
Amaran Spoiler
وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(Surah al-Zukhruf: 36)
Arena pawagam tanah air untuk tahun 2023 mula dibuka dengan sebuah filem daripada Indonesia yang bertajuk Qorin. Umum bagi mereka yang beragama Islam khasnya sudah tidak asing lagi dengan istilah Qorin yang mana telah pun dijelaskan dalam potongan ayat Al Quran dari surah al-Zukhruf di atas. Filem Qorin pada kali ini juga turut dibuka dengan beberapa potong ayat Al Quran yang menjelaskan akan perihal Qorin.
Menerima sentuhan Ginanti Rona, filem terbitan IDN Pictures ini membariskan beberapa pelakon ternama dari tanah seberang seperti Zulfa Maharani, Omar Daniel, Aghniny Haque, Dea Annisa, Naimma Aljufri. Mengisahkan tentang kehidupan di sebuah pusat asuhan agama Islam di sebuah tempat yang tercurut jauhnya daripada kehidupan luar. Pusat asuhan ini terdiri dairpada pelajar pelajar Wanita dan dibimbing oleh Ustaz Jelaini bersama isterinya Ummi Hana.
Semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah suatu ketika Ustaz Jelaini menyuruh anak muridnya melakukan perkara yang pelik iaitu upacara memanggil Qorin. Seluruh asrama kucar kacir jadinya sejak daripada upacara tersebut dijalankan.
Mungkin tidak menyenangkan bagi sesetengah pihak namun kebenarannya harus saya berterus terang bahawa filem Qorin ini adalah sebuah filem yang agak teruk bagi sebuah filem seram. Terlalu banyak perkara yang boleh dipersoalkan seperti motif si jahat, kesinambungan konflik dan mengapa kejadian filem ini terjadi.
Hal ini boleh merencatkan rasa menarik menonton filem ini kerana visual dan audio yang ditawarkan dalam filem ini begitu menarik terutama pada babak babak rasukan yang kita dapat rasakan seperti kita berada di tengah tengah kejadian kerasukan itu juga. Watak yang ditawarkan dalam filem ini juga umpama sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Sangat cetek rona warna perwatakan yang ditawarkan.
Namun bagi mereka yang gemarkan filem seram tanpa ingin memikirkan hal hal lain seperti jalan cerita dan perkembangan wataknya, filem ini adalah sebuah filem yang sesuai untuk anda.
2/5