beliau hidapi.
Benny meninggal pada umur 58 tahun. Sedikit info berkenaan beliau, Benny merupakan seorang pengarah yang tidak asing lagi dalam dunia filem aksi Hong Kong serta pernah menerima beberapa pencalonan termasuk Pengarah Terbaik dalam Hong Kong Film Awards serta pernah memenangi Best Film Editing dalam Hong Kong Film Awards dan Golden Horse Film Festival menerusi filem Big Bullet. Beliau didiagnoskan dengan kanser nasofarink (hidung) pada 2019.
Filem Raging Fire mengisahkan tentang sekumpulan anggota polis yang berkhidmat pada negara yang mana pada suatu hari telah menerima tugasan untuk menyelamatkan seorang VIP yang penting kepada jatuh bangun saham Hong Kong. Pihak atasan telah berjanji untuk melindungi mereka walau apapun yang terjadi demi menyelamatkan VIP tersebut.
Akan tetapi janji tinggal janji, penculik tersebut berjaya diberkas dengan cara yang agak kasar dan VIP tadi berjaya diselamatkan namun pasukan polis yang menemukan penculik itu telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan bertindak kasar kepada penculik sehingga menyebabkan kematian. Semasa perbicaraan berlangsung, tiada pembelaan daripada pihak atasan sepertimana yang dijanjikan sebelum ini. Pasukan polis itu kemudiaannya menyimpan dendam akan peristiwa itu dan akhirnya merancang satu rompakan di kemudian hari.
Berbekalkan pelakon pelakon yang ternama dan atas nama genre filem aksi, filem Raging Fire dilihat berjaya menyampaikan genrenya kepada para penonton begitu baik sekali. Turutan aksi yang diberikan cukup menggiurkan dan mampu membuatkan anda terangkat daripada tempat duduk berkali kali terutamanya pada aksi “final battle” antara hero dan juga penjahat (villain) dalam filem ini. Perkara ini turut dibantu baik dengan persembahan visual dan gerak kamera yang bagus. Pemilihan pelakon juga dilihat kena dengan watak yang dibawa walaupun ada diantara mereka agak berumur dan sentiasa tampil melalui filem filem aksi bercorak kepolisan daripada Hong Kong.
Di sebalik aksi yang begitu hebat dipamerkan melalui filem Raging Fire ini, adalah diakui bahawa terdapat beberapa kepincangan dalam penyampaian plot dan jalan ceritanya. Agak mengeliru dan memeningkan apabila teknik imbas kembali digunakan beberapa kali dalam filem ini dalam menceritakan perjalanan ceritanya serta dalam memperkenalkan watak filem ini. Setiap kisah watak tidak diceritakan secara terus akan tetapi diseliratkan melalui imbas kembali watak watak yang terlibat melalui peristiwa peristiwa yang penting kepada watak tersebut.
Kesimpulannya, filem Raging Fire adalah antara filem aksi yang berbaloi untuk ditonton memandangkan persembahan aksinya yang cukup baik namun serba sedikit akan mengelirukan penonton dengan penyampai plot yang yang kurang baik. Pendek kata, Aksi = A+, Plot = C.
3/5