
AMARAN SPOILER
Tidak dinafikan, francais Predator merupakan antara francais aksi yang menarik untuk diikuti walaupun filem-filem era modennya sedikit bermasalah jika hendak dibandingkan dengan filem klasik Predator tahun 1987. Prey sebaliknya cuba mengelak dari mengulangi kesilapan yang sama dengan menyampaikan idea yang lebih segar, tetapi dalam masa yang sama, mengekalkan acuan ‘Predator’ seperti filem asalnya.
Konsep utama filem ini tidak jauh beza dengan filem-filem Predator sebelumnya, dimana pemangsa makhluk asing yang sangat berkembang datang ke Bumi hanya untuk memburu makhluk paling ganas di planet ini.
Berlatarkan abad ke-17 dan suku asli Amerika Comanche, Prey tidak hanya memaparkan perseteruan muktamat diantara manusia dan pemangsa makhluk asing, tetapi ia juga menunjukkan bagaimana kepintaran dan keazaman manusia mampu mengatasi kekuatan dan kemajuan teknologi yang dimiliki pemangsa makhluk asing.
Watak Naru, yang dilakonkan oleh Amber Midthunder, adalah seorang gadis Comanche yang mengimpikan untuk menjadi seorang pahlawan dalam puaknya. Seperti filem-filem seksis tipikal, Naru seringkali dipinggirkan dan dipandang rendah oleh pahlawan-pahlawan lelaki, walaupun dia menunjukan kualiti untuk menjadi seorang pahlawan.
Kisah Naru ini memberikan sedikit kesegaran dalam francais Predator kerana ia bukan hanya memaparkan kelangsungan hidup proantagonis ketika menentang pemangsa makhluk asing, tetapi juga keazamannya dalam membuktikan dia juga layak untuk menjadi seorang pahlawan tanpa mengira jantina.
Perkembangan watak Naru sangat menarik untuk diikuti, dari seorang gadis yang memburu secara sendirian, sehinggalah dia menjadi satu-satunya harapan untuk melindungi puaknya. Wataknya ibarat seperti Ellen Ripley, dari francais Alien, dimana dia akhirnya bersendirian, mengatur rancangan dan memulakan pemburuan untuk membalas dendam dan menghapuskan terus makhluk asing yang menakutkan.
Selain daripada kualiti watak dan prestasi hebat Amber Midthunder, kekuatan filem juga ini terletak pada urutan babak-babak aksinya. Pengarah 10 Cloverfield Lane, Dan Trachtenberg tahu apa yang dimahukan peminat. Jadi, dia memberikan adegan-adegan aksi yang sangat ganas dan mengerikan.
Trachtenberg juga sangat bijak dalam mencipta debaran sebelum kemunculan penuh pemangsa makhluk asing itu, dengan secara perlahan-lahan menggoda kehadirannya, membangkitkan misteri sebelum melepaskan keganasannya yang cukup mengelikan.
Secara keseluruhannya, Prey berjaya mencipta identitinya sendiri tanpa meminggirkan nada filem asal dan mengelakkan dari menjadi satu lagi produk ulangan yang membosankan – terima kasih kepada lakonan Amber Midthunder yang cukup hebat dengan jalan cerita yang berkembang dan urutan aksi yang sangat mendebarkan.
Walaupun ditayangkan sepenuhnya di perkhidmatan streaming, kualiti Prey sememangnya tidak dapat disangkal lagi dan telah memberi sinar kepada francais yang sedia lemah.
Prey kini boleh di strim di perkhidmatan streaming Disney+ Hotstar.
3.5/5